Fasa pengajian di peringkat yang lebih tinggi, tidak kiralah di institusi kerajaan mahupun swasta, pastinya mempunyai cabaran tersendiri.
Antara cabaran yang mungkin dihadapi oleh ramai pelajar adalah seperti proses menyesuaikan diri dalam persekitaran baharu, kaedah pembelajaran yang berbeza dan perancangan kewangan.
Tidak kurang juga, antara keluhan yang sering diluahkan bagi sebahagian golongan ini ialah soalan mengapakah diri berasa semakin sukar menghadam ilmu yang dipelajari di universiti sedangkan sumber rujukan semakin banyak dan pengalaman menuntut ilmu semakin lama, iaitu dengan mengambil kira tempoh pengajian di peringkat prasekolah, sekolah rendah, sekolah menengah atau mana-mana institusi pengajian lain sebelum menjejakkan kaki ke institusi pengajian tinggi.
Apabila difikirkan secara logik, punca utama yang mungkin menjadi penyebab utama kepada persoalan itu ialah skop pembelajaran yang lebih luas berbanding pembelajaran di peringkat sebelumnya.
Pada peringkat sekolah rendah dan menengah dahulu, fokus pembelajaran tertumpu kepada topik yang ada dalam buku teks sahaja dan kemudiannya diselitkan dengan beberapa soalan kemahiran berfikir aras tinggi.
Seseorang pelajar itu akan cenderung berasakan diri sudah cukup mahir sekiranya berjaya menguasai banyak topik atau subtopik memandangkan skop pembelajaran adalah berasaskan kepada satu sumber iaitu buku teks sahaja.
Hal ini berbeza di peringkat pengajian yang lebih tinggi kerana pembelajaran di kolej atau universiti meliputi rangkaian informasi yang pelbagai termasuklah maklumat yang ada di internet atau kadangkala turut menyentuh topik yang hanya mempunyai sedikit sahaja hasil carian di platform tersebut.
Pengajian di peringkat tinggi merangkumi suatu bidang ilmu dengan penelitian yang lebih mendalam berbanding pembelajaran di peringkat sebelumnya.
Misalnya, mahasiswa jurusan bahasa Melayu masih mempelajari subtopik yang pernah diajarkan oleh guru-guru di sekolah, namun subtopik tersebut dibahagikan pula kepada pecahan-pecahan yang lebih khusus.
Sebagai contoh, para pelajar di sekolah rendah dan menengah hanya mempelajari golongan kata secara umum seperti kata nama, kata kerja, kata tugas dan kata adjektif.
Pada peringkat pengajian tinggi, setiap golongan kata tersebut dipecahkan pula kepada beberapa jenis dalam kategori kata yang sama. Misalnya, menurut Nahu Melayu Mutakhir, kata kerja dibahagikan kepada dua jenis iaitu kata kerja leksikal dan kata kerja bantu.
Kata kerja leksikal tersebut dibahagikan pula kepada dua jenis kata kerja yang kemudiannya dipecahkan pula kepada beberapa pecahan kecil yang lain di bawah setiap kategori kata.
Hal ini membawa kepada suatu pemikiran bahawasanya apa yang dipelajari dari dulu sehingga kini hanyalah cebisan ilmu daripada skop ilmu yang sangat luas sehingga menyebabkan diri terasa sangat kurang berpengetahuan.
Tidak dapat dinafikan, terdapat pelbagai pilihan jawapan lain yang memungkinkan wujudnya perasaan dalam diri segelintir pelajar tentang mengapakah perkara tersebut boleh berlaku.
Namun, suatu kenyataan yang perlu kita sedar ialah hakikat diri manusia yang lemah dan terselindung daripada mengetahui banyak perkara. Al-Rabi’ Ibnu Anas memberi perumpamaan, ilmu seluruh hamba Allah itu sama seperti setitis air di seluruh lautan.
Hal ini menunjukkan bahawa masih banyak perkara yang terselindung daripada pengetahuan manusia dan tahap pengajian yang lebih tinggi tidak menandakan seseorang itu sudah cukup atau mempunyai banyak ilmu.
Pembelajaran sepanjang hayat tidak kiralah berkait dengan ilmu keduniaan atau akhirat merupakan suatu perkara yang boleh kita usahakan untuk membantu diri meluaskan pemikiran dan mengamati lebih banyak bukti kebesaran Allah SWT.
Gunakan usia dan kemampuan yang kita ada untuk terus menimba ilmu kerana segala sesuatu yang dikerjakan di dunia pasti dipersoalkan di akhirat.
Hakikat manusia yang lemah bukanlah alasan untuk kita berputus asa mencari ilmu kerana ilmu adalah asas untuk melakukan sesuatu perkara termasuklah beribadah kepada Allah SWT.
Tanpa ilmu, amal yang dilakukan mungkin mempunyai banyak kepincangan yang akhirnya menjejaskan kualiti ibadah tersebut. Berpendidikan tinggi juga bukanlah suatu tiket untuk kita berasakan diri hebat dan memandang rendah keadaan orang lain.
Golongan yang tidak berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi mungkin sahaja mempunyai ilmu pengetahuan yang lebih luas berbanding mahasiswa di kolej atau universiti.
Pada era teknologi ini, sumber ilmu tidak terhad kepada pendidikan di institusi fizikal sahaja kerana banyak platform dalam talian yang memudahkan masyarakat mendapatkan akses kepada bidang ilmu yang ingin dipelajari.
Justeru, gunalah kemudahan yang ada sebaiknya untuk kita terus menimba ilmu baharu serta mengkoreksi diri daripada pelbagai segi. Usah berputus asa, sebaliknya beriltizamlah untuk menggunakan ilmu tersebut bagi mengharungi dunia dan meraih kebaikan di akhirat kelak.
Khairunisa Zul Kuraini
Siswazah Linguistik Melayu
Universiti Malaya