IKRAM memandang serius terhadap dua laporan polis yang dibuat terhadap bekas Pengerusi dan Pengurusan Tertinggi Lembaga Tabung Haji (TH).
IKRAM berharap agar satu siasatan yang menyeluruh akan dilakukan dan semua yang didapati bersalah dihukum dengan adil tanpa mengira jawatan atau daripada parti politik mana sekalipun.
IKRAM amat bersimpati terhadap nasib semua pendeposit TH termasuk golongan miskin, kaum petani dan nelayan yang telah berusaha mengumpul duit bagi menunaikan haji, tetapi sebaliknya simpanan mereka telah disalahgunakan, jika benar penyelewengan ini telah berlaku.
IKRAM berharap agar kepimpinan TH dapat terus mengenalpasti kelemahan-kelemahan yang terdapat dalam seluruh sistem pengurusan TH dan mengambil langkah-langkah penambahbaikan agar TH dapat bangkit semula dan kembali menjadi institusi yang cemerlang.
Dr Hj Mohd Parid Sheikh Ahmad
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia