SERI KEMBANGAN – Sesi persekolahan bagi tahun ini akan dilanjutkan hingga Februari 2022, menurut Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.
Beliau berkata, keputusan ini buat bagi membolehkan Kementerian Pendidikan (KPM) memastikan semua pelajar yang ketinggalan bersedia untuk masuk ke kelas berikutnya.
“Semua murid akan kekal dalam darjah dan tingkatan masing-masing pada Januari dan Februari tahun depan sebelum dibenarkan naik ke peringkat seterusnya bermula pada Mac 2022,” katanya dalam sidang media mengenai pengoperasian sekolah pada Ahad.
Sebagaimana contohnya, murid Tingkatan Satu tahun ini akan kekal hingga Januari dan Februari tahun depan, sebelum naik ke Tingkatan Dua pada Mac 2022.
“Begitu juga sekolah rendah, contohnya murid Tahun Enam tahun ini akan kekal sebelum boleh naik ke Tingkatan Satu pada Mac 2022.”
Tambahnya lagi, satu kumpulan yang akan masuk lambat sedikit ke sekolah adalah pelajar Tahun Satu sesi 2022, yang mana mereka akan mula masuk ke sekolah pada Mac tahun depan.
“Pembukaan sekolah akan dilaksanakan menggunakan kaedah penggiliran dengan kapasiti 50 peratus daripada jumlah keseluruhan,” kata Mohd Radzi.
Menurutnya, pelaksanaan itu mengambil kira pengurangan kapasiti pelajar di dalam bilik darjah dan kedatangan delta varian baharu.
“Kita akan laksanakan penggiliran minggu dengan pembahagian murid dalam satu kelas kepada dua kumpulan. Maknanya 100 peratus dipecahkan kepada dua kumpulan dan dilaksanakan untuk semua kelas.
Dalam perkembangan lain, kes baharu positif Covid-19 pada Ahad mencatat sebanyak 19,198 kes dengan Sarawak kekal negeri tertinggi melaporkan kes harian iaitu 5,291.
Negeri Selangor (2,347), Johor (2,110), Sabah (1,717), Kelantan (1,435) Pulau Pinang (1,309), Kedah (1,256) dan Perak (1,118), adalaht lagi negeri merekodkan bilangan kes empat angka.
Negeri lain yang melaporkan kes tiga angka dan ke bawah ialah Terengganu (930), Pahang (584), Kuala Lumpur (376), Melaka (340), Negeri Sembilan (283), Perlis (67), Putrajaya (32) dan Labuan (tiga).
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di negara ini adalah 1,979,698 kes.