“Masyarakat perlu diberi kesedaran dan pendidikan yang berterusan mengenai bahaya pedofilia, pornografi dan jenayah siber,” demikian kata Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Muar, Tuan Hj Lokman bin Simon semasa merasmikan seminar yang telah berlangsung di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Pei Yang di sini.
Walaupun kecanggihan teknologi Internet sangatlah banyak memberi manfaat kepada masyarakat katanya, sikap ibu bapa yang membiarkan anak-anak muda bermain gajet dan melayari pelbagai laman web tanpa pemantauan boleh menjerumuskan anak-anak dalam pornografi dan jenayah siber.
“Pedofilia adalah jenayah seks ke atas kanak-kanak yang disebabkan oleh penyakit mental pelakunya,” jelas penceramah utama Puan Hjh Azlina Roszy Mohamad Ghaffar, Timbalan Ketua Wanita IKRAM Selangor dalam penyampaiannya.
Menurut beliau yang juga merupakan pakar perunding psikologi klinikal Hospital Pakar An-Nur, Bangi, pendedahan yang melampau kepada dunia siber masa kini memberi peluang yang besar kepada anak-anak muda terbabit dalam pornografi yang membawa kepada ketagihan.
“Kedua-dua pelaku pedofilia dan pornografi ini memerlukan rawatan daripada pakar di samping bimbingan daripada masyarakat keseluruhannya.”
Seminar yang dihadiri lebih 200 orang peserta ini memberi peluang para peserta berkongsi pengalaman dengan Syed Azmi Al-Habsyi, seorang aktivis sosial terkenal mengenai penderaan seksual kanak-kanak.
“Penderaan seksual berlaku apabila seseorang yang berkuasa memujuk, menipu dan atau memaksa seorang kanak-kanak mengambil bahagian dalam aktiviti seksual, untuk memuaskan nafsunya sendiri,” menurut Syed Azmi.
Tambah beliau lagi, pedofilia telah berlaku selama bertahun-tahun.
“Namun, kejahilan masyarakat dan kekeliruan kanak-kanak mangsa pedofilia itu sendiri, menyebabkan banyak kes-kes yang tidak dapat dikenal pasti atau dilaporkan.”
Satu slot forum turut membariskan sekali lagi Azlina Roszy dan Syed Azmi, Dato’ Seri Dr Lau Keen Lee, pengamal perubatan dan aktivitis kesihatan mental, dan ASP Pn Sharidatul Aflaha Ismail daripada PDRM serta Dai Azam al-Kankari sebagai moderator.
Semua ahli panel forum bersepakat bahawa jenayah pedofilia dan pornografi sepatutnya dimulakan daripada langkah pencegahan iaitu memberi pendidikan kepada anak-anak di rumah sejak kecil.
Forum tersebut turut merumuskan bahawa peranan mendidik ini mesti diteruskan oleh semua komuniti dalam masyarakat seperti Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyaakat, institusi-institusi agama, Badan-badan bukan kerajaan, NGO, pihak polis dan juga orang perseorangan.
Seandainya masyarakat membiarkan peranan ini diserahkan kepada satu-satu pihak tertentu sahaja, jenayah seksual dan jenayah siber ini akan lebih sukar dikawal, malah mangsa dan pemangsa yang telah menjalani rawatan dan pemulihan berkemungkinan besar akan kembali mengulang aktiviti lampau mereka.
“Jadi, kita kena bermula daripada awal membina masyarakat yang tahu nilai baik dan buruk,” kata Syed Azmi.
Dalam pada itu, Puan Hjh Zalila Sumari, Ketua Wanita IKRAM Muar merangkap pengarah seminar menjelaskan, sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memfokuskan kepada usaha pembelaan dan pembinaan kanak-kanak, wanita dan keluarga, IKRAM memberi ruang kerjasama kepada mana-mana agensi dan NGO lain untuk menjayakan program yang dirancang secara bersama.
“Wanita IKRAM juga telah memperkenalkan satu modul pendidikan iaitu pakej Modul Sejahtera: Lindungi Diri dan Keluarga untuk memberi pendidikan serta kesedaran terhadap sebarang ancaman pedofilia, pornografi dan jenayah siber.”
Pakej itu jelasnya, merangkumi program-program susulan seminar, menekankan pembangunan sahsiah yang seimbang dalam aspek rohani, jasmani, emosi dan intelek, bersesuaian dengan pelbagai peringkat umur mulai empat tahun ke atas.
Sumber: FB IKRAM Muar