“Apabila kita ingin menguruskan topik kesatuan ummah ini, kita kena yakin dengan sebenar-benar yakin bahawa penyelesaian kepada kesatuan ini ada dalam agama kita, Islam,” jelas beliau dalam program yang menghimpunkan sekitar 350 orang anak muda di sekitar Australia.
Beliau menggariskan tiga fakta utama dalam usaha perpaduan iaitu Islam sebagai agama jama’i (bermasyarakat) bukan individu, ukhuwah (persaudaraan) yang tinggi mencapai husnu dzan (bersangka baik) serta itsar (mendahulukan saudara), dan kualiti berdasarkan al-Quran yang telah merubah generasi-generasi terdahulu.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Remaja dan Belia IKRAM turut menyatakan inisiatif-inisiatif pertubuhan tersebut ke arah kesatuan ummah antaranya melibatkan diri dalam Allied Coordinating Committee of Islamic NGOs (ACCIN), Majlis Dakwah Negara (MDN), Muktamar Amal Islami (MAIM), Majlis Perundingan Islam (MPI) dan sebagainya.
Selain Shahrul Aman, forum ini turut menampilkan seorang lagi panelis iaitu Saudara Izzat Roslan, seorang penulis dan vlogger, dan Madihah Akmal, pengasas bersama Malaysian Progressives in Australia (MPOZ) bertindak sebagai moderator.
Izzat memulakan perkongsian bahawa manusia secara fitrahnya adalah sebaik-baik kejadian yang perlu mengikut ketetapan Allah (Manufacturer’s Guide) dalam memegang agama secara keseluruhan dan tidak berpecah belah.
Beliau juga membawa banyak kisah para sahabat sebagai pengajaran, mengelakkan perpecahan dalam isu-isu cabang (khilaf) yang tidak berkesudahan perbincangannya dan perlu mengetepikan ego dalam menuju kesatuan ummah bahkan menegaskan bahawa tiada khilaf sama sekali untuk umat Islam bersatu.
Kuliah Mega Melbourne 2016 dianjurkan oleh Badan Perhubungan Negara (BPN) Australia cawangan Melbourne dengan kerjasama beberapa organisasi lain seperti EHSAN Victoria, IKRAM Australia dan ISMA Australia.
Kuliah ini membuka peluang kepada penganjur dan juga peserta untuk bekerjasama dalam menjayakan sebuah program yang bermanfaat dengan mencari persamaan dan mengetepikan perbezaan sebagai umat Islam di samping mengadakan forum untuk menambahkan lagi ilmu pengetahuan isu semasa yang tidak kurang pentingnya.
Kuliah yang telah berlangsung di AMSSA Centre, North Melbourne ini diikuti dengan solat hajat dan jamuan makan untuk pelajar-pelajar universiti yang bakal menduduki peperiksaan. Semoga usaha baik ini dapat diteruskan untuk memastikan kesatuan ummah terus kukuh dan utuh, insya-Allah.