PUTRAJAYA – Seramai 25 orang tokoh agama dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (JK HARMONI) dalam satu mesyuarat semalam.
JK HARMONI berkata, mereka terdiri daripada 10 wakil agama Islam, empat wakil agama Buddha, empat wakil agama Kristian, dua wakil agama Hindu, satu wakil agama Sikh, dua wakil Tao, satu wakil Bahai dan wakil UNIFOR, Sarawak.
Daripada 10 wakil agama Islam JK HARMONI itu, salah seorangnya ialah Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Hj Badlishah Sham Baharin, yang dilantik semula daripada sesi sebelum ini.
JK HARMONI dalam kenyataan berkata, pada mesyuarat itu, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang telah menekankan bahawa pihaknya akan terus melaksanakan program-program berbentuk dialog antara agama dan pendidikan, mengenai pentingnya menghormati kepercayaan orang lain dan menggalakkan aktiviti sosial yang melibatkan pelbagai komuniti agama.
“Ini bertujuan memupuk rasa saling memahami dan menghormati dalam kalangan rakyat Malaysia. Aaron berharap agar program Jejak Harmoni dapat dilaksanakan di semua negeri sebagai usaha meningkatkan keharmonian dalam kalangan penganut agama di Malaysia,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr Mohd Na’im Mokhtar menzahirkan keyakinan jawatankuasa itu akan dapat merumuskan resolusi yang memberi impak signifikan kepada keharmonian negara, berlandaskan prinsip keadilan, toleransi dan saling memahami.
JK HARMONI berkata, Mohd Na’im turut memberi jaminan pihaknya menerusi Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) akan terus memberi sokongan kepada usaha memastikan hubungan dan kerjasama antara agama di negara terus kukuh.
“Beliau percaya hasil daripada mesyuarat ini dapat menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuhkan perpaduan nasional demi memastikan masa depan negara yang harmoni dan inklusif untuk generasi akan datang,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, JK HARMONI berkata, mesyuarat JK HARMONI itu turut dimaklumkan bahawa 215 kes mediasi selesai dilaksanakan tahun lepas di lapan Pusat Mediasi Komuniti di seluruh negara.
Sumber: Bernama
Foto: JAKIM