Utamakan perpaduan umat daripada perselisihan fiqah

Ramadan yang penuh keberkatan ini disambut di seluruh dunia secara serentak. Oleh kerana kedudukan negara-negara kita berlainan dari sudut geografi, kita tidak dapat menyambutnya  pada satu ketika yang sama, tetapi semuanya menyambut pada satu tarikh yang sama yakni kemunculan anak bulan Ramadan di tempat masing-masing.

 

Sesungguhnya Ramadan membayangkan kesejagatan dan perpaduan Islam. Pada setiap ketika, setiap detik dalam 24 jam sehari, kita akan mendapati ada saja umat Islam yang sedang berpuasa, yang sedang berbuka, yang sedang bertarawih, membaca al-Quran, bersahur dan pelbagai aktiviti lain bagi meraikan Ramadan al-mubarak ini.

 

Kita dapati umat Islam tediri dari pelbagai jenis warna kulit, bangsa, kaum, bahasa dan kebudayaan. Namun dengan sambutan Ramadan yang serentak; mereka bersatu dalam kepelbagaian ini.

 

Jelas terserlah roh ayat Allah:

“Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam.” (Surah al-Anbiyaa’: 107)

 

Kesatuan dalam kepelbagaian  ini adalah ciri penting Islam. Kita berbeza bukan sekadar budaya dan warna kulit tetapi kadangkala sehingga dalam beberapa hal cara beribadah. Namun kita tetap bersatu atas perkara pokok dan prinsip.

 

Misalnya tiada umat Islam yang mempertikaikan kewajipan puasa pada bulan Ramadan, tiada yang tidak bersetuju bahawa awal puasa ialah pada satu Ramadan, tiada yang membangkang jika dikatakan orang yang sakit dan dalam perjalanan dibenarkan berbuka dan tiada yang mempertikaikan solat malam pada bulan Ramadan itu amat digalakkan.

 

Ini adalah perkara-perkara pokok dan prinsip dan tidak ada pertikaian mengenainya.

 

Namun dalam kalangan kita mungkin berbeza dari segi cara menentukan  tarikh 1 Ramadan atau sama ada “orang yang dalam perjalanan yang mudah perlu berpuasa atau tidak”, sama ada “solat tarawih itu 20 rakaat atau lapan” dan seumpamanya.

 

Perbezaan pendapat yang kecil sedemikian tidak semestinya tidak menunjukkan ketidaksatuan; asalkan semuanya berdasarkan hujah dan nas yang kuat.

 

Perkara furuk dan khilafiah seperti itu tidak sepatutnya menjadi penyebab kepada perpecahan. Kita perlu menghormati kebebasan yang Islam berikan dalam berbeza pendapat. Islam mengajar kita bertoleransi dan berpegang dengan adab dan akhlak ketika berlaku perbezaan pendapat.  

 

Para sahabat pernah berbeza pendapat mengenai bab puasa ketika dalam perjalanan. Lihat sikap mereka.

 

Anas bin Malik RA berkata, “Kami sedang bermusafir bersama dengan Rasulullah SAW semasa Ramadan dan dalam kalangan kami ada yang berpuasa, ada yang tidak berpuasa. Golongan yang berpuasa tidak menyalahkan orang yang tidak berpuasa dan golongan yang tidak berpuasa tidak menyalahkan orang yang berpuasa.” (HR Bukhari & Muslim)

 

Itulah sikap sahabat-sahabat Nabi SAW yang harus kita contohi. Tidak ada sebab untuk kita merendah-rendahkan amal perbuatan orang lain atau berasa diri kita lebih besar, lebih hebat, lebih banyak amal, lebih warak, lebih tinggi darjat takwa berbanding dengan mereka yang mempunyai kelainan dari sudut perkara¬perkara khilafiah sebegini.

 

Ingatlah pesanan Allah SWT:

“Hai orang-orang yang beriman, janganlah suatu kaum mengolok-olokkan kaum yang lain (kerana) boleh jadi mereka (yang diolok-olokkan) lebih baik daripada mereka (yang mengolok-olokkan).” (Surah al-Hujurat: 11)

 

Berhati-hatilah dengan jarum-jarum halus yang bakal merosakkan amal kita. Jangan dilayan perasaan bahawa kita lebih baik daripada mereka kerana kita melaksanakan sesuatu amal yang lebih lebih banyak, lebih kerap, lebih sempurna sambil kita memandang rendah orang lain.

 

Boleh jadi juga dalam keghairahan mencari yang lebih ‘benar’ dan lebih ‘banyak’, kita terpedaya dengan tipu-daya hawa nafsu kita yang memesongkan.

 

Ingatlah, sebaik sahaja kita berasa diri kita lebih takwa daripada orang lain, pada ketika itu bukanlah layak lagi kita digelar bertakwa!     

 

Prof. Dr Omar Yaakob
Ahli JKP IKRAM

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Aneka bangsa dan juga budaya,
Perpaduan terjalin sekian lama,
Selamat menyambut Hari Malaysia,
Walau berbeza, tetap teguh bersama.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia