Aqsa Syarif-MyCARE dan IKRAM yang diwakili oleh Saudara Hussaini Khairudin dan Saudara Muhammad Hariz Hermansah telah berpeluang menziarahi tapak penyembelihan binatang qurban di sana bagi memastikan segala persiapan berlaku seperti mana yang telah dirancangkan.
Sebuah syarikat di bawah Kumpulan EMKE/LULU UAE, kilang Amroon Foods Pvt. Ltd. ini beroperasi di Barabanki, Uttar Pradesh, Utara India telah meraih pelbagai anugerah atas kecemerlangannya dalam bidang pengeluaran dan pengeksportan makanan yang beroperasi 24 jam dengan kapasiti pekerja seramai 800 orang dan mampu untuk menempatkan 10,000 binatang qurban dalam satu-satu masa.
Penyembelihan binatang qurban
Tepat jam 10.30 pagi Khamis 24 September, penyembelihan 215 ekor binatang qurban (1,505 bahagian) telah dimulakan dengan menggunakan teknologi dari India dan New Zealand di mana bintang qurban dimasukkan ke dalam mesin penyediaan sembelihan dan apabila berada dalam kedudukan yang stabil, dua orang pekerja menyempurnakan penyembelihannya.
Pemotongan dan pembungkusan plastik daging qurban
Di setiap checkpoint, para pekerja telah bersiap sedia dengan tugas yang khusus dari penyembelihan sehinggalah pemotongan daging dan pembungkusannya.
Checkpoint 1 – Penyembelihan
Checkpoint 2 – Mengikat perut dan penyangkutan qurban
Checkpoint 3 – Membiarkan qurban tergantung
Checkpoint 4 – Membersihkan qurban
Checkpoint 5 – Memotong kaki dan kepala qurban
Checkpoint 6 – Menanggalkan kulit daripada badan qurban
Checkpoint 7 – Membuang sistem pencernaan qurban (perut hingga usus besar)
Checkpoint 8 – Memotong qurban kepada dua untuk memudahkan proses pemotongan seterusnya
Checkpoint 9 – Menanggalkan lebihan-lebihan pada qurban termasuk lemak-lemak dan urat saraf
Checkpoint 10 – Pembersihan sebelum proses penyejukan
Setelah itu, daging-daging qurban disejukkan ke dalam Chiller selama dua jam dan kemudiaannya ke dalam Blast Freezer untuk tujuan pembekuan selama dua jam setengah untuk mengelakkan kerosakan pada daging sepanjang proses pembungkusannya.
Pusat penyembelihan ini telah menguruskan penyembelihan dan pembungkusan 4,878 ekor Qurban (34,146 bahagian) termasuk daripada 215 ekor daripada Aqsa syarif-MyCARE dalam masa empat hari, yang disenaraikan sebagai qurban batch pertama 001-215.
Pemotongan, penyimpanan dan pembungkusan daging qurban
Jam 4.00 petang Khamis, proses pemotongan daging qurban telah dilakukan di mana daging-daging berlabel 001 hingga 215 dibawa keluar dari “Blast Freezer” bersuhu -32 darjah Celsius. Daging-daging tersebut ditimbang bagi dipastikan benar-benar mencapai piawai yang telah ditetapkan iaitu 100 – 110 kilogram sebelum dibawa ke bahagian pemotongan.
215 ekor binatang qurban secara puratanya boleh menghasilkan 12,500 kilogram daging bersamaan dengan 25,000 tin daging qurban dengan setiap tin seberat 500 gram. Pada satu-satu masa, sekitar 200 orang pekerja dikhususkan terlibat dalam proses pemotongan dengan dipantau oleh supervisor syarikat juga para NGO yang terlibat dalam Qurban 2015.
Para pekerja pula dipecahkan mengikut bahagian Qurban; Brisket 2320, Short Ribs 1590, Rib Set 2220, Flank Steak 2210, Thick Flank 2050, Topside 2000, Chuck Tender 2310, Chuck 2260, Blade 2300, Striploin 2140, Rump 2090 dan Silverside 2020.
Daging-daging diceraikan dari tulang kemudiannya dipotong menjadi saiz sederhana agar mudah dibahagikan kepada paket-paket yang telah disediakan pada ruang pembungkusan. Dua petugas bertanggungjawab memindahkan daging-daging tercerai ke bahagian pembungkusan.
Pembungkusan kotak, penyimpanan dan siap sedia untuk dieksport ke UAE untuk ditinkan
Pekerja di ruang pembungkusan (yang kebanyakan terdiri daripada kaum hawa) bertanggungjawab membungkus daging-daging Qurban ke dalam paket memuatkan lima kilogram daging setiap satunya.
Pek-pek daging tersebut kemudiannya disusun ke dalam bekas sementara untuk proses pembekuan berikutnya, di “Peti Sejuk Beku Russia” yang bersuhu -32 darjah Celsius, persis suhu di Tundra Siberia.
Daging-daging penyumbang melalui MyCARE ini yang diuruskan bersama-sama daging 4,663 ekor qurban yang lain telah dibungkuskan dan akan dihantar ke Pelabuhan Mumbai sebelum dieksport ke luar negara (Emiriah Arab Bersatu – UAE) untuk diproses dan ditinkan di sana seterusnya diedarkan ke negara-negara yang terjejas akibat peperangan.
Syabas dan tahniah kepada para penaja Qurban Kasih Ummah yang menyumbang sebanyak 25,000 tin daging qurban kepada umat Islam yang memerlukan. Semoga usaha sebegini diteruskan pada masa-masa yang akan datang, insya-Allah.
FOTO TINJAUAN
Kehadiran wakil MyCARE & IKRAM: http://on.fb.me/1OzlgaD
Penyembelihan qurban: http://on.fb.me/1VgMkdG
Pemotongan dan penyimpanan qurban: http://on.fb.me/1PEB6OH
Pembungkusan qurban: http://on.fb.me/1KG8KiI