GOMBAK – Pendidikan bukan sekadar usaha mencapai kecemerlangan akademik, sebaliknya merupakan asas penting dalam membentuk generasi berilmu, berkemahiran, bersahsiah dan mampu menyumbang kepada pembangunan negeri serta negara.
Demikian ditegaskan Menteri Besar Selangor, YAB Dato’ Seri Amirudin Shari ketika merasmikan Karnival Sambutan 40 Tahun Pusat Pendidikan Al-Amin Berhad (PPAAB) di Kompleks Al-Amin Gombak pada Sabtu, 22 Ogos lalu.
Menurut beliau, pembangunan manusia tidak boleh dipisahkan daripada pembangunan negeri kerana kemajuan sesebuah negeri bukan hanya bergantung kepada infrastruktur, pelaburan dan kekuatan ekonomi, tetapi turut memerlukan manusia yang berilmu, berkemahiran serta mempunyai nilai dan integriti.
“Dalam konteks pendidikan, kita tidak mahu anak-anak kita hanya mengejar keputusan peperiksaan. Sudah tentu pencapaian akademik itu penting. Tetapi pada masa yang sama, kita mahu mereka mempunyai sahsiah, disiplin, rasa tanggungjawab dan kemampuan untuk membuat keputusan yang baik,” katanya.
Beliau turut melihat pendekatan pendidikan yang diterapkan PPAAB sebagai selari dengan keperluan tersebut, khususnya melalui penekanan bahawa ilmu dan nilai perlu bergerak seiring, manakala kecemerlangan akademik perlu disertai pembentukan sahsiah.
Karnival yang mengangkat tema “40 Tahun Al-Amin Membina Generasi Unggul” tersebut katanya, bukan sekadar meraikan usia sebuah institusi pendidikan, tetapi merupakan satu perjalanan panjang dalam membina manusia dan generasi.
Sepanjang empat dekad tersebut jelasnya, ramai anak didik Al-Amin telah melalui proses pendidikan sebelum melangkah ke alam pengajian tinggi, kerjaya dan seterusnya menyumbang kepada keluarga, masyarakat serta negara.
Beliau merakamkan penghargaan kepada para guru dan warga pendidik PPAAB atas usaha, kesabaran serta pengorbanan mendidik generasi demi generasi. Peranan guru, katanya, kekal penting meskipun teknologi terus berkembang kerana guru bukan sekadar menyampaikan ilmu, tetapi turut membimbing dan mengenal potensi anak-anak.
Dalam melihat ke hadapan, Dato’ Seri Amirudin menyeru agar Al-Amin terus memperkukuh pendidikan yang menggabungkan ilmu, akhlak dan nilai agama, di samping penguasaan bidang sains, teknologi, bahasa, ekonomi dan keusahawanan, seterusnya berharap anak-anak didik Al-Amin mampu bersaing di peringkat nasional dan antarabangsa tanpa melupakan nilai serta tujuan kejayaan yang dicapai.
Mengimbas perjalanan 40 tahun, Ketua Pegawai Eksekutif PPAAB, Haji Muhammad Fakharuddin Abdul Kudos berkata, institusi itu bermula dengan sebuah sekolah rendah di Jalan Kent, Kuala Lumpur pada tahun 1986 sebelum berkembang merangkumi pendidikan tadika, sekolah rendah dan sekolah menengah yang berteraskan Sistem Pendidikan Islam Bersepadu.
Beliau menyifatkan kehadiran Menteri Besar Selangor sebagai perasmi karnival sebagai satu penghargaan besar dan bukti keprihatinan serta komitmen kerajaan Selangor terhadap pembangunan pendidikan Islam di negeri ini.
Tambahnya, Karnival PPAAB Ke-40 turut menjadi ruang muhasabah terhadap perjalanan empat dekad yang lalu serta menetapkan hala tuju pendidikan untuk masa hadapan.
Dalam pada itu, PPAAB menyatakan komitmen untuk terus memperkukuh kurikulum, meningkatkan kompetensi tenaga pengajar dan menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif bagi melahirkan pemimpin masa depan yang bertakwa serta berbakti kepada agama, bangsa dan negara.
Majlis perasmian karnival turut dihadiri EXCO Selangor YB Anfaal Saari, Pengerusi MIEB Prof. Dr. Omar Yaakob, Pengerusi PPAAB Dr. Haji Shaharom Md Shariff, wakil Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Jabatan Agama Islam Selangor, Pejabat Pendidikan Daerah Gombak, para pemimpin IKRAM, serta alumni dan jemputan lain.
Karnival 40 Tahun Pusat Pendidikan Al-Amin Berhad dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik untuk seisi keluarga, antaranya Fun Run & Senamrobik, Kejohanan Futsal, Pertandingan Nasyid dan Little Chef pada sebelah pagi.
Karnival sehari ini turut mengadakan Jualan Bazar Al-Amin, Pertandingan Robotik & Young Coder dan E-Sport, termasuk aktiviti pentas seperti Spelling Bee, Storytelling, Bercerita Bahasa Melayu, Pidato Bahasa Arab dan Bercerita Mandarin
Setelah perasmian serta pelbagai pertandingan dan aktiviti menarik di Dataran Millenia pada petangnya, karnival ini diserikan lagi dengan Pertandingan Teater Islamik serta persembahan istimewa alumni Al-Amin pada malamnya.
Demi meneruskan usaha bersepadu mendidik generasi masa depan, moga PPAAB akan terus berperanan menjadi sebahagian daripada ekosistem pendidikan yang menyumbang kepada pembangunan modal insan, insya-Allah.




