SEREMBAN — Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah melancarkan Podcast QAWWAM bagi memperkasa kefahaman masyarakat tentang peranan lelaki sebagai pemimpin, pelindung dan pembimbing keluarga.
Podcast QAWWAM adalah satu inisiatif baharu hasil kolaborasi antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) dan RareNation.
Pelancaran tersebut disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar bersempena Seminar Lelaki Qawwam Peringkat Kebangsaan 2025 yang berlangsung di Dewan Majlis Bandaraya Seremban semalam.
Siri podcast ini akan menampilkan 10 episod menarik, disiarkan setiap Rabu jam 8 malam melalui platform media sosial JAKIM, IKRAM dan RareNation.
Menariknya, setiap episod bakal dikemudi oleh hos tetap Ustaz Shauqi Hasan (RareTV) dan akan mengupas isu-isu kontemporari berkaitan lelaki seperti kepimpinan keluarga, tanggungjawab nafkah, emosi, ayah moden serta krisis maskuliniti.
Pendekatan santai namun membincangkan topik serius ini diharap menjadi ruang dakwah digital yang menyentuh realiti masyarakat hari ini.
Dalam ucapan perasmiannya, Na’im menjelaskan bahawa istilah Qawwam bukan sekadar gelaran, sebaliknya membawa erti tanggungjawab besar yang digariskan oleh Allah SWT dalam Surah An-Nisa’ ayat 34.
“Kaum lelaki adalah pemimpin dan pelindung terhadap kaum perempuan. Ini bukan istilah ciptaan manusia, tetapi datang daripada Allah. Maka, kriteria lelaki yang disebut sebagai Qawwam mestilah mengikut syarat yang telah ditetapkan oleh agama,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa kedudukan lelaki sebagai Qawwam bukanlah keistimewaan, tetapi amanah yang datang bersama tanggungjawab.
“Dalam Islam, kita tidak bercakap tentang hak semata-mata, tetapi tentang tanggungjawab. Maka, seminar dan program seperti ini sangat penting untuk mengingatkan lelaki tentang amanah yang Allah beri,” jelasnya.
Menurut beliau, antara isu yang banyak timbul di Mahkamah Syariah ialah kegagalan suami melaksanakan tanggungjawab terhadap keluarga, termasuk soal nafkah dan didikan anak-anak. Keadaan ini, katanya, memberi kesan langsung kepada gejala sosial yang berlaku dalam masyarakat.
“Apabila suami tidak melaksanakan tanggungjawab, kesannya ialah anak-anak tidak terbimbing dan berlaku pelbagai masalah moral serta sosial. Inilah antara sebab mengapa lelaki perlu kembali memahami makna Qawwam yang sebenar,” ujar beliau.
Na’im turut menyatakan bahawa agensi-agensi agama akan memperbanyak usaha kesedaran kepada masyarakat melalui pelbagai medium termasuk media sosial, agar mesej tanggungjawab lelaki sebagai Qawwam dapat disebarkan lebih meluas ke seluruh negara.
Beliau menyeru golongan lelaki agar memanfaatkan platform Podcast QAWWAM sebagai ruang untuk memperbaharui semangat kepimpinan dan peranan dalam keluarga.
“Saya harap rakan-rakan semua akan menyertai podcast ini. Ia akan membincangkan banyak perkara tentang tanggungjawab lelaki dan bagaimana kita boleh berubah menjadi pemimpin dan pelindung yang sejati,” katanya.
Turut bersama dalam majlis ini ialah Presiden IKRAM, Haji Badlishah Sham Baharin, Ahli Jawatankuasa Pusat (JKP) IKRAM, Dr Sabariah Baharun dan Ketua Kumpulan Fokus Institusi Keluarga Utuh, Haji Rozalli Hashim.
Pelancaran ini menjadi satu lagi langkah penting dalam usaha memperkukuh institusi keluarga melalui pendidikan dan kesedaran, selaras dengan aspirasi membina masyarakat berteraskan nilai Malaysia MADANI.