Perlindungan Sosial di Malaysia: Peranan KWSP & Pencarum

Perlindungan sosial merujuk kepada program atau produk yang terhasil bagi tujuan penyediaan bantuan dan keperluan meliputi aspek individu dan masyarakat dalam berhadapan dengan tekanan ekonomi.

Empat domain utama dalam jaringan perlindungan sosial ialah penghindaran kemiskinan, pembasmian kemiskinan, pampasan sosial dan pengagihan semula pendapatan.

Bagi mencapai objektif setiap domain tersebut, beberapa strategi dirangka seperti insurans sosial, bantuan sosial, elaun sosial, simpanan awam, liabiliti majikan, pencen atau simpanan pekerjaan dan pencen atau simpanan peribadi. 

Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) merupakan institusi terbesar yang menguruskan dana persaraan pencarum di Malaysia. Pengurusan dana sekuriti sosial untuk tujuan kesejahteraan kewangan sewaktu persaraan atau kecemasan telah melalui pelbagai anjakan paradigma bagi memastikan kelestarian kewangan setiap pencarum di Malaysia.

Terbaru, KWSP mempelbagaikan akaun simpanan dengan menawarkan pilihan akaun ketiga yang dikenali dengan akaun fleksibel dan telah menerima pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat di Malaysia. 

Sebagaimana yang sedia maklum, sebelum akaun fleksibel ini diperkenalkan, akaun KWSP rakyat Malaysia yang mencarum telah dibahagikan kepada dua akaun, iaitu Akaun 1 dan Akaun 2 dengan fungsi yang tertentu. 

Wang caruman daripada pekerja dan majikan yang berada dalam Akaun 1 berfungsi secara umumnya sebagai dana persaraan dan hanya dikeluarkan pada usia mencapai 55 tahun.

Akaun 2 pula bertujuan sebagai dana persediaan sebelum hari persaraan, namun boleh dikeluarkan untuk tujuan yang dibenarkan seperti merawat kos perubatan, pembayaran wang pendahuluan rumah pertama, penyelesaian baki hutang rumah pertama, pembayaran pendidikan untuk diri sendiri dan anak-anak dan yang terbaru untuk tujuan pelaksanaan ibadah haji.

Mudah dan fleksibel

Perkembangan terbaru dengan wujudnya akaun ketiga telah memperlihatkan penstrukturan kewangan pencarum yang lebih luas, mudah dan fleksibel bagi menampung keperluan kewangan jangka masa pendek. 

Berdasarkan perkembangan tersebut, penulis berpandangan terdapat dua perkara penting yang perlu diberikan perhatian iaitu:

  1. Kefahaman tujuan asal pewujudan dana sekuriti sosial
  2. Kewajipan memastikan pematuhan syariah terhadap dana kewangan 

Pertimbangan mewujudkan akaun ketiga (akaun fleksibel) telah diperincikan untuk menatijahkan konsep kesejahteraan kewangan terutama apabila ramai dalam kalangan rakyat Malaysia terjejas akibat  pandemik COVID-19.

Hal ini selaras dengan salah satu tujuan KWSP iaitu menyediakan kemudahan dana kecemasan kepada pekerja yang ditimpa ketidakmampuan untuk bekerja. 

Walau bagaimanapun, pihak KWSP secara konsisten memperingatkan pencarum untuk memikirkan fungsi utama dana ini, iaitu bagi tujuan tabungan jangka masa panjang terutama sewaktu masuk ke fasa persaraan.

Orang ramai terutamanya masyarakat Islam perlu berhati-hati sewaktu ingin mengeluarkan tabungan supaya tidak terjebak dengan perbuatan boros dan kikir yang memungkinkan mereka terjerumus ke kancah kemiskinan kerana kita telah diperingatkan oleh al-Quran daripada Surah al-Israa’ ayat 29 yang bermaksud:

“Dan janganlah engkau jadikan tanganmu terbelenggu di lehermu, dan janganlah pula engkau menghulurkannya dengan sehabis-habisnya kerana akibatnya akan tinggallah engkau dengan keadaan yang tercela serta menyesal.”

Pelbagai pihak telah berkongsi kepentingan untuk mempunyai dana sekuriti sosial jangka masa panjang (dana persaraan).

Hal ini demikian kerana faktor-faktor seperti inflasi, faktor luaran, gaya hidup dan peluang pekerjaan semakin berubah-ubah. KWSP telah mencadangkan sekurang-kurangnya, setiap individu mempunyai RM240,000 sewaktu bersara atau amnya keperluan sebanyak 2/3 daripada pendapatan terakhir untuk mengekalkan taraf hidup yang sama. 

Oleh itu, literasi kewangan sebagaimana yang penulis telah bincangkan dalam penulisan lepas merupakan alat penting bagi meningkatkan kepekaan masyarakat terhadap pengurusan kewangan masing-masing.

Perancangan kewangan

Kepentingan literasi kewangan persaraan dapat menjamin perancangan kewangan sesebuah keluarga bagi mengelakkan risiko kebergantungan kewangan kepada pihak lain.

Hal ini dapat mengeluarkan seseorang individu daripada beban kewangan dan dapat menumpukan dirinya kepada kerja-kerja ibadah dan aspek meningkatkan kualiti kerohanian masing-masing.

Tambahan pula, dengan kestabilan kewangan yang baik sewaktu persaraan, seseorang individu masih mampu meneruskan pembayaran zakat serta berpeluang untuk menyertai program-program kebajikan tanpa perlu terbeban dengan pekerjaan semasa. 

Berdasarkan perspektif maqasid syariah, pengurusan dana-dana kewangan seharusnya mencapai objektif perlindungan dan peningkatan melalui aktiviti pelaburan juga pematuhan syariah.

Oleh itu, KWSP telah mengambil tanggungjawab proaktif sejak tahun 2018 dengan menawarkan akaun simpanan syariah kepada pemegang-pemegang akaun Muslim. Kepelbagaian dalam pelaburan dengan mengutamakan prinsip-prinsip pematuhan syariah seperti tidak terlibat dengan transaksi riba, perjudian dan ketidaktentuan dipantau secara rapat oleh barisan penasihat syariah lantikan KWSP.

Tadbir urus yang baik turut ditekankan oleh pengurusan KWSP dengan mewujudkan jabatan syariah berdasarkan seksyen 43A akta KWSP 1991. 

Akaun simpanan syariah

Menurut data semasa April 2024, 80 peratus mewakili 7.1 juta pencarum masih berada dalam simpanan konvensional. Setiap individu Muslim seharusnya berjaga-jaga dengan peringatan Rasulullah SAW perihal kelakuan penduduk akhir zaman yang akan menatijahkan individu yang tidak bertanggungjawab. 

“Akan datang suatu zaman nanti seseorang sudah tidak lagi mengambil peduli (pendapatan) yang diperolehnya, sama ada daripada sumber halal ataupun haram”. (HR Al-Bukhari)

Berdasarkan hadis di atas, kedudukan akaun dana caruman KWSP pencarum Muslim di Malaysia bukan lagi satu pilihan tetapi menjadi kewajipan untuk ditukar kepada akaun simpanan syariah.

Berdasarkan objektif dana KWSP, kedudukan akaun dalam caruman patuh syariah akan dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk tujuan ibadah seperti menunaikan ibadah haji dan umrah tanpa keraguan dan was-was dengan sumber dana tersebut.

Allah SWT menegaskan kepada orang-orang yang beriman agar berhati-hati sewaktu menggunakan sumber pendapatan agar bersih daripada larangan yang haram. Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 172 bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman!, makanlah daripada benda-benda yang baik (yang halal) yang telah kami berikan kepada kamu.”

Tindakan individu yang masih mengekalkan akaun mereka dalam akaun konvensional secara tidak langsung diurus dan dilaburkan secara konvensional yang banyak terlibat dengan unsur-unsur bercanggah dalam Islam. Tegahan itu jelas dapat kita perhatikan dalam firman Allah Surah al-Maidah ayat 2 yang bermaksud:

“Dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah kerana sesungguhnya Allah maha berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).”

Perhatikan ciri-ciri Muslim yang berjaya iaitu Muslim yang sentiasa cakna dengan setiap proses dan aktiviti yang mereka lakukan. Allah SWT telah menunjukkan cara manusia yang berjaya sepertimana firman-Nya dalam Surah al-Maidah ayat 90:

“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah (semuanya) adalah kotor (keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”

Pendapatan daripada akaun syariah KWSP telah dipastikan tiada pencaruman antara halal dan haram. Justeru, menjadi tanggungjawab pencarum untuk mengeluarkan zakat dengan syarat pekerjaan asal pencarum adalah halal.

Selain itu, dividen yang diberikan oleh KWSP juga tertakluk kepada zakat. Bagi individu yang masih belum menukar kepada akaun syariah pula, wang yang diterima perlu disucikan dan individu tersebut perlu bertaubat.  

Sebagai kesimpulan, setiap individu mempunyai tanggungjawab untuk menguruskan kedudukan kewangan dengan bijaksana seperti mengelakkan perbelanjaan yang boros, sebaliknya berbelanja mengikut kemampuan.

Mempelbagaikan strategi pengurusan kewangan bagi mencapai sasaran bebas kewangan turut ditekankan oleh agama Islam.

Sebagai contoh, perancangan yang mampan antara membuat perlindungan dan mengaktifkan peningkatan pendapatan melalui pelaburan dapat mengeluarkan masyarakat daripada belenggu kewangan yang tidak berkesudahan. 

 

Dr Wan Mohd Al Faizee Wan Ab Rahaman
Pensyarah Kanan
Arshad Ayub Graduate Business School
UiTM, Shah Alam

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia