Dunia terus digemparkan dengan berita peperangan dan penjajahan baharu tanpa henti. Baru-baru ini, dunia dikejutkan dengan penculikan pemimpin utama Venezuela.
Walaupun penculikan Nicolás Maduro, Presiden Venezuela, dikaitkan dengan tuduhan penglibatan dalam jenayah narkotik, namun pentadbiran Amerika Syarikat tidak mempunyai hak untuk melaksanakan operasi sedemikian kerana ia jelas melanggar kedaulatan negara Venezuela serta bercanggah dengan undang-undang antarabangsa.
Bahkan, jenayah narkotik paling berkuasa di dunia bukanlah Venezuela, sebaliknya Mexico, yang secara langsung berkongsi sempadan dengan Amerika Syarikat.
Sebelum itu pula, dunia Islam khususnya digemparkan dengan tindakan Netanyahu yang mengiktiraf wilayah Somaliland. Tindakan tersebut telah memecahkan lagi peta sebuah negara Islam demi kepentingan geopolitik serta perlindungan politik kepada pihak yang memihak kepada rejim Zionis.
Hampir seluruh negara Islam dan benua Afrika telah menyatakan ketidakpuasan hati terhadap tindakan tersebut kerana ia mencabuli kedaulatan negara Somalia, bercanggah dengan pendirian Kesatuan Afrika, serta berpotensi mengganggu keselamatan serantau.
Manakala di wilayah berhampiran, Yaman pula telah terpecah kepada tiga bahagian mengikut negara penaja masing-masing. Bahagian utara, yang merangkumi kawasan paling padat penduduk, dikuasai oleh kumpulan Ansarullah yang ditaja Iran.
Bahagian tengah Yaman dikuasai oleh Majlis Kepimpinan Presiden yang ditaja Arab Saudi, manakala kawasan selatan dan barat Yaman pula dikuasai oleh Majlis Peralihan Selatan yang ditaja Emiriah Arab Bersatu. Ketika ini, dilaporkan pertempuran sengit sedang berlaku antara tentera Majlis Kepimpinan Presiden dan Majlis Peralihan Selatan.
Selain itu, konflik di Sudan juga sedang berlaku, namun masih kurang mendapat perhatian dunia. Di Sudan ketika ini, jumlah kematian penduduk awam dianggarkan mencecah sekitar 200,000 orang. Punca kematian merangkumi kebuluran, pembunuhan beramai-ramai, pembakaran serta pelbagai bentuk keganasan lain.
Sehubungan dengan itu, jenayah seksual terhadap wanita dan kanak-kanak turut dilaporkan berlaku secara meluas. Laporan menunjukkan bahawa jenayah ini dilakukan oleh anggota kumpulan Rapid Support Forces (RSF) yang diberikan kebebasan untuk bertindak sesuka hati terhadap penduduk awam demi menguasai kawasan yang berada di bawah kawalan tentera kerajaan.
Perjuangan Palestin semakin tenggelam?
Namun begitu, berbanding konflik-konflik lain yang dinyatakan, kesengsaraan dan penderitaan penduduk Gaza jauh lebih dahsyat dan berpanjangan.
Isu yang melanda Gaza bukan sekadar konflik kemanusiaan, tetapi turut melibatkan aspek geopolitik, perampasan tanah, pengeboman tanpa henti, sekatan terhadap bantuan keperluan asas serta kepungan yang semakin kejam dan zalim.
Malangnya, isu-isu global lain yang timbul sering kali menenggelamkan perkembangan semasa di Gaza, sedangkan hampir setiap minggu, malah setiap bulan, terdapat perkembangan penting yang perlu diberi perhatian.
Dalam kalangan masyarakat awam pula, khususnya umat Islam, antara faktor utama yang menyebabkan semangat perjuangan untuk Gaza semakin pudar ialah berlakunya penyahpekaan terhadap isu Palestin.
Konflik di Gaza telah berlarutan lebih daripada dua tahun sejak 7 Oktober 2023. Sejak tarikh tersebut, hampir setiap hari umat Islam disajikan dengan visual yang mengerikan dan menyayat hati.
Namun, pendedahan berterusan terhadap penderitaan ini telah menyebabkan sebahagian masyarakat menjadi kurang sensitif dan cenderung memilih berita yang lebih menghiburkan. Hakikatnya, penderitaan penduduk Gaza tidak dapat dibandingkan dengan keselesaan mereka yang sekadar mengikuti perkembangan melalui media sosial.
Palestin bukan sekadar isu kemanusiaan
Selain itu, masyarakat awam juga cenderung melihat isu Palestin hanya dari sudut kemanusiaan semata-mata. Tidak dinafikan bahawa aspek kemanusiaan merupakan penderitaan terbesar yang dialami oleh penduduk Palestin, sama ada di Gaza mahupun di Tebing Barat.
Namun, isu Palestin turut merangkumi dimensi politik, ekonomi dan sosial, termasuk kerugian yang semakin ketara dialami oleh rejim Zionis.
Antara contohnya ialah gelombang pengiktirafan terhadap negara Palestin yang berlaku pada bulan September lalu, tindakan majoriti wakil negara yang meninggalkan Netanyahu di Dewan Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, pemburuan anggota Israel Defense Forces (IDF) di pelbagai negara walaupun ketika bercuti, serta sokongan terbuka ribuan artis dan tokoh terkenal dunia terhadap perjuangan Palestin.
Perkembangan seperti ini seharusnya menjadi pemangkin untuk meneruskan momentum perjuangan Palestin.
Seterusnya, antara faktor utama yang disebut oleh sebahagian penganalisis sebagai punca pudarnya perhatian dunia terhadap Palestin ialah pelaksanaan gencatan senjata pada 10 Oktober tahun lalu. Dunia seolah-olah menganggap peperangan telah berakhir dan Gaza kembali aman.
Namun realiti di lapangan menunjukkan keadaan yang sebaliknya. Sejak bermulanya gencatan senjata, rejim Zionis dilaporkan telah melanggar perjanjian lebih 1,000 kali, membunuh sekitar 500 penduduk awam, mengebom lebih 455 bangunan kediaman serta melepaskan tembakan secara langsung ke arah penduduk awam lebih 150 kali.
Malangnya, tiada satu pun daripada jenayah ini dipandang berat atau diambil tindakan serius oleh Amerika Syarikat mahupun sekutunya.
Oleh itu, pemimpin-pemimpin dunia harus memainkan peranan yang lebih tegas dengan mengambil tindakan konkrit untuk menekan rejim Zionis agar menghentikan penindasan terhadap penduduk Palestin.
Setakat mengeluarkan kenyataan, kecaman dan kritikan semata-mata, semua itu telah dilakukan sepanjang dua tahun lalu tanpa memberikan sebarang kesan yang signifikan.
Dr. Mustafa al-Barghouthi menegaskan bahawa sekurang-kurangnya 57 buah negara Islam perlu segera memutuskan hubungan dengan Israel. Bahkan Sepanyol, yang bukan sebuah negara Islam, mampu mengenakan embargo terhadap perdagangan ketenteraan dengan Israel.
Sekarang masa bertindak!
Akhir sekali, mesej utama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kepada para pemimpin dunia dan masyarakat antarabangsa ialah bahawa perjuangan Palestin menuntut pengorbanan yang besar.
Sebagai contoh, apabila Afrika Selatan membawa jenayah rejim Zionis ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), negara tersebut dilaporkan berdepan risiko ketegangan hubungan dengan Amerika Syarikat dan negara-negara Barat.
Namun, langkah berani itu telah membuahkan hasil apabila Netanyahu sendiri disabitkan bersalah di mahkamah antarabangsa.
Oleh itu, seluruh negara di dunia sekurang-kurangnya perlu memberikan ancaman tegas untuk memutuskan hubungan perdagangan berkaitan ketenteraan serta memberikan sokongan penuh kepada Palestin dari sudut politik, ekonomi, sosial dan ketenteraan.
Langkah ini mungkin berisiko, namun apakah erti sebuah perjuangan tanpa pengorbanan?
Megat Aiman Hakim Megat Shariffudin
Eksekutif Advokasi dan Penyelidikan
Humanitarian Care Malaysia (MyCARE)




