Poligami sering kali menjadi subjek kontroversi dan mencetus pelbagai reaksi dalam masyarakat. Ia isu yang sensitif bagi kebanyakan wanita, namun kerap menjadi bahan gurauan dalam kalangan lelaki.
Poligami ialah perkahwinan seorang lelaki dengan lebih daripada seorang isteri dalam waktu yang sama. Dalam Islam, poligami dibenarkan. namun dibatasi empat orang isteri sahaja pada satu-satu masa.
Pensyariatan poligami
Pensyariatan poligami dinyatakan oleh Allah SWT dalam Surah an-Nisaa’ ayat 3:
وَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تُقْسِطُوا۟ فِى ٱلْيَتَـٰمَىٰ فَٱنكِحُوا۟ مَا طَابَ لَكُم مِّنَ ٱلنِّسَآءِ مَثْنَىٰ وَثُلَـٰثَ وَرُبَـٰعَ ۖ فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تَعْدِلُوا۟ فَوَٰحِدَةً أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَـٰنُكُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَدْنَىٰٓ أَلَّا تَعُولُوا۟
“Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan daripada perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu), maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.” (An-Nisaa’: 3)
Ayat berkaitan poligami tersebut diturunkan selepas peperangan Uhud iaitu pada bulan Syawal tahun ketiga Hijrah. Seramai 70 orang tentera Muslimin telah syahid dalam peperangan tersebut dengan meninggalkan sebilangan janda dan anak yatim yang perlu diberi perhatian dan perlindungan.
Sebab diturunkan ayat ini bertujuan untuk membela anak-anak yatim serta menjaga kepentingan wanita-wanita yang kehilangan suami ketika peperangan Uhud. Poligami dibenarkan dengan alasan untuk memenuhi keperluan, mengatasi masalah dan menjaga kepentingan individu lain dan bukannya atas dasar memenuhi kepentingan sendiri.
Jelas bahawa isu poligami yang disentuh dalam al-Quran merupakan suatu keharusan untuk berpoligami dengan syarat-syarat yang tertentu dan bukanlah merupakan suatu perintah yang digalakkan.
Sentuhan khusus berkaitan poligami diteruskan dalam ayat 129 Surah an-Nisaa’:
وَلَن تَسْتَطِيعُوٓا۟ أَن تَعْدِلُوا۟ بَيْنَ ٱلنِّسَآءِ وَلَوْ حَرَصْتُمْ ۖ فَلَا تَمِيلُوا۟ كُلَّ ٱلْمَيْلِ فَتَذَرُوهَا كَٱلْمُعَلَّقَةِ ۚ وَإِن تُصْلِحُوا۟ وَتَتَّقُوا۟ فَإِنَّ ٱللَّهَ كَانَ غَفُورًۭا رَّحِيمًۭا
“Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya); oleh itu janganlah kamu cenderung dengan melampau (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung (di awan-awan); dan jika kamu memperbaiki (keadaan yang pincang itu), dan memelihara diri (daripada perbuatan yang zalim), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
Ayat tersebut khusus menekankan soal keadilan dalam amalan poligami. Ayat ini seolah-olah memberi pengesahan bahawa lelaki yang berpoligami amat sukar untuk berlaku adil dalam soal kasih sayang.
Namun sebagai jalan tengah, mereka di syorkan supaya tidak terlalu cenderung kepada salah seorang isteri sahaja serta mengabaikan yang lain. Dapat difahami juga, sekiranya poligami ditakuti membawa kepada kezaliman, maka cukuplah berkahwin satu sahaja.
Kezaliman perlu mengambil kira perkara-perkara seperti pembahagian nafkah, kesihatan, kewangan dan kemampuan fizikal serta emosi. Jika tidak diraikan perkara-perkara ini, akan memberi kesan yang lebih buruk kepada perkahwinan.
Poligami zaman Rasulullah SAW
Seorang sahabat Rasulullah SAW bernama Ghailan bin Salamah al-Tsaqafi r.a. mempunyai seramai sepuluh orang isteri. Setelah memeluk Islam, Rasulullah SAW mengarahkan Ghailan agar memilih empat orang isteri sahaja dan menceraikan yang lain.
Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah (No. 1953, Disahihkan al-Albani) mafhumnya:
Ibnu Umar telah berkata: Ghailan bin Salamah telah memeluk Islam dan mempunyai sepuluh orang isteri, maka Rasulullah SAW bersabda kepadanya yang bermaksud: “Ambillah daripada kalangan mereka itu empat orang sahaja.”
Manakala Qais bin Harith r.a. sebelum Islam mempunyai lapan orang isteri. Apabila beliau memeluk Islam, Rasulullah SAW memerintahkan agar dia memilih empat orang sahaja. Rasulullah SAW bersabda yang diriwayatkan oleh Abu Dawud (No. 2241, Sahih) mafhumnya:
“Daripada Qais bin al-Harith beliau berkata: Ketika aku masuk Islam, aku mempunyai seramai lapan orang isteri, kemudian datang Rasulullah SAW menyuruh aku memilih daripada kalangan mereka seramai empat orang sahaja.”
Poligami pada zaman Rasulullah SAW adalah untuk menjaga maruah wanita daripada berkahwin ramai kepada terhad hanya empat orang sahaja. Poligami tidak boleh sewenang-wenangnya tanpa batasan.
Rasulullah SAW mula berpoligami setelah kematian Saidatina Khadijah binti Khuwailid r.a. Perkahwinan baginda bersama ibunda Khadijah selama 28 tahun adalah tanpa poligami.
Perkahwinan Rasulullah SAW dengan isteri-isterinya selepas kematian Saidatina Khadijah r.a. adalah untuk menjaga kepentingan orang lain dan bertujuan mengembangkan dakwah Islam.
Saudah binti Zam’ah r.a. dikahwini atas dasar politik iaitu untuk menyelamatkan Saudah yang kematian suaminya daripada diseksa oleh kaumnya sendiri. Manakala perkahwinannya dengan Juwairiyah, anak kepada ketua kaum Bani Mustaliq bertujuan untuk memberhentikan perseteruan mereka dengan orang-orang Islam.
Rasulullah SAW berkahwin dengan Zainab binti Jahsy r.a. yang merupakan bekas isteri anak angkatnya, Zaid bin Haritsah r.a. adalah atas arahan Allah SWT bertujuan untuk menjelaskan hubungan dengan anak angkat tetap tidak sama dengan anak sendiri.
Hafsah binti Umar r.a. dikahwini Rasulullah SAW setelah kematian suaminya yang merupakan syahid pada Perang Badar, manakala perkahwinannya dengan Ummu Salamah r.a, seorang janda yang telah lanjut usianya adalah atas dasar perikemanusiaan dan menjaga kepentingan Ummu Salamah.
Satu-satunya perkahwinan Rasulullah SAW dengan anak dara ialah Saidatina Aisyah r.a. bertujuan untuk merapatkan hubungan persaudaraan dan persahabatan dengan Saidina Abu Bakar r.a. Aisyah r.a. juga seorang yang sangat bijak dan meriwayatkan 2,210 hadis dan daripada jumlah ini, 316 disebut dalam kedua-dua Sahih Bukhari juga Sahih Muslim.
Hukum Poligami
Hukum asal poligami yang dipegang oleh jumhur Ulama adalah harus. Menurut Imam As- Syafi’e sebagaimana dalam kitab Al-Fiqh al-Manhaji karangan Dr Mustafa Khin, Mustafa Bugho dan Dr Ali Syarbanji menerangkan bahawa hukum asal poligami adalah harus tetapi boleh berubah menjadi makruh, sunat ataupun haram.
Ini adalah kerana sesuatu hukum perlu dilihat daripada aspek sebab dan illahnya. Kaedah mengatakan:
أحكام الشارع معللة بالأسباب مرتبطة بالمصالح
“Hukum-hukum syarak itu diillahkan dengan sebab-sebab, diikat dengan maslahat-maslahat.”
Jika poligami dilakukan semata-mata untuk keseronokan dan suami sendiri tidak yakin dengan kemampuannya untuk berlaku adil serta memberikan nafkah kepada isteri-isterinya, maka ia adalah makruh.
Ini kerana poligami bukanlah suatu keperluan dan boleh jadi kesan daripada perkahwinan itu akan memberikan kemudaratan kepada isteri-isterinya disebabkan ketidakmampuan suami. Rasulullah SAW pernah bersabda:
دع ما يريبك إلى ما لا يريبك
“Tinggalkanlah perkara yang meragukan kamu kepada perkara yang tidak meragukan kamu.” (HR Tirmidzi, No. 2518, Sahih)
Poligami menjadi sunat apabila suami memerlukan isteri yang lain seperti untuk mendapatkan zuriat, kerana isteri yang sedia ada tidak mampu hamil kerana masalah kesihatan. Disunatkan juga poligami dalam keadaan suami yang mempunyai keinginan yang kuat sehingga seorang isteri tidak mampu melayannya.
Dalam masa yang sama, suami mempunyai kemampuan dari sudut nafkah dan mampu berlaku adil terhadap isteri-isterinya. Maka ketika ini, tiada halangan baginya untuk berpoligami. Ini kerana, ia mempunyai kebaikan serta maslahat syarak.
Haram berpoligami dalam keadaan seseorang lelaki berasa yakin dia tidak mampu berlaku adil terhadap isteri-isterinya, boleh jadi kerana kemiskinan atau kerana kelemahannya atau dia tidak yakin dirinya dapat mengawal kecenderungan dan sifat prejudisnya.
Hukum poligami pada ketika ini tetap sah jika cukup rukun-rukun dan syarat-syarat nikah, namun ia haram dan suami menanggung dosa kerana akan memberi kemudaratan kepada orang lain, sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
لا ضرر ولا ضرار
“Tidak ada kemudaratan dan tidak boleh melakukan kemudaratan.” (HR Ibnu Majah, No. 2341, Hadis Hasan)
فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تَعْدِلُوا۟ فَوَٰحِدَةً أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَـٰنُكُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَدْنَىٰٓ أَلَّا تَعُولُوا۟
“Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu), maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.” (An-Nisaa’: 3)
Jelas di sini, amalan poligami yang membawa kemudaratan, penganiayaan, ketidakadilan dan kezaliman adalah dilarang. Tindakan suami yang memulai langkah untuk berpoligami tanpa memenuhi kelayakan dan iktikad baik telah menimbulkan banyak masalah serta ketidakadilan bagi semua pihak yang terlibat.
Ketidakmampuan dari sudut kewangan dan kawalan emosi memberi kesan buruk bukan sahaja kepada pasangan yang berpoligami, malah turut mempengaruhi kesejahteraan anak-anak.
Maka bagi mengelakkan kemudaratan ini berlaku, permohonan poligami di Malaysia perlu melalui kebenaran daripada mahkamah syariah setiap negeri dengan syarat-syarat yang tertentu.
Namun, disebabkan tidak menepati syarat-syarat yang diperlukan, terdapat pasangan yang ingin berpoligami sanggup melalui jalan pintas dengan melakukan pernikahan di sempadan.
Perlu diingatkan, tujuan pensyariatan sesebuah perkahwinan sama ada monogami mahupun poligami adalah untuk mencapai sakinah, mawaddah dan rahmah dalam rumah tangga.
Poligami yang dibenarkan adalah untuk membawa kesejahteraan, namun amalannya telah menyempitkan tafsiran poligami dalam masyarakat sebagai sesuatu yang lebih membawa kemudaratan.
Amalan poligami juga perlu merujuk kembali bagaimana permulaan ia disyariatkan sebagai satu alat penyelesaian sosial yang perlu digunakan dengan sangat berhati-hati serta berhemah. Jika ia disalahgunakan, akan memberi kesan negatif kepada diri sendiri, keluarga, bahkan masyarakat sekeliling.
Puan Hasliza Talib
Pensyarah Jabatan Kefahaman dan Pemikiran Islam
Universiti Islam Selangor