Pelancaran piagam tersebut disempurnakan oleh Naib Presiden IKRAM, Ustaz Haji Burhanuddin Lukman setelah merasmikan Wacana Hari Wanita Antarabangsa 2017 pada Sabtu, 18 Mac lalu di Crystal Ballroom, Mines 2 di sini.
Buku ini mengupas prinsip asas yang memberi pengiktirafan terhadap peranan, tanggungjawab dan hak wanita serta lelaki dalam semua aspek pembangunan diri, keluarga, masyarakat dan negara bagi mewujudkan umat pertengahan (ummatan wasatan).
Piagam Wanita Islam ini menekankan tiga penegasan utama iaitu mengiktiraf kepentingan peranan wanita dalam pembangunan diri, keluarga dan masyarakat yang mana peranan lelaki dan wanita adalah saling melengkapi.
Yang kedua, prinsip kesamarataan dan kesaksamaan lelaki dan wanita menurut nilai-nilai Islam diiktiraf dengan mengambil kira fungsi biologi dan peranan setiap jantina dan kemampuan mereka dalam memberikan khidmat terbaik kepada keluarga dan masyarakat.
Yang ketiga, mengiktiraf dan menuntut lelaki dan wanita berperanan dalam memantapkan dan mengukuhkan institusi keluarga.
Dalam pada itu, wacana yang diadakan ini bertujuan berkongsi pandangan Wanita IKRAM dalam isu-isu berkaitan pelaksanaan “Sustainable Development Goals” (SDG) bagi wanita dan keluarga di samping masyarakat untuk memahami aspirasi perjuangan wanita.
Sebelumnya pada April 2013, Wanita IKRAM telah melancarkan Piagam Wanita Islam dalam usaha menangani isu keganasan terhadap wanita dan usaha-usaha dimulakan dengan program pembangunan syariah atau jati diri lelaki dan wanita dalam masyarakat agar mereka faham betapa pentingnya keseimbangan dalam memenuhi tuntutan kebendaan, fizikal, spiritual dan emosi.
Lagi info: Wanita IKRAM