Prihatin dengan tekanan ekonomi dan kenaikan kos kehidupan, inisiatif IKRAM Siswa Universiti Putra Malaysia (UPM) menyediakan khidmat pengangkutan percuma kepada mahasiswa UPM yang kembali belajar pada semester baharu menerima sambutan hangat.
Projek yang dinamakan Free Ride 2.0 menjemput para mahasiswa yang tiba di Stesen Komuter Serdang dan Terminal Bersepadu Selatan (TBS) beroperasi selama 24 jam pada hari Ahad, 21 Februari 2016 yang lalu.
Dengan memaklumkan pihak IKRAM Siswa UPM sebelum tarikh tersebut, mahasiswa tersebut mesti menepati masa yang dijanjikan, menunggu di tempat yang telah ditetapkan dan seterusnya menghubungi pihak IKRAM Siswa UPM apabila telah tiba di kedua-dua destinasi tersebut.
Mereka yang dijemput turut dihadiahkan penanda buku berupa ucapan selamat kembali ke UPM beserta doa menuntut ilmu.
Ini merupakan projek pengangkutan percuma kali kedua diadakan dan terbuka untuk mahasiswa UPM, lelaki dan perempuan berbanding kali pertama untuk mahasiswa lelaki sahaja.
Antara mahasiswa UPM yang dijemput dalam Free Ride 2.0
Projek kreatif kali pertama badan mahasiswa ini telah digerakkan pada penghujung semester yang lalu, Sabtu, 9 Januari 2016 bersempena dengan musim balik kampung dengan menghantar mahasiswa UPM ke Stesen Komuter Serdang dan TBS secara percuma.
Ada sebahagian daripada mahasiswa UPM yang kembali, tidak dapat disediakan pengangkutan untuk mereka kerana lewat membuat makluman kepada pihak penganjur namun memuji perkhidmatan percuma yang disediakan.
Perkhidmatan ini turut mendapat respon yang sangat positif dalam kalangan mahasiswa UPM dan mereka menghargai serta berbangga dengan usaha IKRAM Siswa UPM bagi meringankan beban mereka.
Antara maklum balas mereka:
“Oh, tak perlu bayar ke? Wah… Bagusnya program amal macam ni.”
“Oh, bagus la program macam ni bagi meringankan beban student.”
“Wow, it’s such a good and meaningful project. Thanks for organizing it and willing to do something for society. Feel proud of all of you.”
Tahniah IKRAM Siswa UPM! Semoga inisiatif ini menjadi contoh dan inspirasi kepada pelbagai pihak untuk melakukan kebajikan dan meringankan beban mahasiswa sesuai dengan moto IKRAM Siswa iaitu “Akhlak | Khidmat | Ukhuwah”, insyaa-Allah.
Foto projek: http://on.fb.me/1QfHwGM
Sumber: IKRAM Siswa UPM