Dunia digital hari ini membuka ruang interaksi yang tiada sempadan. Komunikasi menjadi lebih pantas, mudah dan terbuka tanpa batasan jantina. Namun, dalam kebebasan ini timbul persoalan penting, apakah batasan ikhtilat masih relevan di alam maya?
Allah SWT telah memerintahkan agar lelaki dan perempuan menjaga pandangan serta memelihara kehormatan: “Katakanlah kepada orang lelaki yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya…” (Surah an-Nur, 24: 30)
Perintah ini tidak terhad kepada interaksi fizikal semata-mata, tetapi meliputi juga interaksi maya kerana segala bentuk perhubungan yang membuka pintu syahwat dan mendekatkan kepada zina adalah dilarang.
Oleh itu, batasan ikhtilat dalam dunia digital bukan sekadar kekal relevan, malah menjadi benteng penting dalam menjaga kesucian hati, kehormatan diri dan kestabilan masyarakat.
Islam meletakkan prinsip ini sebagai tanda rahmat Allah SWT kepada hamba-Nya, agar tidak terjerumus ke lembah dosa yang bermula dengan langkah-langkah kecil yang sering dipandang remeh.
Ikhtilat di alam maya
Secara umum, ikhtilat merujuk kepada percampuran bebas antara lelaki dan perempuan ajnabi (bukan mahram) tanpa keperluan syarii atau kawalan adab.
Di alam maya, bentuk ikhtilat ini muncul dalam mesej peribadi (DM, WhatsApp, Telegram); komen mesra atau menggoda di media sosial; perbualan video/gaming bersama jantina lain; dan juga komunikasi berkumpulan yang tidak dikawal adabnya.
Allah SWT mengingatkan dalam Surah al-Isra’ (maksudnya):
“Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).” (Surah al-Isra’, 17: 32)
Allah SWT bukan sekadar mengharamkan zina, malah melarang segala jalan yang boleh mendekatkan diri kepada zina termasuk pandangan yang tidak dijaga, perbualan yang menggoda dan pergaulan bebas tanpa batas.
Normalisasi pergaulan bebas?
Ramai remaja dan orang dewasa kini tidak lagi melihat perbualan mesra antara jantina sebagai isu. Ia dianggap “biasa” dan “tidak berniat apa-apa.” Segalanya bermula dengan sesuatu yang kelihatan remeh iaitu ikhtilat di alam maya yang tidak dijaga.
Ia mungkin sekadar gurauan ringan, perbualan santai atau bertukar emoji mesra antara lelaki dan perempuan ajnabi di media sosial, aplikasi mesej peribadi atau forum terbuka.
Tanpa disedari, komunikasi ini berlaku tanpa keperluan syarii dan di luar kawalan dengan menggunakan bahasa yang tidak sepatutnya atau pada waktu yang tidak wajar seperti tengah malam.
Lalu timbul rasa selesa dan hubungan itu diteruskan secara konsisten, tanpa sempadan dan tanpa rasa bersalah. Inilah saatnya syaitan mula menanam jarumnya, dengan bisikan bahawa “tidak mengapa,” “sekadar kawan” atau “tak salah kalau jaga niat.”
Daripada komunikasi maya yang berpanjangan, mula rasa suka, rindu dan perhatian mula bercambah walaupun belum pernah bersua muka. Emosi yang berkembang ini dianggap tidak berdosa kerana “belum buat apa-apa”. Namun hakikatnya, dosa hati sedang berlaku iaitu zina hati, zina mata, zina telinga.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud:
“Sesungguhnya Allah telah menetapkan bahagian zina untuk setiap anak Adam, dia akan mendapatkannya dan tidak boleh dihindari, maka zina mata dengan melihat, zina lidah dengan ucapan, zina hati dengan membayangkan dan merasakan syahwat, sedangkan kemaluan membenarkan semua itu atau mendustakannya.” (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)
Apabila emosi telah mendominasi, lahirlah keinginan untuk bertemu secara fizikal. Alasannya mungkin kelihatan murni seperti “nak kenal lebih dekat”, “nak bincang hal serius”, namun ia sering membawa kepada situasi khalwat.
Tanpa pengawasan iman dan persekitaran, pertemuan itu membuka peluang kepada syaitan untuk membisikkan godaan terakhir.
Dosa itu tidak pernah datang sendirian. Kesan dan natijahnya sangat dahsyat. Kehormatan diri yang selama ini dijaga, runtuh dalam sekelip mata. Rasa bersalah yang menekan jiwa membawa kepada tekanan emosi, kemurungan, bahkan keinginan untuk menamatkan hidup.
Lebih membimbangkan, berlakunya kehamilan luar nikah, penyakit jangkitan seksual dan keretakan dalam hubungan kekeluargaan. Dari satu dosa, lahir pula jenayah-jenayah sampingan seperti pembuangan bayi, penyebaran gambar atau video peribadi, ugutan dan sebagainya.
Akhirnya, masyarakat turut merasai keperitannya apabila akhlak generasi muda semakin lemah dan jenayah seksual meningkat tanpa kawalan.
Allah SWT telah memberi amaran: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengikuti jejak langkah syaitan. Barang siapa yang mengikuti langkah syaitan, maka sesungguhnya syaitan itu menyuruh melakukan perbuatan keji dan mungkar.” (Surah an-Nur, 24: 21)
Inilah jalan licik yang digerakkan oleh syaitan bermula dengan ikhtilat tanpa batas, berakhir dengan kemusnahan maruah dan iman. Justeru, jangan pernah memandang ringan komunikasi di alam maya.
Keperluan komunikasi vs fitnah syahwat
Islam tidak melarang komunikasi antara lelaki dan perempuan secara mutlak. Namun ia mestilah berpada, beradab dan berdasarkan keperluan syarii seperti melaksanakan urusan kerja, belajar, urusan organisasi atau keluarga.
Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Dan apabila kamu meminta sesuatu daripada isteri-isteri Nabi, maka mintalah dari balik tabir. Itu lebih suci bagi hatimu dan hati mereka.” (Surah al-Ahzab, 33: 53)
Ayat ini walaupun khusus kepada isteri-isteri Nabi, namun mengandungi prinsip umum iaitu menjaga interaksi agar tidak menimbulkan fitnah di hati. Maka di alam maya, kita perlu menilai adakah mesej ini benar-benar perlu? Adakah gaya bahasa kita sopan? Adakah waktunya sesuai?
Panduan etika menjaga ikhtilat di alam maya
Dalam era digital yang serba terbuka ini, menjaga batasan pergaulan antara lelaki dan perempuan ajnabi menjadi semakin mencabar namun sangat penting.
Oleh itu, beberapa garis panduan praktikal perlu diamalkan bagi memastikan komunikasi dalam talian tidak melanggar syariat dan adab Islam. Antara langkah yang boleh diambil ialah:
i. Menggunakan saluran komunikasi rasmi seperti e-mel atau kumpulan perbincangan terbuka, berbanding mesej peribadi yang cenderung kepada situasi tersembunyi.
ii. Dalam urusan yang sensitif, libatkan pihak ketiga seperti adik-beradik, ibu bapa, suami atau isteri sebagai langkah berjaga-jaga.
iii. Penggunaan emoji yang menggoda atau bahasa manja walaupun atas nama gurauan hendaklah dielakkan sepenuhnya.
iv. Perbualan peribadi tanpa keperluan, khususnya pada waktu malam perlu dielakkan kerana pada waktu itu, bisikan syaitan lebih kuat dan kawalan diri semakin lemah.
Rasulullah SAW telah memberi amaran jelas dalam sebuah hadis: “Tidaklah seorang lelaki bersendirian dengan seorang wanita melainkan syaitan akan menjadi yang ketiga.” (Riwayat Tirmizi).
Walaupun bersendirian itu berlaku di alam maya seperti dalam mesej peribadi yang hanya diketahui dua individu, ia tetap dikira sebagai bentuk khalwat digital.
Hakikatnya, segala larangan Allah SWT bukanlah bertujuan menyekat kebebasan, tetapi merupakan tanda kasih sayang dan rahmat-Nya bagi menjaga kehormatan juga maruah manusia.
Dengan mengharamkan zina dan segala jalan yang mendekatinya, Allah SWT sedang melindungi manusia daripada kejatuhan akhlak, kehancuran institusi keluarga serta derita jiwa yang datang bersama dosa.
Maka, setiap batasan yang diletakkan oleh syariat bukanlah beban, tetapi benteng kasih-Nya agar kita hidup dalam kemuliaan dan selamat daripada perangkap syaitan yang halus dan menipu.
Ustazah Hasliza Talib
Pensyarah Universiti Islam Selangor