Perceraian era pandemik

It takes two to tango, begitulah yang sering diungkapkan apabila kita melazimi alam berumah tangga. Rumah tangga adalah sebuah bahtera pemula, tempat penyatuan dua hati untuk dikemudi bersama antara pasangan suami isteri.

 

Mana mungkin sebuah bahtera dapat berlayar dan sampai ke destinasinya jika ketuanya ingin mengemudi ke utara manakala pembantunya pula ingin mengemudi ke selatan. 

 

Tidak mudah melayari bahtera rumah tangga jika sedari mula mengikat janji setia untuk hidup bersama sudah tidak didasari dengan jelas matlamatnya. Hanya didasari perasaan cinta semata-mata tidak akan mampu menyemai kasih selamanya.

 

Oleh kerana itu, Islam dari mula lagi telah menggariskan ciri-ciri asas untuk memilih pasangan seperti yang telah disabdakan oleh Rasulullah SAW:

 

“Seorang wanita dinikahi kerana empat sebab iaitu kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka hendaklah kamu merebut yang empunya agama, itulah pilihan terbaik.” (HR Bukhari dan Muslim)

 

Sangat cantik neraca yang telah ditetapkan oleh agama kita, namun Islam tidak pernah meminggirkan fitrah manusiawi.

 

Oleh kerana itu, jangan hanya mengikat tali perkahwinan hanya atas neraca cinta semata-mata, namun berikan pertimbangan yang sewajarnya sama ada pasangan yang dipilih itu sekufu (setaraf) dan tidak terlalu jauh jurangnya.

 

Hal ini usah dipandang enteng oleh pasangan baharu yang ingin mendirikan rumah tangga. Peranan ibu bapa sebagai penasihat haruslah diambil kira kerana mengikat tali perkahwinan bukan sekadar menjadi raja sehari malah kehidupan perlu diurus selepas itu.

 

Apabila tali perkahwinan diikat, setiap individu tidak sekadar menikah dengan pasangannya sahaja, malah perlu beradaptasi dengan seluruh ahli keluarga pasangannya juga. Maka sangat wajar diambil kira faktor sekufu dalam pemilihan pasangan.

 

Era pandemik hari ini menyaksikan institusi rumah tangga runtuh dengan begitu banyak lebih daripada biasa. Ledakan ini berlaku 12 peratus lebih tinggi berbanding sewaktu di luar masa pandemik atau sifir mudahnya, boleh dikatakan sebanyak 132 pasangan bercerai setiap hari seperti yang telah dilaporkan oleh akhbar Kosmo.  

 

Turut menguatkan angka ini, Ketua Pengarah Kehakiman Syariah iaitu Dato’ Dr Mohammad Naim Mokhtar seperti dilaporkan oleh akhbar Utusan Malaysia berkata, sebanyak 6,569 kes perceraian telah didaftarkan sepanjang tempoh tiga bulan pertama PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) iaitu sekitar Mac hingga Jun 2020. 

 

Angka ini bukan suatu angka yang sedikit. Pasti ada sesuatu yang boleh dirungkai mengapa fenomena perceraian ini meningkat begitu banyak sewaktu pandemik ini. 

 

Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pula, antara punca utama menyumbang kepada penceraian sewaktu pandemik ini adalah faktor kewangan, gangguan pihak ketiga dan isu keganasan rumah tangga.

 

Jika dilihat dengan teliti, faktor-faktor ini bukanlah berlaku dalam masa sehari dua. Sebenarnya ia telah berlaku lebih awal lagi, namun tekanan yang dialami pasangan sewaktu pandemik ini menyebabkan  masalah ini menjadi semakin teruk.  

 

Satu per satu permasalahan keluar, kemarahan mula meledak dan konflik yang sudah bermula sebelum pandemik tidak lagi boleh dibendung. Ini kerana pandemik ini begitu menekan emosi dan jiwa kita.

 

Kebebasan seolah ditarik sama sekali. Belum lagi dirungkai tekanan emosi kerana kehilangan punca pendapatan. Jika tidak kuat asas agama dan jati diri, apa sahaja ikatan sangat mudah terungkai tatkala ini.     

 

Daripada statistik juga dapat dilihat bahawa pasangan yang berumur dalam lingkungan 30 hingga 34 tahun paling ramai yang mengalami perceraian tatkala ini. 

 

Mengikut Puan Azlina @ Roszy Mohamad Ghaffar, dalam  seorang ahli psikologi klinikal, umur perkahwinan yang kurang dari tujuh tahun adalah masih dalam fasa pergolakan yang hebat. Ini kerana pada tahun-tahun ini masih berlaku pelbagai adaptasi, suai kenal serta penyesuaian antara kedua pasangan.

 

Sangat penting bagi setiap pasangan untuk cakna kepada perkara ini dan sentiasa mencari ilmu bagi mengukuhkan perkahwinan yang antara dicadangkan oleh beliau adalah ilmu komunikasi, ilmu mengurus kewangan serta ilmu untuk mengurus konflik.

 

Mohon bantuan daripada ibu bapa ataupun pakar jika keadaan tidak dapat diselesaikan sendiri. 

 

Antara punca-punca berlaku perceraian oleh pasangan muda pada hari ini seperti yang dinyatakan oleh Puan Azlina Roszy dalam sebuah forum anjuran Pertubuhan Teratak Rahmah Wanita Islam (TERATAI), Klinik Psikologi Azlina dan Tetuan Atiqah Syafiqah adalah:

 

1. Pengabaian tanggungjawab.

Suami atau isteri mengabaikan tanggungjawab memberi nafkah kepada pasangannya sama ada nafkah zahir mahupun batin.

Pengabaian nafkah ini bukan hanya dari pihak suami, namun ada juga yang berlaku dari pihak isteri kata beliau.

Ada di kalangan isteri yang sibuk dengan urusan meniaga atas talian sehingga terabai makan pakai suami, anak-anak termasuk mengabaikan juga nafkah batin kepada suami.

 

2. Penderaan fizikal dan mental antara pasangan.

Ada antara pasangan yang mudah panas baran dan hilang kawalan emosi ketika marah sehingga memukul pasangan masing-masing.

Apabila telah reda kemarahan, mereka akan memohon maaf dan perkara ini tiada jaminan untuk tidak berulang.

Menjadi kewajipan kepada mangsa untuk sesegera mungkin memohon bantuan atau membuat aduan agar perkara seperti ini dapat dibendung.

 

3. Ketagihan kepada kepada dadah, Internet, pornografi dan lain-lain yang memudaratkan diri serta keluarga.

 

4. Masalah mental yang tidak dirawat juga menjadi penyumbang kepada sebab perceraian pasangan yang berkahwin.

 

5. Pengurusan kewangan yang lemah termasuk masalah hutang sering menjadi faktor penyumbang kepada keretakan rumah tangga.

Wang perlu diurus dengan sebaik mungkin dan ilmu kewangan perlu diterapkan kepada setiap individu yang ingin berumah tangga. 

 

“Seboleh mungkin ikatan perkahwinan ingin diselamatkan, namun jika berlaku mudarat yang lebih besar, maka jalan akhir adalah membenarkan tali perkahwinan diputuskan,” begitu kata Puan Atiqah Razak seorang peguam syarie yang turut menjadi panelis dalam forum yang sama.

 

Beliau turut mengingatkan supaya setiap pasangan yang ingin bercerai hendaklah menjaga adab serta hak-hak perceraian. Kata beliau lagi, “Jika berkahwin dengan cara baik, biarlah bercerai juga dengan cara yang baik.”

 

Setelah berlaku perceraian, tanganilah hak-hak perceraian dengan baik seperti harta sepencarian, hak penjagaan anak dan mut’ah (sagu hati setelah berlaku perceraian) serta berlaku adillah agar kita kekal sebagai orang yang bertakwa.

 

Menurut beliau, masyarakat juga mempunyai hak-hak dan adab-adab yang perlu dijaga apabila mendapat berita tentang perceraian.

 

Antara yang beliau sarankan adalah supaya tidak menghukum pasangan yang telah bercerai dan melabel mereka kerana kita tidak pernah tahu akan situasi sebenar yang berlaku dalam rumah tangga mereka.

 

Seharusnya kita sebagai orang yang terdekat seharusnya memberikan mereka sokongan agar mereka boleh memulakan hidup baharu tanpa pasangan masing-masing. 

 

Pakailah pakaian takwa walau sebagai apa jua peranan kita di muka bumi ini seperti firman Allah:

 

“Barang siapa bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barang siapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.” (At-Talaaq: 2-3)

 

Roselinee Mohammad Radzi
Ahli Jawatankuasa
Wanita IKRAM Negeri Selangor

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia