SHAH ALAM – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, aktivis yang terlibat dalam gerakan memerangi rasuah perlu memiliki semangat kental.
“Dalam usaha melaksanakan perjuangan murni memerangi rasuah, yakin dan percayalah kepada kebesaran kuasa ALLAH. Hadapilah cabaran dengan semangat gigih dan hadapilah ujian dengan hati yang cekal.”
Titah baginda lagi, semaikan kesedaran dan bina kekuatan, tumpukan usaha kepada tenaga muda yang masih belum rosak mindanya.
“Para aktivis yang terlibat dalam gerakan memerangi rasuah perlu memiliki semangat kental, menyemai semangat para pemuda Ashabul Kahfi, kerana sifat gigih mereka mempertahankan iman meskipun menghadapi pemerintah yang zalim.”
Titah baginda, kita tidak boleh memandang ringan, bersifat leka, memilih melakukan penafian, memikirkan segala justifikasi, bersilat dengan segala helah mahu menindakkan kewujudan gajah rasuah di hadapan mata.
“Penilaian keadaan rasuah, wajib dilakukan secara jujur, secara ikhlas, secara objektif, secara fakta, dijadikan bukti bahawa kita sangat serius mahu membendung, malah berhasrat mahu memerangi dan menghapuskan rasuah.”
“Kita wajib bersifat berani mengakui, realiti sedang berlakunya amalan rasuah pada skala yang membahayakan, berdasarkan berulang kali teguran yang terkandung dalam laporan Ketua Audit Negara dan pelbagai penemuan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (Public Account Committee).”
Baginda bertitah demikian ketika melancarkan buku bertajuk ‘Korupsi dan Kemunafikan Dalam Politik Melayu: Perlunya Disegerakan Transformasi Moral-Etika’, karya tokoh akademik dan cendekiawan negara, Prof. Emeritus Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan.
Sultan Nazrin berkenan mencemar duli merasmikan pelancaran buku terbitan EMIR Research itu. Sebelumnya, Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf yang juga Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub berucap pada awalnya.
Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia, Haji Badlishah Sham Baharin yang diiringi Setiausaha Agung, Hj Shahrul Aman Mohd Saari turut hadir menyaksikan pelancaran buku tersebut di Kumpulan Media Karangkraf, di sini.
Hadir bersama Naib Presiden IKRAM, Prof. Dr Hanim Salleh, Ahli JKP Dr Sabariah Baharun dan Ahmad Ammar Ahmad Termizi, serta wakil IKRAM Muda, Afif Aliyana Abu Fitri.