Pengalaman kuarantin dan hikmah tersembunyi

Perjalanan dan peristiwa ini berlaku sangat cepat. Perjalanan yang berlaku yang sangat cepat ini sebenarnya kebaikan buat saya untuk merenung bahawa, manusia sifatnya lemah dan tidak mampu merancang seperti perancangan yang terbaik dari Allah SWT.

 

Ia bermula setelah saya disahkan positif, MKN bertindak cepat bila mana saya terlebih dahulu dihubungi oleh pihak hospital bahawa saya akan dibawa ke Hospital Permai di Johor. 

 

Kemudian disusuli tiga hari kemudiannya, isteri pula disahkan positif selepas menjalani rawatan ‘swab test’. Namun isteri dimaklumkan akan dibawa ke hospital yang berbeza iaitu di Hospital Kluang (jarak dua jam) memandangkan beliau bakal melahirkan anak kami yang keempat kurang dua minggu lagi.

 

Situasi sedikit genting apabila ada di antara anak kami yang positif dan ada seorang negatif, bermakna kami akan berpisah di empat tempat yang berbeza. Anak-anak masih kecil, paling besar berusia enam tahun.

 

Tambahan, kami masih lagi tidak mengenali sesiapa jiran tetangga melainkan beberapa keluarga sahaja. Ketika itu, di negeri Johor juga diketatkan pergerakan (PKPD) yang tidak boleh merentas daerah, keluarga saya yang lain juga tidak dapat membantu kerana berada di luar daerah.

 

Situasi ini agak rumit, namun tiada yang rumit di sisi Allah. Semua ujian buat hamba-Nya yang reda, pasti ada hikmah, mengingatkan saya kepada semua hadis yang menjadi bekalan buat diri dan keluarga.

 

Daripada Abu Hurairah RA berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Ujian berterusan akan menimpa orang mukmin lelaki dan perempuan sama ada pada dirinya sendiri, anaknya atau hartanya (yang menyebabkan dosa-dosanya sentiasa gugur) sehingga dia bertemu dengan Allah SWT dalam keadaan dia tidak mempunyai apa-apa dosa.” (Hadis Riwayat Tirmidzi, No. 2323).

 

Subhanallah, hikmah yang tersembunyi agar setiap mereka yang ditimpa ujian dengan reda, yakinlah bahawa itu ruang Allah nak hapuskan dosa kita sepenuhnya.

 

Lanjutan daripada itu, pihak Hospital Permai menelefon bahawa saya tetap kena pergi dahulu ke hospital. Saya akur, menaiki ambulan yang hadir di hadapan rumah, melambai tangan kepada isteri dan anak-anak yang masih kecil, bermonolog dalam hati.

 

“Moga kalian, Allah lindungi setiap masa dan kalian, wahai anak-anak, lebih lekas dewasa untuk membantu ibumu. Buat isteri ku, moga dikau lebih kuat mandiri saat suamimu telah tiada kelak.”

 

Itulah saat saya merasakan kebergantungan pada semua masalah itu hanyalah serahkan sepenuhnya pada Allah. Ketika itu saya sedar bahawa hakikatnya kita tidak boleh hidup sendirian, kita perlukan sahabat dan teman. Islam datang mengajar erti ‘ukhuwah’ adalah sebuah rahmah yang cukup besar.

 

Maka, ramai pihak ketika itu yang membantu, bermula dari keluarga sendiri, jiran tetangga, saudara mara, pihak universiti tempat saya sedang menyambung pengajian PhD ketika ini, Klinik UTM, pusat zakat dan pengurusan Masjid Sultan Ismail.

 

Mereka hadir bertanya khabar, memberikan sokongan moral, memberi bekalan makanan dan bantuan kewangan untuk memudahkan pembelian secara atas talian (Food Panda), kerana isteri sudah sarat ditambah deria rasa dan bau yang hilang.

 

Yang lebih mengharukan apabila ada sekumpulan kawan usrah kepada isteri saya yang sudi untuk menjaga anak-anak kami dengan memakai satu set penuh PPE dan ada yang memberikan rumah mereka untuk di jadikan tempat bagi anak-anak kami kuarantin. 

 

Subhanallah, saat itu saya sangat memaknai makna ukhuwah dan hakikatnya, untuk Islam dan dakwah menang, tidak boleh kerja seorang diri. Ia sangat memerlukan kepada kerja berkumpulan.

 

Saat saya di pusat kuarantin pula, suasana solat berjemaah dan azan tetap boleh berkumandang dengan mengikut SOP dan ada kakitangan bertugas yang memantau. 

 

Manakala luar dari bangunan asrama pusat kuarantin, ada sebuah surau yang masih kuat kedengaran laungan azan daripada corong-corong speaker masjid. Cuma yang menakjubkan, setiap lima waktu tersebut, azan dialunkan oleh kanak-kanak.

 

Barangkali kerana ayah mereka sedang berkhidmat, bertugas menjadi barisan hadapan (frontliner) yang bergilir-gilir bekorban, bergantian bertugas mengikut jadual, membuatkan diri saya terasa insaf, dengan penat jerih mereka untuk berikan yang terbaik kepada pesakit dan negara.

 

Hanya ucapan yang tidak putus-putus daripada kami bila bertemu mereka, “Terima kasih frontliner, moga Allah mengganjari syurga.” Nasihat buat kita semua, patuhilah SOP, ringankan beban para frontliner.

 

Suasana lebih tenang saat menunaikan solat, jauh daripada hiruk-pikuk. Setelah solat, tiada seorang pun yang bangun kerana tiada apa yang ‘rushing’ yang nak dikejar. Semua solat dengan tenang, zikir dan berdoa serta khusyuk.

 

Rindu akan suasana di mana ada masa yang panjang untuk muhasabah dan mengingati dosa dan khilaf yang dilakukan pada Allah SWT dan manusia. Kuarantin yang Allah SWT berikan ini merupakan sebuah kerehatan pada diri.

 

Setiap saat dalam memohon doa, merintih dan meletakkan kebergantungan kepada-Nya. Saat itu, tiada siapa yang boleh membantu kita kecuali Allah SWT sahaja. Urusan keluarga di rumah, semua di serahkan kepada Allah sebulatnya.

 

Sahabat seperkenalan sepanjang di pusat kuarantin, masing-masing perbualannya hal kebaikan, bukan menyalahkan sesiapa. Benarlah setiap yang berlaku pasti ada hikmah bagi orang mukmin.

 

Hal yang membuatkan diri ini merenung tatkala di penghujung hari kuarantin adalah, bila mana masing-masing jika bersua antara satu sama lain, antara hal yang pasti ditanya adalah, “Bila balik?”

 

Skrip ini mengingatkan saya kepada ayat al-Quran, betapa ada orang yang rugi dan menyesal di akhirat. Mereka ini merayu dan memohon agar dibenarkan balik semula ke dunia untuk beramal soleh seperti dalam Surah al-Mu’minun ayat 99 dan 100 yang bermaksud: 

 

“Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah ia: “Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (hidup semula di dunia), supaya aku mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan.” Sekali-kali tidak. Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah dalih sahaja, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh sehingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat).”

 

Ketika Wabak Covid-19 melanda dunia, marilah kita menginsafi diri, duduk sejenak, bermuhasabah dan mengoreksi diri. Ia ada hikmah dan teguran daripada Ilahi buat kita.

 

Moga Allah mengampuni dosa kita semua. Ketahuilah, setiap peristiwa yang berlaku, andai kita mengambil hikmah tersembunyi, banyak yang akan mengesani iman dan amal soleh kita.

 

Muhammad Talhah bin Ajmain @ Jima’ain adalah pelajar PhD Akademi Tamadun Islam, UTM Skudai, Johor.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia