Haji Ali menongkat motosikalnya di bawah pokok rambutan. Dia menoleh ke arah isterinya yang sedang termenung di muka pintu sambil memegang telefon.
“Ni yang macam kucing hilang anak ni kenapa?”
“Ni haa… Aishah baru bagitau Changloon dah banjir. Banyak jalan tutup tak tahu nak balik macam mana.”
“Pandai-pandailah dia cari jalan atau tidur rumah kawan baik dia tu.”
“Itu tak apa lagi bang. Yang saya risau ni kenduri dia kan tiga hari lagi. Entah-entah bakal menantu kita pun dibeku cuti atau kena tarik balik cuti.”
Haji Ali melabuhkan punggungnya. Matanya merenung langit yang kelabu dan angin sejuk yang bertiup sejak pagi tadi. Bila-bila masa hujan mungkin turun, sebab itu dia bergegas pulang usai solat walau Pak Ya sibuk mengajaknya makan pulut ikan tamban di kedainya di depan Masjid Titi Gajah.
Terbayang juga wajah bakal menantunya yang baru menerima tauliah selepas tamat latihan di Pusat Latihan Polis dua minggu lepas.
Pandangan Hajah Safiyah jatuh ke arah kotak-kotak yang berisi cenderamata yang akan diberikan kepada tetamu mereka. Bersengkang mata mereka tiga beranak mengisi beg-beg tersebut sepanjang minggu lepas.
Ring… ring…
Haji Ali menarik telefon daripada genggaman isterinya. “Ya ni pak cik ni. Tadi ada mak cik bagi tau pak cik tentang tu. Nantilah sama-sama kita fikirkan. Kamu tu jadi tak datang? Alhamdulillah, nanti kita maklum balik macam mana”. Dia mematikan telefon dan menyerah ke tangan isterinya yang masih kelihatan sugul.
“Siapa telefon bang?”
“Bakal menantu kitalah. Dia pun tanya macam mana kalau banjir sampai ke tempat kita. Yang penting cutinya tak dibatalkan. Nantilah saya bincang dengan orang katering tu dulu. Jom kita solat duha dulu. Sekejap lagi saya pergi rumah Haji Hamdan.”
Hajah Safiyah bangun memberi laluan kepada suaminya.
Dua hari sebelum majlis perkahwinan Aishah, air mula memenuhi perkarangan rumah. Jiran-jiran mula sibuk memindah barang-barang ke tempat yang lebih tinggi. Hajah Safiyah sibuk juga mengemas peralatan dapur untuk diangkat ke tingkat atas dengan bantuan sukarelawan i-Bantu yang datang menawar bantuan.
Aisyah pula sibuk mengemas keperluan peribadi yang diperlukan untuk majlis pernikahannya. Majlis mereka tetap perlu diteruskan kerana dua minggu selepas majlis pernikahan, Hasif akan melapor diri ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau.
Pada tengah hari, air sudah memenuhi segenap penjuru ruang bawah. Haji Ali sibuk membantu Aishah memasukkan kotak-kotak cenderamata ke dalam Hilux milik anak saudaranya. Mereka akan berpindah ke rumah nenek saudara Aishah di Alor Setar.
Hari yang dinantikan tiba. Majlis pernikahan yang sepatutnya dijadualkan berlangsung di Masjid Tuan Hussin, Titi Gajah terpaksa bertukar lokasi kerana air sudah mengepung perkarangan masjid.
Manakala Tuan Imam selaku jurunikah dan bakal saksi-saksi sibuk mengurus rumah mereka yang turut dinaiki air. Datuk saudara Aishah yang bertugas sebagai Pengerusi dan Imam Masjid Rafeah, Taman Uda menawarkan bantuan untuk mengurus pernikahan Aisyah.
“Mohamad Hasif Zakaria, aku nikahkan kau dengan anak perempuanku Syifa Aishah binti Ali) dengan mas kahwinnya bernilai RM1,001, tunai!” Haji Ali menggenggam tangan bakal menantunya kemas.
“Aku terima nikahnya Syifa Aishah binti Ali dengan mas kahwinnya berjumlah RM1,001, tunai.”
Alhamdulillah.
Hajah Safiyah kelihatan tenang diapit dua orang adiknya yang datang dari Johor dan Pulau Pinang. Dia bersalaman dengan saudara-mara dan kenalan rapat yang berusaha datang merai majlis pernikahan anak tunggalnya. Dia pasrah dan reda dengan ujian yang diterimanya.
Suaminya yang selesai menikahkan anak mereka kelihatan menarik nafas lega. Dalam keperitan, Allah membuka jalan untuk mereka. Yang penting, perkara yang wajib dalam pernikahan telah dapat disempurnakan.
“Mak… Aisyah dengan abang Hasif nak ikut abang Man hantar makanan kepada orang banjir. Yang lain tu Pak Aji Hamdan tolong agih dan uruskan.”
“Yalah… elok-elok jalan tu. Hasif jaga Aisyah ya!”
Hajah Safiyah melepaskan tangan menantunya sebelum mereka bergandingan tangan dengan berpakaian pengantin untuk turut mengedar makanan yang sepatutnya ditempah untuk majlis merai pengantin.
Beratus-ratus pek nasi kenduri berupa nasi tomato, ayam masak merah, acar timun dan air asam siap bersusun di dalam Hilux Razman bersama pulut kacau sebagai pemanis mulut sedia untuk diagihkan. Pada saat tiada banyak pilihan, sudah pasti pek rezeki itu nanti mampu menceriakan wajah-wajah mereka yang terkesan.
Subhanallah.
Alangkah nikmatnya mereka mendapat makanan dalam keadaan sejuk dingin dan lapar itu. Sesungguhnya dalam rezeki kita ada rezeki orang lain juga. Mudah-mudahan dapat membantu mengurangkan rasa lapar dan memberikan tenaga buat mereka.
Bertalu-talu tetamu dan saudara-mara menelefon dan menghantar pesanan memohon maaf kerana tidak dapat hadir kerana banyak jalan terputus atau rumah ditenggelami banjir.
Menurut laporan Majlis Keselamatan Negara, banjir di Kedah kali ini memang luar biasa. Sejak bulan September, sudah kali keempat rumah Hajah Safiyah ditenggelami air.
Penat membersih dan mengemas belum hilang, datang pula ujian ini. Syukurlah mereka menerima bantuan sukarelawan i-Bantu Kawasan Kubang Pasu. Tempat yang tidak pernah dinaiki air pun telah naik, malah Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim terpaksa ditutup kerana air telah memenuhi landasan.
Hajah Safiyah bersyukur kerana majlis pernikahan anaknya dapat berjalan lancar walaupun mereka turut kehilangan ribuan ringgit kerana menempah pakej perkahwinan.
Namun di sudut hati, dia bersyukur kerana Allah membuka peluang untuk dia dan keluarga membantu menghulurkan bantuan makanan kepada mangsa-mangsa banjir yang terpaksa berkhemah di tepi-tepi jalan.
Walaupun ada pusat pemindahan sementara (PPS) disediakan pihak kerajaan, namun tidak semua orang dapat berpindah ke situ atas pelbagai sebab.
Dia terus menitip doa agar Allah mengangkat segera ujian ini dan memberi ketabahan kepada mereka yang kehilangan keluarga, harta benda dan mata pencarian serta menggantikannya dengan yang lebih baik. Meski berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.
Matanya merenung langit yang sedang menitiskan gerimis, membuat ingatannya segera terlayang ke rumahnya yang sedang bergenang air sejak tiga malam lepas. Bibirnya terus mengucap:
Laahaula walaaquwata illaabillaahil aliyyil azim.
“Tidak ada daya dan upaya kecuali dengan kekuatan daripada Allah SWT Yang Maha Tinggi lagi Maha Agung.”
Norhayati Sidikah Abu Bakar
Aktivis IKRAM