Indeks Malaysia Negara Rahmah (IMNR) merupakan instrumen penilaian yang dibangunkan oleh Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) bagi mengukur sejauh mana Malaysia menuju ke arah menjadi sebuah Negara Rahmah.
Ini berlaku apabila rakyat hidup bahagia, saling mengasihi, menghormati dan bekerjasama untuk membangunkan negara yang aman, maju, makmur dan sejahtera, dalam kepelbagaian agama, bangsa, latar belakang dan budaya, merealisasikan Baldatun Tayyibatun wa Rabbun Ghafur (Negara yang Baik dan Tuhan Maha Pengampun).
Negara Rahmah juga merangkumi keadilan, kesejahteraan, keterangkuman dan keharmonian yang tercermin dalam kehidupan rakyat Malaysia. IMNR diukur melalui perspektif rakyat pelaksanaan bagaimana dasar awam dan pengalaman harian mereka mencerminkan nilai-nilai tersebut, berdasarkan pelbagai ciri yang ditentukan melalui kajian nasional ini.
Bagi IMNR 2025, instrumen ini telah diperkukuh kepada 15 ciri berbanding dengan 12 ciri sebelum ini, dan distrukturkan kepada tiga dimensi utama, iaitu politik, sosial dan ekonomi.
Dalam artikel ini, penulis cuba memberi pandangan peribadi terhadap dapatan IMNR 2025, khusus kepada ciri Hubungan Harmoni antara Etnik dan Penganut Agama yang mengukur tahap perpaduan rakyat di Malaysia.
Secara keseluruhan, IMNR 2025 memberikan gambaran yang positif. Skor keseluruhan menunjukkan peningkatan konsisten sejak 2021, dengan Dimensi Sosial kekal sebagai kekuatan utama. Dapatan ini mencerminkan persepsi rakyat bahawa kehidupan bersama antara kaum dan agama di Malaysia masih stabil dan berfungsi dengan baik.
Isyarat penting IMNR pasca-PRU15
Namun, analisis lebih terperinci mendedahkan satu isyarat penting apabila skor Ciri Hubungan Harmoni antara Etnik dan Penganut Agama pada tahun 2023 menurun kepada 7.13, berbanding 7.40 pada tahun sebelumnya. Walaupun skor ini meningkat semula kepada 8.04 pada 2025, iaitu pada tahap tinggi, penurunan sementara tersebut wajar diberi perhatian.
Isyarat ini signifikan kerana ia muncul dalam konteks politik pasca-Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 2023. Walaupun tiada konflik besar tercetus, kempen politik dan perbahasan awam ketika itu memperlihatkan peningkatan penggunaan naratif berunsur perkauman dan keagamaan yang sangat ketara, khususnya di media sosial.
Kesannya bukan dalam bentuk perpecahan fizikal, tetapi dalam polarisasi emosi dan psikologi. Masyarakat terus hidup bersama, namun rasa saling percaya menjadi lebih rapuh.
Keadaan inilah yang berkemungkinan telah digambarkan dalam dapatan IMNR 2023 bagi ciri ini. Keharmonian tidak runtuh, tetapi sebahagian rakyat merasakan hubungan antara komuniti berada dalam keadaan berjaga-jaga.
Pandangan ini selari dengan dapatan Malaysia Racism Report 2023 oleh Pusat KOMAS, yang merekodkan peningkatan wacana berunsur perkauman dan keagamaan dalam pasca-PRU-15 dan tempoh PRN 2023. Jurang mula kelihatan antara realiti kehidupan harian yang relatif aman dan ruang wacana awam yang semakin tegang.
Dalam konteks ini, perbandingan dengan Indeks Perpaduan Nasional (IPNas), indeks rasmi kerajaan, perlu difahami secara berhati-hati. Perbandingan khusus bagi tahun 2023 tidak dapat dibuat kerana skor IPNas hanya tersedia bagi 2018 dan 2022, yang kedua-duanya menunjukkan tahap perpaduan sederhana dan stabil, dan ia selari dengan dapatan IMNR.
Sekiranya sasaran IPNas 2025 diunjurkan kepada 0.7, maka kedua-dua indeks IMNR dan IPNas menunjukkan bahawa tahap perpaduan negara secara keseluruhan masih terkawal.
Namun, perbezaan metodologi perlu dijelaskan. IPNas mengukur keadaan perpaduan sosial yang berlaku di lapangan, manakala IMNR menangkap persepsi, pengalaman dan jangkaan rakyat terhadap keharmonian serta nilai bersama.
Apabila politik identiti memuncak, persepsi biasanya terjejas lebih cepat daripada realiti sosial, dan dalam hal ini, IMNR berfungsi sebagai pengesan awal kepada perubahan tersebut.
Baca lagi:https://ikram.org.my/panggilan-senyap-bahaya-dan-cara-menanganinya/
Dapatan menarik di Sabah dan Sarawak
Menariknya, dapatan IMNR turut menunjukkan bahawa Sabah dan Sarawak mencatat skor tertinggi, khususnya bagi ciri Hubungan Harmoni antara Etnik dan Penganut Agama. Di Malaysia Timur, kepelbagaian agama dan etnik bukan sesuatu yang luar biasa, sebaliknya realiti hidup seharian.
Identiti sebagai “orang Sabah” atau “orang Sarawak” sering mengatasi pengelasan kaum dan agama, manakala politik tempatan lebih tertumpu kepada pembangunan dan autonomi berbanding eksploitasi sentimen identiti.
Hasilnya, perpaduan di Sabah dan Sarawak dirasai secara organik, bukan bergantung semata-mata kepada kestabilan politik nasional. Pengalaman ini memberikan pengajaran penting kepada Semenanjung, bahawa perpaduan yang kukuh lahir daripada interaksi harian yang konsisten, bukan sekadar retorik atau kempen bermusim.
Negeri-negeri di utara dan beberapa negeri lain menunjukkan skor ciri ini lebih rendah, juga boleh dikaitkan dengan isu pembangunan, infrastruktur dan perkhidmatan asas seperti jalan dan pengurusan Pihak Berkuasa Tempatan.
Faktor-faktor ini, walaupun bukan isu etnik secara langsung, memberi kesan kepada persepsi perpaduan kerana ia mencetuskan konflik kejiranan dan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan.
Seiring Malaysia MADANI
Peningkatan skor IMNR 2025 pula mencerminkan pemulihan persepsi selepas penstabilan politik, pembentukan kerajaan perpaduan dan penurunan intensiti wacana perkauman serta keagamaan. Ini membuktikan bahawa keharmonian di Malaysia bersifat anjal dan ia teruji ketika krisis, tetapi mampu pulih apabila kepimpinan dan wacana kembali berteraskan keterangkuman.
Dapatan IMNR 2025 juga seiring dengan hala tuju Malaysia MADANI seperti yang digariskan dalam ucapan rasmi Perdana Menteri, dan dokumen dasar kerajaan MADANI menegaskan bahawa kemajuan negara tidak boleh diukur semata-mata melalui pertumbuhan ekonomi atau kestabilan politik, tetapi melalui kualiti hubungan sosial, keadilan antara komuniti dan tahap kepercayaan rakyat terhadap negara.
Dalam kerangka ini, perpaduan bukan isu sampingan, sebaliknya prasyarat kepada kemampanan dan kesejahteraan nasional.
Penekanan MADANI terhadap nilai ihsan, hormat dan keadilan sosial memberikan konteks penting kepada dapatan IMNR. Walaupun skor menunjukkan peningkatan dan daya tahan sosial, penurunan sementara pada tahun 2023 mengingatkan bahawa perpaduan boleh terjejas apabila wacana politik menyempitkan identiti dan meminggirkan nilai saling menghormati.
Ini selari dengan peringatan Perdana Menteri bahawa politik berasaskan perpecahan akhirnya melemahkan negara, walaupun kelihatan menguntungkan dalam jangka pendek.
IMNR 2025 turut mengukuhkan prinsip MADANI bahawa perpaduan perlu dibina melalui tadbir urus yang adil dan komunikasi politik yang beretika, bukan sekadar seruan simbolik. Apabila kerajaan menstabilkan politik, menurunkan suhu wacana identiti dan mengutamakan pendekatan inklusif, persepsi rakyat terhadap keharmonian turut pulih.
Indeks jadi amaran awal
Dalam semangat MADANI, indeks seperti IMNR dan IPNas wajar dimanfaatkan sebagai alat maklum balas dasar dan sistem amaran awal, bukan sekadar laporan tahunan. Apabila skor atau persepsi tertentu mula mendatar atau merosot, ia seharusnya mencetuskan pembetulan dasar, penambahbaikan komunikasi awam dan disiplin politik yang lebih tegas.
Akhirnya, IMNR 2025 mengingatkan kita bahawa perpaduan bukan sekadar ketiadaan konflik, tetapi soal rasa selamat, percaya dan dihormati. Angka mungkin kelihatan stabil, namun kepercayaan sosial ialah aset yang mudah terhakis.
Menjaga perpaduan menuntut kebijaksanaan politik, dasar yang inklusif dan kesediaan pihak kerajaan dan masyarakat untuk belajar daripada realiti di lapangan dan sebelum jurang kecil berubah menjadi retakan besar.
Dr Sabariah Baharun
Ahli Jawatankuasa Pusat
(Ketua Kluster Perpaduan Nasional)
Pertubuhan IKRAM Malaysia




