Pendirian IKRAM berkaitan isu LGBT

1. Islam mempunyai konsep dosa dan pahala. Dosa besar dalam Islam ialah dosa yang disebut di dalam teks al-Quran atau hadis beserta balasan yang berat atau disebut beserta laknat Allah.

2. Antara dosa besar ialah zina dan liwat (hubungan homoseksual antara lelaki). Perbuatan sihaq (hubungan homoseksual antara wanita) juga termasuk dalam dosa-dosa besar, walaupun tidak disamakan kategorinya dengan zina atau liwat.

Lelaki adalah dilarang berpakaian dan berperlakuan seperti wanita. Begitu juga sebaliknya, wanita juga dilarang berpakaian dan berperlakuan seperti lelaki sama ada mereka terlibat dengan aktiviti homoseksual ataupun tidak.  Ini dilarang keras oleh Rasulullah SAW dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh Bukhari dan lain-lain.

3. Walaupun zina ialah dosa besar, namun kesalahan zina yang dilakukan secara sembunyi tidak boleh didedahkan dan dilaporkan kecuali mempunyai empat saksi yang melihat perbuatan tersebut dengan jelas. Sesiapa yang membuat tuduhan zina tanpa empat saksi boleh dikenakan hukuman qazaf. 

Pelaku-pelaku zina juga tidak patut mendedahkan perlakuannya kepada masyarakat. Mereka sepatutnya bertaubat dan menyembunyikan kesilapan mereka yang lampau. Hadis sahih meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW berpaling muka (sebagai tanda tidak mengendahkan) daripada seorang sahabat yang datang kepada Nabi mengaku melakukan zina.

4. Hukum-hakam berkaitan kesalahan liwat banyak yang sama seperti zina bagi pandangan majoriti ulama termasuk mazhab Syafie, contohnya syarat empat saksi bagi sabitan perbuatan liwat, implikasi jenayah qazaf ke atas pihak yang menuduh tanpa saksi yang cukup, serta tuntutan untuk menutup keaiban itu.

5. Individu yang melakukan dosa besar sekalipun tidak sepatutnya dicaci maki sewenang-wenangnya. Dalam satu hadis sahih tentang seorang lelaki pada zaman Nabi SAW yang ditangkap berulang kali kerana meminum arak, terdapat sahabat-sahabat Nabi yang mengecam dan mengeji beliau kerana perbuatannya itu. Namun demikian, Nabi SAW telah melarang mereka dari cacian dan makian itu, bahkan Nabi berkata kepada mereka: “Jangan kamu membantu syaitan ke atas saudara kamu.”

6. Bukan semua pihak yang mempertahankan hak-hak LGBT adalah pengamal gaya hidup dan perlakuan LGBT. Sebahagian daripada mereka ialah pejuang hak asasi manusia yang berpandangan bahawa golongan LGBT mempunyai hak-hak asasi mereka dalam perundangan.  Pihak-pihak sebegini wajar didepani dengan dialog dan hujah.

7. Ada juga golongan yang belum melakukan sebarang aktiviti homoseksual namun hanya mempunyai kecenderungan dalaman atau nafsu homoseksual semata-mata. Seorang sahabat RA pernah mengaku di hadapan Nabi Muhammad SAW ingin melakukan dosa zina tapi baginda memberikan jawapan logik yang rahmah dan mendoakan kebaikan untuknya sehingga sahabat tersebut tidak jadi untuk melakukan zina.

8. Secara umumnya golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender yang telah terjebak dalam aktiviti homoseksual boleh dibahagi kepada empat peringkat:

a. Golongan yang telah berubah dan bertaubat. Mereka ini perlu sokongan dan bantuan daripada segenap lapisan masyarakat agar dapat terus istiqamah.

b. Golongan yang terlibat dengan perlakuan homoseksual dan tahu ianya salah dalam agama tetapi mereka masih tidak dapat keluar dari amalan itu. Mereka ini juga perlukan sokongan dan bantuan dengan rahmah daripada masyarakat. Keaiban mereka perlu ditutup dan tidak perlu didedahkan.

c. Golongan yang telah terlibat dengan perlakuan homoseksual dan tidak pula rasa bersalah. Mereka ini perlu didekati dengan hikmah dan hujah untuk membawa mereka ke pangkal jalan.

d. Golongan yang telah terlibat dengan perlakuan homoseksual dan mengakui mengamalkannya secara terang-terangan, seolah-olah tiada rasa silu atau bersalah di dalam hati mereka. Pernyataan-pernyataan secara terbuka sebegini tidak sepatutnya dibiarkan bahkan mesti dibendung dan dicegah dengan nasihat, pendidikan masyarakat dan jika perlu, penguatkuasaan undang-undang.

9. Gaya hidup lesbian, gay, dan biseksual tidak boleh dibiarkan dan tidak boleh dipromosi. Ini adalah kerana ia bercanggah dengan nas-nas syariah dan maqasid syariah yang bertujuan untuk menjaga keturunan dan kehormatan serta kehidupan berkeluarga. Ia juga bercanggah dengan ajaran mana-mana agama utama di dunia ini.

10. Sebarang pengakuan daripada mana-mana individu bahawa dia adalah lesbian, gay, atau biseksual dengan menyesal atau meminta dibantu dari aspek perubatan dan kaunseling haruslah diberikan sokongan yang sewajarnya, bukannya diejek atau dikeji.

11. Individu yang mengamalkan gaya hidup dan perlakuan lesbian, gay atau biseksual tidak boleh dihukum atau dituduh tanpa bukti yang mencukupi. Mereka sepatutnya dinasihati dengan baik dan hikmah.  Namun, mereka berhak mendapat hak-hak mereka sebagai warganegara tanpa sebarang diskriminasi dalam perkara-perkara yang tidak mempromosikan gaya hidup itu.

12. Mengenai transgender pula, pengubahan sifat dan anggota badan dari lelaki kepada perempuan atau sebaliknya, sama ada melalui pembedahan atau ubat-ubatan adalah dilarang dalam Islam, kecuali seseorang itu adalah transgender berbentuk khunsa secara semula jadi. Mereka ini diberi hak tersebut dengan nasihat pakar dalam bidang berkenaan.

Manakala transgender yang disahkan secara biologi lahir dengan jantina yang jelas, mereka ini juga perlukan bimbingan dan bantuan jika mereka menghadapi kesukaran untuk berpakaian atau berkelakuan mengikut jantina mereka yang asal.

13. Pihak berkuasa perlu mempunyai pelan jangka panjang, holistik, mengambil kira pelbagai aspek, dan penglibatan pelbagai pihak dan pakar bagi mencegah dan merawat masalah LGBT. Ini memerlukan perbezaan pendekatan kepada golongan gay, golongan lesbian, golongan biseksual, dan golongan transgender. Pendekatan berbeza juga mungkin diperlukan bergantung fasa kecenderungan, perlakuan, dan penyebar/promosi gaya hidup LGBT.

14. Tindakan YB Datuk Dr. Mujahid Yusuf Rawa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam) yang telah mengarahkan penurunan gambar dua orang yang dikatakan sebagai aktivis LGBT dalam suatu pameran di Pulau Pinang baru-baru ini dirasakan tepat. Ini adalah kerana gambar-gambar tersebut, dalam konteks sebegitu, boleh ditafsirkan sebagai suatu promosi kepada perjuangan gaya hidup LGBT.

15. Kesediaan YB Menteri untuk berjumpa dan berdialog dengan Nisha Ayub juga suatu tindakan yang baik bagi membuka peluang untuk dialog untuk lebih memahami perspektif transgender yang mungkin tidak diketahui atau disalahfahami. Sudah tentu, ini tidak bermakna kita bersetuju dengan perlakuan dan gaya hidup transgender.

Sebarang cadangan praktikal untuk mengatasi masalah transgender seperti penggunaan tandas atau kedudukan saf dalam sembahyang perlulah diteliti dengan lebih halus implikasi fiqh, psikologi dan juga undang-undang. Perlu lebih banyak lagi diskusi diadakan untuk mencari penyelesaian sementara yang terbaik, ketika penyelesaian yang bersifat menyeluruh dan program pencegahan sedang berjalan serentak.

16. Sebagai kesimpulan, pihak kami menyarankan agar kita bersikap mendengar, membimbing, dan memberi bantuan kepada individu-individu yang berkecenderungan dan/atau telah terjebak dengan gaya hidup LGBT tapi mengetahui bahawa ianya salah dan ingin melakukan perubahan sebagai manifestasi rahmah kita kepada individu-individu tersebut.

Dalam masa yang sama, kita bersikap tegas ke atas perbuatan mempromosi LGBT dan juga pengakuan melakukan aktiviti LGBT secara terbuka tanpa rasa bersalah sebagai manifestasi sikap rahmah kita kepada masyarakat keseluruhannya.

Disediakan oleh:

JAWATANKUASA ULAMA
PERTUBUHAN IKRAM MALAYSIA

17 Ogos 2018

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia