Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) menyambut baik cadangan kerajaan melalui Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, untuk meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mewajibkan pesalah kemalangan maut akibat pemanduan di bawah pengaruh alkohol atau dadah membayar pampasan kepada keluarga mangsa.
IKRAM berpandangan bahawa langkah ini merupakan satu usaha penting dalam memperkukuh keadilan dan akauntabiliti, di samping memberikan sedikit kelegaan kepada keluarga mangsa yang kehilangan insan tersayang akibat kecuaian pihak lain.
Pendekatan ini juga selari dengan prinsip Maqasid Syariah, khususnya dalam aspek pemeliharaan nyawa (hifz al-nafs), yang merupakan antara keutamaan tertinggi dalam Islam. Segala bentuk tindakan yang mengancam nyawa manusia wajib dicegah dan ditangani dengan tegas.
Pemanduan dalam keadaan mabuk bukan sahaja melanggar undang-undang, bahkan merupakan satu bentuk kecuaian serius yang boleh mengakibatkan kehilangan nyawa serta mencetuskan penderitaan berpanjangan kepada keluarga mangsa. Justeru, hukuman yang lebih berat serta kewajipan pampasan adalah wajar sebagai langkah pencegahan dan pengajaran kepada masyarakat.
Pada masa yang sama, IKRAM menegaskan bahawa penguatkuasaan undang-undang perlu disertai dengan usaha berterusan dalam pendidikan, peningkatan kesedaran awam serta pembinaan nilai masyarakat. Pendekatan menyeluruh ini penting bagi membentuk budaya yang menolak segala bentuk perilaku berisiko dan memelihara keselamatan bersama.
IKRAM komited untuk terus memainkan peranan dalam usaha amar makruf nahi munkar, serta menyumbang ke arah pembinaan masyarakat yang lebih selamat, beretika dan berperikemanusiaan.
“Malaysia Negara Rahmah”
Haji Badlishah Sham Baharin
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia




