PrEP Cegah HIV: Pandangan Pakar Perubatan Muslim

PrEP Cegah HIV: Pandangan Pakar Perubatan Muslim | IKRAM

Berikut merupakan perkongsian pengalaman daripada kami yang berada dalam pelbagai sektor dan bahagian kesihatan. Pekerjaan seharian menemukan kami dengan pesakit-pesakit HIV.

Dewasa ini kebanyakan kes adalah berpunca daripada hubungan seksual sejenis (MSM – men who have sex with men).

Bahkan statistik Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan Malaysia menunjukkan terdapat perubahan landskap yang ketara bagi penghidap  penyakit HIV dalam kalangan MSM antara tahun 2010 ke 2018, iaitu meningkat dari 8 peratus ke 57 peratus.  

Ada beberapa perkara yang menjadi kontroversi baru-baru ini. Izinkan kami memberi  pandangan dalam bentuk soalan dan jawapan dalam perkongsian kali ini. Semoga sedikit  sebanyak perkongsian pengalaman ini dapat memberikan manfaat kepada semua.    

Apa itu HIV dan AIDS?  

Dr. Afeera: HIV atau Human Immunodeficiency Virus adalah virus yang memusnahkan sistem ketahanan badan seseorang dan menyebabkan AIDS. 

AIDS pula adalah singkatan  bagi ‘Sindrom Kurang Daya Tahan Melawan Penyakit’ dan merupakan peringkat terakhir jangkitan HIV. Penyakit ini boleh mengakibatkan pesakit mudah mendapat jangkitan kuman, kanser dan pelbagai masalah kesihatan yang lain.    

Adakah kini terdapat rawatan bagi penyakit HIV?

Dr. Aiza: Ya, kini sudah ada rawatan bagi penyakit HIV, iaitu ubat HAART (Highly Active  Antiretroviral Therapy). Dengan rawatan HAART, virus HIV boleh berada pada tahap yang  tidak dapat dikesan atau rendah.

Sekiranya virus ini tidak dapat dikesan (viral load undetected), pesakit HIV tidak akan menjangkiti pesakit lain (U=U: UndetectedUntransmitted). Dengan rawatan HAART, mereka boleh berkahwin serta melahirkan anak tanpa menjangkiti pasangan dan anak.    

Apakah itu PrEP?  

Dr. Aiza: Profilaksis pra-pendedahan atau Pre-Exposure Prophylaxis (PrEP) adalah kaedah apabila seseorang individu yang tiada jangkitan HIV, tetapi berisiko tinggi mendapat jangkitan (kebiasaannya adalah berpunca daripada hubungan seksual terlarang) mengambil ubat HIV untuk mengurangkan peluang mereka mendapat jangkitan dan menularkan penyakit ini pada  orang lain pula.

Ubat PrEP ini sebenarnya sudah pun wujud sebelum ini, tetapi  penggunaannya adalah tidak begitu meluas. Namun, ia akan diperluaskan lagi penggunaannya di fasiliti kerajaan khususnya klinik-klinik kesihatan kerajaan.    

Adakah perbuatan memberikan PrEP adalah sama dengan menyokong LGBT?

Dr. Afeera: Tidak sama sekali. Kita masih hidup dengan memahami norma agama dan budaya yang tinggi. Pemberian PrEP tidak sama sekali bermaksud menyokong norma LGBT.    

Kos PrEP akan menggunakan duit rakyat. Apa padangan doktor?

Dr. Afeera: Apa yang tidak disedari oleh kebanyakan kita adalah seandainya pesakit HIV atau AIDS dimasukkan ke hospital, kos merawat mereka juga adalah menggunakan subsidi  kerajaan, bantuan zakat dan lainnya.

Apabila sistem imuniti pesakit rendah, mereka lebih mudah mendapat jangkitan yang tidak selalunya dilihat dalam golongan pesakit normal lain.  

Misalnya jangkitan CMV retinitis. Sebiji kos ubat Valganciclovir 450mg untuk rawatan bagi  jangkitan ini boleh mencecah RM115. Kebanyakan pesakit memerlukan empat biji sehari, yang bersamaan dengan RM460 sehari.

Bukan itu sahaja, pesakit perlu mengambil rawatan ini berbulan-bulan lamanya yang menelan kos yang sangat besar. Itu hanyalah satu contoh daripada  pelbagai jangkitan oportunistik lain. 

Bukan hanya itu sahaja, pesakit HIV/AIDS juga berisiko tinggi mendapat kanser yang memerlukan rawatan yang boleh menelan ratusan ribu ringgit, yang juga menggunakan  subsidi kerajaan.

Malah kajian Centre of Excellence for Research in AIDS (CERIA) juga menunjukkan bahawa penggunaan PrEP sebagai langkah pencegahan transmisi HIV membantu penurunan kos kesihatan merawat HIV pada tahun 2006-2013 sebanyak RM47 juta.    

Di samping itu, apabila golongan berisiko tinggi ini dijangkiti dengan HIV, mereka juga perlu mengambil rawatan HAART seumur hidup mereka. Risiko untuk kegagalan rawatan adalah tinggi sekiranya mereka tidak mengambil ubatan secara betul.

Dan rawatan seterusnya juga boleh dibebankan dengan kos yang sangat tinggi dan seandainya gagal, tiada banyak pilihan yang ada di Malaysia.

Dan ramai di antara mereka yang mendapat jangkitan oportunistik yang membahayakan, malah mereka juga menjangkiti yang lain.    

Dalam kaedah fiqh, terdapat pandangan seperti yang disebutkan oleh Imam Ibn Nujaim: 

إذَا تَعَارَضَ مَفْسَدَتَانِ رُوعِيَ أَعْظَمُهُمَا ضَرَرًا بِارْتِكَابِ أَخَفِّهِمَا 

Apabila bertembungnya dua mafsadah (kemudaratan), maka dipelihara (ditolak) mudarat yang paling besar dengan melakukan mudarat yang lebih ringan. (Rujuk Al-Asybah wal-Nazhair, Ibn Nujaim (Hlm. 76)    

Memberikan PrEP adalah selari dengan konsep ini. Kita mahu mengelakkan mudarat yang lebih berat dan besar.

Kita perlu faham rawatan bagi golongan yang berisiko tinggi ini memerlukan rawatan holistik jangka pendek dan panjang. PrEP adalah sebahagian daripada rawatan di samping pendidikan seksualiti dan juga bantuan psikologi.  

Dr Aiza: Harga PrEP termurah yang boleh didapati di pasaran adalah serendah RM30 bagi penggunaan selama sebulan. Seseorang yang mempunyai pendedahan yang lebih kerap adalah berisiko tinggi, maka ia disarankan untuk mengambil pil PrEP ini sehari sekali. 

Sebaliknya, mereka yang kurang terdedah pula boleh menggunakan metod bila perlu (on demand PrEP).

Oleh hal yang demikian, langkah yang dilakukan oleh kerajaan ini lebih dapat  menyelamatkan duit rakyat kerana kos ubat yang disubsidikan adalah jauh lebih rendah berbanding dengan kos merawat seseorang yang telah menghidap penyakit HIV dan juga  mendapat komplikasi daripadanya.    

Apa pengalaman doktor sepanjang memberikan PrEP?

Dr. Ramdan: PrEP ini apabila dimulakan, bukan untuk seumur hidup. Saya pernah berjumpa  dengan mereka yang mengambil PrEP, yang akhirnya membuat keputusan untuk berhenti  kerana mereka juga akhirnya dengan ada kesedaran yang baik berniat untuk berhenti daripada terus terlibat dengan aktiviti berisiko tinggi. Ada pelbagai sebab di sebalik keputusan  mereka itu.  

Namun, tidak dinafikan yang sedikit sebanyak faktor pegawai perubatan itu sendiri juga memainkan peranan yang besar dalam membantu mereka.

Pada saat kita cuba membantu mereka dan membina kepercayaan mereka terhadap kita, kita juga dapat menyelamatkan mereka daripada mudarat yang besar dengan memberikan PrEP.    

Dr. Afeera: Di samping itu, semasa kita mengenalkan rawatan PrEP, pesakit juga memerlukan rawatan berkala pada awal permulaan dan juga seterusnya. Semua ini adalah ruang dan peluang untuk mendidik golongan berisiko tinggi ini.    

Apakah pandangan doktor berkenaan abstinens? Bukankah ini yang seharusnya dipromosi dalam rawatan HIV?

Dr. Afeera: Abstinens adalah penghindaran perbuatan seks itu sendiri. Ya, kita sangat  bersetuju dengan perkara ini.

Malah majoriti doktor perubatan juga sentiasa akan menggalakkan abstinens bagi mereka yang tidak mempunyai ikatan perkahwinan yang sah. Ia selaras dengan tuntutan budaya, agama, perubatan dan syariah itu sendiri.

Namun, kajian terbaru membuktikan bahawa kaedah abstinen sahaja (abstinence only method) gagal menurunkan transmisi HIV.

MSM dan LGBT ini perlu difahami dalam konteks yang lebih luas. Ia memerlukan usaha bersepadu semua pihak dari sudut jangka masa pendek dan  panjang.    

Pada pendapat doktor, mengapa abstinens sahaja gagal?

Dr. Nadzirah: Sepertimana pornografi, aktiviti seksual sejenis dan juga di luar perkahwinan adalah sejenis ketagihan dan masalah kesihatan. Satu sesi di klinik bersama pesakit tidak  akan mampu mengubah atau mendidik pesakit mengenai abstinens.

Proses islah, mendidik dan membantu mereka mengambil masa yang lama. Ia memerlukan kerjasama kolektif yang tuntas bersama dengan semua pihak. Rawatan juga perlu melibatkan terapi psikologi (psikoterapi dan kaunseling).

Dr Aiza: Hasil temu ramah bersama dengan penghidap HIV yang juga MSM, mereka  mengakui amat sukar untuk abstinen meskipun telah mendapat didikan agama yang  sepatutnya dari badan tertentu.

Segala usaha perlu berjalan seiring. Kita perlu memimpin  mereka untuk berubah, namun pada masa yang sama membantu pencegahan dan rawatan dengan PrEP.  

Contoh lain untuk kita lebih mudah memahami PrEP ini adalah seperti rawatan terapi gantian nikotin kepada perokok.

Kita beri gantian dalam bentuk gam/tampalan bagi perokok tegar, dan mereka juga dalam masa yang sama dibantu untuk berhenti merokok sepenuhnya.

Adakah itu bermaksud kita menggalakkan mereka untuk terus merokok dan hidup dengan nikotin selama-lamanya?  

Dr. Afeera: Ya, dan semasa proses membantu pemulihan yang melibatkan pelbagai pihak  ini, kita memerlukan rawatan sokongan PrEP untuk membantu menurunkan jangkitan dan transmisi HIV.    

Mengapa MSM terjadi?  

Dr. Aiza: Ramai yang berpendapat golongan ini telah memilih jalan hidup mereka sendiri dan perlu berhadapan dengan risiko akibat daripada pilihan mereka.

Malaysia merupakan sebuah  negara yang mempunyai pengaruh agama dan budaya yang kuat amat sukar menerima  golongan ini atas sebab ia sering dikaitkan dengan dosa. Penularan HIV pula berkait rapat dengan aktiviti MSM. 

Kita maklum ia bukan satu perkara yang mudah untuk masyarakat umum berasa empati kepada kecelaruan hidup mereka.

Namun di luar sana, ada ramai di antara mereka yang diantun (groom) dan dieksploitasi secara seksual hasil daripada pengalaman buruk pada masa lampau.  

Dr. Afeera: Ya, berdasarkan pengalaman peribadi berdepan dengan pesakit-pesakit HIV, ada di antara mereka yang pernah didera dan diliwat semasa kecil, tiada figur ayah dalam keluarga. 

Ada yang dibuli di sekolah asrama. Ada yang diliwat di asrama, maahad tahfiz dan sekolah agama. Kes ini adalah natijah daripada apa yang berlaku puluhan tahun dahulu yang cuba didiamkan.

Di samping itu, ada yang mengalami pengantunan seksual (sexual  grooming) melalui laman sosial dan permainan (games). Kini dengan penggunaan chemsex (aktiviti seksual di bawah pengaruh dadah) yang membarah, remaja adalah golongan yang  menjadi sasaran.    

Puan Hajah Azlina: LGBT adalah masalah sosial sebelum menjadi masalah perubatan. Ia adalah masalah kecelaruan minda, emosi dan tingkah laku dan didiagnos sebagai disforia gender dan kecelaruan orientasi seksual (sexual orientation disorder).

Kebanyakan penderita LGBT telah pun mengalami kecelaruan ini sepanjang tempoh perkembangan mereka iaitu sejak awal remaja, malah ada yang seawal umur empat tahun. 

Faktor risiko kecelaruan ini termasuklah pendedahan seks awal secara tidak wajar samada melalui pornografi, pencabulan, sumbang mahram, penderaan seksual daripada persekitaran mereka sama ada di rumah, tempat awam dan sekolah.

Tidak sedikit kes kanak-kanak tadika yang sudah terdedah dengan pornografi dan penderaan seksual daripada ahli keluarga sendiri mahupun rakan-rakan. 

Penderaan seksual ini telah mengganggu dan merosakkan perkembangan seksual yang sihat pada individu tersebut serta merampas masa depannya  untuk mendapatkan hubungan seksual yang sihat dan selamat.  

Kecelaruan psikologi dan stigma yang mereka alami serta ketiadaan rawatan psikologi menyebabkan golongan ini menderita dalam diam selama bertahun-tahun dan akhirnya terjebak dalam kegiatan songsang yang berisiko tinggi.

Oleh itu, gejala LGBT ini sebenarnya merupakan masalah kesihatan mental yang sudah pun kronik sebelum ia menjadi masalah penyakit berjangkit.  

Secara tuntas, adalah wajib merawat golongan ini dari sudut perubatan untuk mengelakkan jangkitan lanjut dan mengurangkan beban rawatan, serta sokongan dan rawatan psikologi  untuk membantu mereka mengubah kecelaruan tingkah laku mereka dan mengamalkan gaya  hidup sihat. 

Kehidupan mereka adalah getir dan memerlukan sokongan bersepadu. Kita perlu mengambil kira secara keseluruhan rawatan jangka masa pendek dan panjang untuk membantu mereka kerana gejala ini turut meruntuhkan institusi keluarga dan masyarakat.  

Pendidikan awal kanak-kanak perlu diberi perhatian seperti pengasingan bilik tidur, pendidikan kesihatan seksual dari sudut agama dan perubatan, ketagihan Internet, isu pornografi, membanteras kes-kes seksual di sekolah-sekolah dan madrasah dan lainnya.

Menuding jari menyalahkan golongan ini tidak menyelesaikan sebarang masalah kerana ia  turut berpunca daripada kebejatan akhlak keluarga dan masyarakat.    

Apa peranan doktor Muslim dalam isu ini? 

Dr. Afeera: Setiap pertemuan adalah relung dan peluang amal bagi pengamal perubatan Muslim untuk memahami golongan berisiko tinggi ini dengan baik. 

Pemberian PrEP adalah  peluang baik untuk mendekati golongan ini. Golongan MSM adalah mereka yang amat sukar didekati.

Mendekati golongan ini adalah salah satu tuntutan fardu ain dan PrEP adalah satu antara ruang dan peluang yang wajar digunakan untuk membina jambatan hubungan  dengan mereka.    

Di samping itu, kita juga berperanan untuk terus mendidik masyarakat memahami bahaya  penyakit HIV dan penyakit kelamin lainnya. Usaha mendidik masyarakat ini perlu dari segenap arah.

Kita perlu bekerja dengan lebih keras dalam proses mengislah masyarakat, mendekati dan mendidik anak remaja dari awal lagi. Setiap daripada kita berperanan dalam membantu membina masyarakat yang baik.    

Bagaimana menangani isu ini secara holistik?

Dr. Nadzirah: Ya, permasalahan ini memerlukan sokongan semua pihak. Semua doktor daripada pelbagai kepakaran wajar duduk berbincang dan menelusuri permasalahan ini  secara holistik.

Pandangan doktor pakar perubatan dalam bidang penyakit berjangkit, pakar  psikiatri dan psikologi, kesihatan awam, pakar perubatan keluarga, para aktivis NGO yang  bergerak aktif mendekati golongan ini dan lain-lain perlu diambil kira.  

Malah kita memerlukan pandangan para asatizah untuk membantu kita untuk membincangkan perkara ini dari perspektif fiqh dengan lebih mendalam. 

Segala kepincangan yang berlaku di sekolah-sekolah perlu mendapat perhatian pihak berkuasa juga kerana terdapat kes penularan yang berlaku di sekolah-sekolah yang cuba didiamkan.

Ibu bapa juga perlu berperanan besar dalam mendidik anak-anak. Setiap daripada kita perlu mengambil  tanggungjawab ini dengan baik. 

Penulisan bersama oleh Pakar-Pakar dan Doktor Perubatan yang juga merupakan ahli-ahli Persatuan Kesihatan IKRAM Malaysia (IKRAM Health):  

Dr. Ummu Afeera Zainulabid – Pakar Perubatan Dalaman dan Pensyarah Perubatan di Universiti  Islam Antarabangsa dan kini sedang menyambung latihan subkepakaran dalam bidang penyakit  berjangkit    

Dr. Nadzirah Ahmad Basri – Pakar Psikologi Klinikal di Univesiti Islam Antarabangsa, Kuantan    

Dr. Aiza Nur Izdihar Zainal Abidin – Pakar Perubatan Keluarga dan Pensyarah Perubatan di Fakulti  Perubatan, Universiti Teknologi Mara, Sungai Buloh, Selangor    

Puan Hajah Azlina @ Roszy Mohamad Ghaffar – Pakar Psikologi Klinikal di Hospital Pakar Annur    

Dr. Ahmad Ramdan Zainordin – Doktor Perubatan di U.N.I Klinik, Taman Tun Dr Ismail, Kuala  Lumpur  

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia