Perutusan Hari Guru 2015: Membina Ilmu Menyempurnakan Akhlak

Kita memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Ilahi azzawajalla di atas segala inayah, hidayah dan taufiq-Nya s.w.t. ke atas kita sehingga kini. Kita amat bersyukur kepada Allah s.w.t. dan mendoakan moga-moga perjalanan majlis ini diberkati-Nya, amin.

Guru-guru yang dikasihi,

Menjelangnya 16 Mei 2015, kita sekali lagi diberi oleh Allah peluang untuk meraikan semua guru dalam hidup kita, bagi menyatakan penghargaan kita kepada mereka yang telah mendidik kita sehingga terbentuk diri kita sekarang.

Hari Guru pada tahun ini bertemakan “Membina Ilmu Menyempurnakan Akhlak

Saya ingin mengambil peluang ini khususnya untuk menyampaikan ucapan terima kasih yang tidak terhingga dan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua warga guru kerana masih cekal, gigih serta sabar untuk bersama memperjuangkan wawasan dan misi pendidikan kita, bagi melahirkan generasi yang sangat didambakan oleh umat, negara dan juga dunia, lebih-lebih lagi dalam keadaan dunia yang semakin tidak sejahtera.

Para guru yang dimuliakan Allah s.w.t.,

Rasulullah s.a.w. telah menunjukkan kepada kita model pendidikan yang sangat berharga. Rasulullah s.a.w. mengislahkan masyarakat melalui ilmu-ilmu naqli dan aqli, menyampaikan ilmu serta membentuk pemikiran. Metodologi ini telah berjaya membentuk masyarakat ke arah pencapaian kehidupan yang lebih baik dan sempurna, yang mana Rasulullah s.a.w menghapuskan kesan kepercayaan, nilai, budaya dan kefahaman arab jahiliah.

Firman Allah dalam surah al-Jumu’ah, ayat yang kedua bermaksud:

“Dia-lah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul di antara mereka, yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, mensucikan mereka dan mengajarkan kepada mereka Kitab dan Hikmah (As Sunnah). Dan sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata.”

Inilah peranan pendidik yang amat penting, iaitu peranan sebagai muallim yang membina ilmu, kefahaman dan penghayatan ilmu. Pendidik sebagai muallim boleh didefinisikan sebagai (orang yang) mengajar atau menyampaikan ilmu dan mengamalkan apa yang disampaikan di samping berusaha menambah ilmu pengetahuan.

Walau bagaimanapun, harus diingat bahawa penyampaian ilmu pengetahuan sangat berbeza dengan memberi maklumat. Perpindahan ilmu kepada para anak didik perlu dibuat secara berperingkat, dibina dari satu tahap ke satu tahap yang berikutnya, agar difahami dengan baik dan dapat ditaakul dan dibuat penilaian serta pertimbangan terhadap ilmu berkenaan.

Pembinaan ilmu ini haruslah ditalakan kepada pembinaan keimanan kepada Allah s.w.t. dan kepada keyakinan akan Hari Pembalasan ketika mana setiap amalan soleh atau dosa tetap akan mendapat balasan yang adil dan setimpal. Bertitik tolak dari sinilah, ilmu yang disampaikan akan dihayati oleh anak didik dalam seluruh kehidupannya, sama ada dalam kehidupan peribadi mahupun sebagai anggota masyarakat, kerana ingin mengejar kesejahteraan hidup yang dijanjikan oleh Allah di dunia dan kenikmatan di akhirat.

Tentulah hal ini sangat berbeza dengan sekadar perpindahan ilmu daripada seorang guru kepada pelajarnya. Perpindahan ilmu hanyalah sekadar memberi maklumat yang bakal dikumpulkan oleh pelajar dan dikeluarkan kembali sewaktu ujian dan peperiksaan. Ia tidak membentuk dan mengislahkan diri pelajar ke arah yang yang lebih baik.

Para guru yang dimuliakan Allah s.w.t.,

Dalam konteks ini, kita harus menekankan juga peranan seorang pendidik sebagai seorang muaddib atau guru yang menyempurnakan akhlak anak didiknya.

Ayat 2 surah al-Jumu’ah yang dibacakan tadi menjelaskan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. diutus oleh Allah s.w.t. kepada umatnya untuk menanamkan ilmu sekali gus menyucikan jiwa mereka. Rasulullah telah membersihkan umat jahiliah daripada sifat-sifat buruk yang merupakan kebiasaan sebahagian besar masyarakat Makkah pada masa itu seperti syirik, dengki, takbur, tamak, pemabuk, merampas hak orang lain, membunuh anak perempuan dan pelbagai akhak tercela yang lain.

Peranan guru sebagai seorang muaddib bermaksud mendidik dan membangunkan akhlak dan perilaku yang mulia. Muaddib merupakan individu yang bertanggungjawab dan melaksanakan pendidikan peradaban dalam pengertian yang luas dan mendalam terhadap peribadi serta kehidupan pelajar, memanusiakan manusia ke arah pembentukan insan kamil.

Dalam konteks ini, pendidikan yang paling berkesan ialah pendidikan melalui teladan. Malahan Imam Al-Ghazali amat menekankan agar akhlak seorang guru atau pendidik itu perlulah sesuai dengan ajaran yang diajar kepada para pelajarnya. Dalam Ihya’ Ulumuddin, beliau turut membandingkan perumpamaan guru dengan anak muridnya ibarat tongkat dengan bayang-bayang kerana menurutnya “bagaimanakah caranya untuk kita mendapatkan bayang-bayang yang lurus sekiranya tongkat tersebut telah bengkok?”

Seorang pendidik tidak dapat mendidik murid-muridnya dengan sifat mulia kecuali apabila dia sendiri memiliki sifat yang mulia ini, dan ia tidak dapat memperbaiki anak didiknya kecuali apabila dia sendiri berusaha menjadi seorang yang soleh, karena murid-murid akan mengambil teladan perilakunya lebih banyak dari pada mengambil kata-katanya.

Akhir kata, saya mengambil peluang ini untuk mengucapkan Selamat hari Guru kepada semua pendidik serta ibu bapa yang juga merupakan guru dalam keluarga masing-masing.

Selamat menyambut Hari Guru.

 

Membina Ilmu Menyempurnakan Akhlak

 

Profesor Dr Omar bin Yaakob
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan
Pertubuhan IKRAM Malaysia

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Aneka bangsa dan juga budaya,
Perpaduan terjalin sekian lama,
Selamat menyambut Hari Malaysia,
Walau berbeza, tetap teguh bersama.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia