Perginya Dr Yusuf al-Qaradawi, Mujaddid Kurun Ini

Perginya Dr Yusuf al-Qaradawi, Mujaddid Kurun Ini | IKRAM

Pemergian almarhum Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi menemui Penciptanya merupakan satu kehilangan yang tidak ada bandingnya kepada umat hari ini.

Bukan hanya umat Islam merasai kehilangan almarhum, penganut-penganut agama lain, pemimpin negara dan masyarakat, pejuang kebenaran dan keadilan sejagat juga meratapi kematian almarhum. 

Saya melihat tidak ada solat jenazah yang terbesar dan solat jenazah ghaib yang diberikan kepada seorang ulama atau tokoh atau pemimpin melainkan apa yang diberikan kepada Syeikh al-Qaradawi.

Ratusan juta umat solat (jenazah) ghaib dan mendoakan kepada almarhum agar Allah menempatkan rohnya bersama para anbia, aulia dan solihin.

Sumbangan Keilmuan

Almarhum Syeikh al-Qaradawi meninggalkan kepada dunia ini khazanah yang terlalu besar dan banyak untuk dihitung. Khazanah ilmu yang almarhum tinggalkan seperti kitab-kitab ilmu menjadi teks pembelajaran di universiti di seluruh dunia.

Begitu juga formula ekonomi Islam, seperti ilmu zakat, wakaf, faraid dan lain-lain telah menjadi rujukan utama ahli akademik, penyelidik, pelajar mahupun seluruh institusi kewangan yang merujuk kepada ilmu almarhum. 

Ilmu tentang fiqah yang lain, ilmu tafsir, hadis, fatwa, politik, kepimpinan, haraki dan segala cabang ilmu yang lain telah ditinggalkan oleh almarhum sebagai pusaka kepada umat hari ini. 

Kehebatan almarhum adalah keupayaannya untuk mengintegrasikan ilmu aqli dan ilmu kontemporari yang kedua-duanya diperlukan oleh umat sejagat. Tulisan ini terlalu kerdil untuk mengupas apa yang telah dihasilkan oleh almarhum.

Cukuplah tulisan ini untuk mengingatkan kita semua agar terus menelaah ilmu yang almarhum telah tinggalkan selain daripada terus berdoa agar kebaikan untuk almarhum akan terus mengalir kepadanya biarpun almarhum sudah tiada lagi di dunia ini.

Almarhum, dengan  segala kelebihan yang Allah telah anugerahkan, tidak bermakna kehidupannya sentiasa disirami dengan air mawar dan segala kenikmatan.

Pelbagai Ujian

Almarhum seawal tahun 60an lagi telah diusir dari masqat ra’sihi atau tanah tumpah darahnya, Mesir. Almarhum hidup dalam buangan dan kerajaan Qatar seawal tahun 60an juga telah menerima almarhum untuk tinggal di Qatar.

Malah, kerajaan Qatar ketika itu menolak tuntutan Jamal Abdul Nasir, Presiden Mesir untuk dikembalikan ke Mesir untuk dipenjara. Malah, kerajaan Qatar bermurah hati memberikan kerakyataan Qatari kepada almarhum hinggalah almarhum menghembuskan nafasnya di bumi Qatar.

Almarhum juga dituduh dengan berbagai-bagai fitnah, antaranya dituduh tidak mengecam kerajaan kejam Saddam Hussein di Iraq. Dengan tegas almarhum menjelaskan itu adalah fitnah.

Almarhum menegaskan, Saddam Hussein menjemput ulama di seluruh dunia untuk menyokong kerajaan zalimnya, dan hanya dua orang ulama yang menolak untuk hadir, iaitu almarhum Syeikh Abu Hassan An-Nadwi dari India dan almarhum sendiri.

Dalam satu khutbah di masjid di Qatar, almarhum yang ketika itu berusia 87 tahun menyatakan, almarhum tidak pernah menjejakkan kaki ke Iraq kerana tidak mahu bersekongkol dengan kerajaan yang zalim; pada era Saddam Hussein atau kerajaan boneka Amerika.

Tidak cukup dengan ujian di tanah Arab, almarhum juga pernah cuba dihalang oleh pelobi  Zionis Yahudi daripada memasuki London. Namun dengan kehendak Allah dan usaha murni kerajaan Britain sendiri khususnya Datuk Bandar London, mereka tidak berjaya menyekat kemasukan almarhum ke London. 

Tidak cukup dengan itu, stesen-stesen TV di London mengadakan temu bual dengan almarhum dan disiarkan ke seluruh dunia! Almarhum juga menyampaikan khutbah di Central Mosque di London, berceramah di dewan besar London atas jemputan Datuk Bandar London. 

Itulah maqam yang Allah berikan kepada almarhum, malah pengarang-pengarang akhbar mengulas sambutan masyarakat dan kerajaan UK kepada almarhum mengatasi sambutan kepada Presiden AS ketika itu, George Bush!

Tegur Kerajaan Qatar

Tidak kurang juga fitnah dikenakan kepada Syeikh kononnya tidak menegur kerajaan Qatar yang membenarkan kerajaan Amerika menempatkan pangkalan tenteranya di Doha. Almarhum dengan tegas menegaskan itu adalah fitnah semata-mata. 

Almarhum dengan tegas mengatakan telah mengingatkan kerajaan Qatar akan perkara tersebut dalam khutbah dan wacana di TV Qatar bahawa sebarang kerjasama yang memudaratkan Islam dan umat Islam hendaklah dihapuskan sementara kerjasama strategik adalah dibenarkan.

Tidak cukup dengan ujian fitnah dan nista, almarhum juga menerima ugutan bunuh daripada Mossad Israel. Dengan berani almarhum menegaskan, ia tidak sedikit pun berasa takut dengan ugutan itu dan amat bersedia untuk mati di tangan musuh Allah kerana itulah cita-cita tertingginya, mati syahid.

Malah dalam satu khutbahnya di masjid Qatar, almarhum merintih, andainya kerajaan Qatar mahu menutup mulutnya daripada menyatakan kebenaran dan mencegah kemungkaran, almarhum menyatakan dengan jelas, “Sesungguhnya bumi Allah ini luas, aku akan berhijrah ke tempat lain. Aku yakin ungkapnya bahawa Allah akan anugerahkan aku sebuah khemah untuk aku berteduh di bawahnya.”

Allahuakbar, besarnya jiwa almarhum Syeikh Yusuf al-Qaradawi, tidak sedikit pun tunduk kepada habuan dunia melainkan kepada Allah jua ia bertawakal.

Dan alhamdulillah juga, kerajaan Qatar seawal tahun 60an ketika negara itu masih miskin dan hingga kini menjadi negara terkaya di dunia menjaga dan menatang almarhum umpama menatang minyak yang penuh. Moga Allah terus memberkati negara ini selagi ia menjaga agama Allah ini.

Mujaddid Kurun Ini

Seperti yang saya akurkan di atas, saya bukan penulis yang layak untuk menulis belasungkawa almarhum, namun atas rasa mahu berkongsi kebaikan almarhum, moga menjadi saksi kepada saya bahawa saya amat menghargai almarhum, saya gagahkan juga penulisan ini.

Pengalaman peribadi saya pada tahun 2017, saya diberikan kesempatan bersama Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Musa Ahmad untuk menziarahi almarhum di pejabatnya di Doha.

Saya melihat sendiri kegigihan almarhum menulis dan baru sahaja menyiapkan sebuah kitab. Almarhum hadiahkan kitab itu kepada saya dan berwasiat, “Terjemahkan ke dalam bahasa kamu, mereka memerlukannya,” kata almarhum.

Itulah almarhum Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi dan benar sekali kata-kata Imam asy-Syafii, sesungguhnya ilmu itu cahaya Allah dan cahaya itu tidak diberikan kepada mereka yang melakukan kemaksiatan.

Pembaca sekalian, perginya seorang mujaddid kurun ini seperti yang disabdakan oleh Rasulullah SAW bahawa Allah akan mengutuskan setiap 100 tahun seorang yang akan mentajdidkan agama ini. (HR Abu Dawud, No. 4291, Sahih)

Agak malang kalau mana-mana kerajaan dan umat di dunia ini tidak menyedari kehilangan ini, lalu terlupa atau terleka daripada mengucap takziah dan mendoakan almarhum.

Marilah kita meratapi pemergian almarhum dengan meningkatkan kefahaman dan amalan kita kepada agama ini agar Islam terus menjadi rahmatan lil alamin

Dato’ Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan
Timbalan Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia