Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) ingin merujuk kepada Kenyataan Media bertarikh 29 April 2025 bertajuk “Keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam Mengesahkan Fitnah Terhadap IKRAM.” IKRAM kini telah menerima alasan penghakiman bertulis yang dikeluarkan oleh Yang Arif Pesuruhjaya Kehakiman Dr. Choong Yeow Choy bertarikh 13 Mei 2025 melalui peguam kami.
Menurut alasan penghakiman tersebut, Mahkamah Tinggi telah menolak saman fitnah IKRAM terhadap Dr. Mohd Ridhuan Tee bin Abdullah kerana sebuah pertubuhan yang berdaftar di bawah Akta Pertubuhan 1966 tidak mempunyai locus standi (kapasiti di sisi undang-undang) untuk memfailkan saman fitnah (Rujuk perenggan 67, 68 & 170 Alasan Penghakiman).
Namun begitu, mempertimbangkan sekiranya isu locus standi ini diketepikan oleh Mahkamah Rayuan kelak, Mahkamah Tinggi tetap membuat penemuan substantif terhadap isu utama kes ini, iaitu isu fitnah (Rujuk Perenggan 69 Alasan Penghakiman) seperti berikut:
a) Ketiga-tiga artikel yang diterbitkan oleh Dr. Mohd Ridhuan Tee di laman Facebook peribadi beliau – “IKRAMISASI KETIKA WABAK COVID-19 MELANDA” (15 April 2020), “INSAFLAH IKRAM SEBELUM KARAM” (18 April 2020) dan “Kenapa IKRAM begitu baik dengan ultra kiasu, Dong Zong?” (27 April 2020) – adalah merupakan fitnah terhadap IKRAM (Rujuk Perenggan 114 & 115).
b) Dr. Mohd Ridhuan Tee telah gagal dalam kesemua pembelaan beliau, iaitu Justifikasi (Justification) (Rujuk Perenggan 127-128), Komen Berpatutan (Fair Comment) (Rujuk Perenggan 141-142) dan Perlindungan Bersyarat (Qualified Privilege) (Rujuk Perenggan 148-151).
Mahkamah juga menyatakan bahawa sekiranya IKRAM mempunyai locus standi, maka Mahkamah akan mengarahkan Dr. Mohd Ridhuan Tee untuk membayar gantirugi am sebanyak RM150,000.00 kepada IKRAM, selain perintah injunksi melarang beliau daripada terus memfitnah IKRAM serta arahan supaya ketiga-tiga artikel tersebut dipadam secara kekal dan serta-merta (Rujuk Perenggan 174-177).
IKRAM akur bahawa perintah tersebut buat masa ini tidak dapat dikuatkuasakan selagi isu locus standi belum diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.
Namun demikian, dapatan Mahkamah Tinggi secara jelas membuktikan bahawa ketiga-tiga artikel yang diterbitkan oleh Dr. Mohd Ridhuan Tee adalah fitnah yang tidak berasas dan telah mencemarkan nama baik IKRAM.
Dapatan ini secara langsung membersihkan nama IKRAM daripada segala tuduhan palsu yang telah dilemparkan.
IKRAM telah memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan pada 9 Mei 2025 berhubung isu locus standi tersebut, dan tarikh pengurusan kes pertama telah ditetapkan pada 7 Ogos 2025. Rayuan ini bukan sahaja penting kepada IKRAM, malah membawa implikasi besar terhadap semua pertubuhan yang berdaftar di bawah Akta Pertubuhan 1966 dalam mempertahankan hak mereka untuk mendapatkan keadilan dan melindungi reputasi organisasi masing-masing daripada dicemari oleh tohmahan dan fitnah.
IKRAM akan terus istiqamah dengan misi dakwah, pendidikan dan usaha penyatuan ummah berlandaskan akidah Islam yang sahih. Kami menyeru semua pihak untuk menghormati proses perundangan yang sedang berjalan dan menjauhi sebarang bentuk penyebaran fitnah yang boleh mengganggu-gugat keharmonian masyarakat.
Mohd. Hafiz Abd. Hamid
Setiausaha Agung
Pertubuhan IKRAM Malaysia
Lampiran:
1. Penghakiman penuh boleh diakses melalui fail Alasan Penghakiman IKRAM v RT 13.05.2025.
2. Video Ulasan Peguam: https://youtu.be/9IDLP7gwjKI