SERDANG – Pentas Akhir Pertandingan Bercerita & Pidato Anak-Anak Malaysia Piala Ketua Wanita IKRAM kali ke-2 telah berlangsung dengan penuh meriah di Auditorium Rashdan Baba, Universiti Putra Malaysia (UPM) pada Sabtu, 11 Oktober lalu.
Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh Ketua Wanita IKRAM, Ustazah Sallawahiu Mohd Salleh, dan turut dihadiri oleh barisan Jawatankuasa Wanita IKRAM Pusat (JKWIP) yang memberikan sokongan kepada para peserta.
Pertandingan ini bukan sahaja menyerlahkan bakat dalam bidang pidato dan bercerita, malah menjadi platform membina suasana yang menyeronokkan dan penuh nilai murni, termasuk kerja berpasukan, rasa hormat dan semangat bantu-membantu dalam kalangan anak-anak Malaysia.
Bagi kategori pidato sekolah menengah, tempat pertama dimenangi oleh pelajar SMK Seri Serdang, Iris Ramadhani Noor Mohamad. Beliau turut menjadi pemenang keseluruhan pertandingan menerusi pidatonya yang bertajuk “Seruan Keamanan Buat Gaza” yang berjaya memukau para juri dan hadirin.
Tempat kedua pidato disandang oleh Nur Khadijah Nasharudin dari SMI Hidayah Pasirris, Batu Pahat, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Hidayatul Husna Zulkefli dari SMK Pulau Tawar, Jerantut.
Dalam kategori pidato sekolah rendah, Nur Fara Aleesya Mohamad Dis dari SK Chengal Lempong, Kuantan muncul sebagai johan. Naib johan pula dimenangi oleh Muhammad Hafizulhadi Ahmad Tajuddin dari SRI Al-Hidayah Seri Iskandar, sementara tempat ketiga menjadi milik Muhammad Farish Jabbar dari SRI Hidayah, Johor Bahru.
Bagi kategori bercerita sekolah rendah, tempat pertama dimenangi oleh pelajar SRI Al-Ikram, Pulau Pinang, Nurul Naura Mikayla El-Islam Mohd Firdaus. Tempat kedua dimenangi oleh Aisyah Julaibeeb dari SRI As-Sa’idiyyah, Seremban dan tempat ketiga dimenangi oleh Mu’minah Syakilah Muhammad Hilmi dari SR Agama Integrasi Pekan, Beranang.
Keputusan pertandingan disahkan oleh Ketua Juri, Prof. Madya Dr. Abdul Halim Masnan, bersama barisan juri profesional iaitu Dr Mazlena Mohamad Hussain, Dr Dewi Mayang Sari Kamarozaman, Tn. Mohd Asri Ismail dan Puan Noor Habibah Rosli.
Majlis penutup disempurnakan oleh Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Haji Badlishah Sham Baharin, yang turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang.
Program anjuran Wanita IKRAM Malaysia dengan kerjasama IKRAM Musleh Integrated Education (MIEB) ini bertujuan memberi peluang kepada kanak-kanak untuk mengekspresikan hak mereka, di samping memupuk keyakinan diri dan nilai kepemimpinan sejak usia muda.
Tahniah diucapkan kepada semua peserta dan pemenang atas usaha dan semangat yang ditunjukkan. Semoga suara anak-anak kita terus bergema, bukan sahaja di pentas pertandingan, tetapi juga di pentas kehidupan — menyuarakan kebenaran, menentang kezaliman serta menyebarkan mesej damai dan kasih sayang untuk seluruh umat manusia.
Lagi foto: Pidato & Bercerita Piala KW2




