Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) menyambut baik perbincangan dua hala di antara Perdana Menteri dengan pemimpin-pemimpin pembangkang yang telah berlangsung pada 25 Ogos 2021.
IKRAM berharap dan mendoakan agar usaha berkenaan akan membuka jalan ke arah kesepakatan di antara pemimpin-pemimpin kerajaan dan pembangkang untuk menangani krisis kesihatan, ekonomi, sosial dan pendidikan yang melanda negara.
Keutamaan mestilah diberikan kepada kesejahteraan rakyat yang telah lebih setahun menanggung kesusahan dan keperitan.
IKRAM percaya usaha ini adalah langkah awal untuk mencapai hasrat Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong agar semua pihak bersedia untuk bekerja dalam satu pasukan, seperti yang dititahkan melalui Kenyataan Media Istana Negara pada 18 Ogos:
“Seri Paduka Baginda turut mengingatkan ketua-ketua dan wakil parti-parti politik utama, demi mengharmonikan suasana, ahli Dewan Rakyat yang menang seharusnya menghulurkan tangan untuk bekerjasama dengan yang tidak berjaya dan semua pihak sepatutnya bersedia untuk bekerja dalam satu pasukan. Dalam erti kata lain, yang menang tidak menang semua manakala yang kalah pula tidak kalah semua.”
Dalam situasi semasa yang tidak mengizinkan pilihan raya umum diadakan, IKRAM kekal dengan pendirian agar pemimpin-pemimpin politik dan ahli-ahli parlimen merentasi parti politik mengetepikan perbezaan politik dan bersama-sama berganding bahu untuk menangani krisis-krisis yang melanda.
Kolaborasi politik sebegini amat kritikal demi kepentingan rakyat dan negara. Melalui kolaborasi ini diharap kekuatan dan kepakaran kedua-dua belah pihak akan dapat dimanfaatkan untuk kebaikan rakyat dan negara.
Dalam suasana genting yang dihadapi negara buat masa ini, pendekatan ‘whole of nation’ amat perlu untuk mengeluarkan negara daripada kemelut yang sedang melanda negara.
Sehubungan dengan itu, selaras dengan misi dan komitmen untuk bersama membina negara yang tercinta, IKRAM bersedia menyumbang sumber dan tenaga kepada usaha murni tersebut.
Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia