Pendakwah program realiti yang mencemar Islam yang murni

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan seorang pendakwah program realiti Da’i ditahan polis kerana didakwa merogol seorang wanita pada tahun lalu. Kita mengharapkan keadilan antara beliau dan wanita yang mendakwa itu serta hukuman yang setimpal jika beliau didapati bersalah.

 

Teringat pula satu demi satu insiden yang berkaitan pada tahun lalu, agak banyak kontroversinya berkaitan pendakwah program realiti ini.

 

Antaranya, seorang Imam Muda berkahwin lagi dengan alasan untuk membantu kewangan keluarga. Tidak lama kemudian beliau menceraikan isteri pertamanya yang memiliki lima anak sejak bersama. Ini bukan ‘membantu’ tapi membantut namanya.

 

Tidak cukup dengan itu, melalui mesej Whatsapp, seorang Pencetus Ummah (PU) menceraikan isterinya yang sedang sarat mengandung tujuh bulan dan mengahwini seorang janda. Isy, isy…

 

Selain itu, isteri seorang pendakwah Da’i pula dilaporkan tertekan kerana suaminya sudah beberapa kali curang dengan membuat panggilan tidak senonoh dengan wanita lain melalui rakaman video dalam telefon bimbitnya. Adoi, lupa diri pula.

 

Menambah lagi kontroversi, hanya kerana ‘aura’, seorang Da’i berkahwin dengan seorang janda di Makkah dan kemudiannya menceraikan isteri pertama yang sedang sarat mengandung anak kedua, namun kemudian beliau rujuk kembali isteri pertama dan menceraikan isteri kedua. 

 

Seorang demi seorang pendakwah program realiti ‘buat perangai’ selepas digelar Da’i, PU, Imam Muda. Ya, mereka adalah manusia yang tidak lari daripada rencam kehidupan, tetapi perlu diingat, mereka juga adalah pendakwah.

 

Orang yang membawa gelaran Da’i, PU dan Imam Muda ataupun pendakwah, agamawan dan ustaz mempunyai tanggungjawab berat untuk menjadi contoh kepada masyarakat dan bukan hanya sekadar menyampaikan ilmu semata-mata.

 

“Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya!? Amat besar kebenciannya di sisi Allah – kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.” (As-Saff: 2-3)

 

Para pendakwah merupakan model yang menjadi perhatian dan contoh kepada masyarakat walau di mana sahaja berada, sama ada dalam bentuk bicara atau perbuatan mereka.

 

Jika kontroversi demi kontroversi ditimbulkan oleh golongan pendakwah, apa lagi contoh baik yang boleh ditonjolkan kepada masyarakat selain mencemarkan nama baik golongan pendakwah itu sendiri?

 

“Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal?” (al-Baqarah: 44)

 

Para pendakwah adalah penyampai risalah Islam dan juga duta Islam yang membawa imej Islam, sudah tentu mereka wajib mengikuti contoh akhlak mulia Rasulullah SAW.

 

Jika akhlak dalam isu kahwin cerai pun belum selesai lagi ditambah pula dengan dakwaan kes jenayah, apalah yang boleh diharapkan dengan gelaran pendakwah itu? Bak kata pepatah Karam Singh Walia, “Harapkan pagar, pagar tidak boleh diharap”.

 

Sudah tentu pelbagai kecaman akan dilabel oleh netizen kepada golongan seperti ini antaranya ‘penunggang agama’, ‘ustaz segera’, ‘ustaz jadian’, ‘ustaz penipu’ dan sebagainya. Dengan gelaran itu, ia sedikit sebanyak telah mencemarkan imej pendakwah itu sendiri yang digandingkan dengan akhlak negatif segelintir mereka.

 

Teringat kata-kata Ibnu Qayyim, “Agama itu seluruhnya adalah akhlak. Barang siapa baik akhlaknya, maka semakin baik pula agamanya.”

 

Pelbagai faktor yang memungkinkan golongan ini mudah terdedah kepada kontroversi antaranya niat sebenar menyertai program realiti, lupa diri setelah menjadi finalis atau juara, tarikan dunia, wanita dan kejutan budaya kerana menjadi perhatian masyarakat setelah menjadi pendakwah selebriti.

 

Tidak dinafikan program-program realiti ini telah menghasilkan lebih ramai pendakwah untuk terjun kepada masyarakat untuk menyebarkan Islam dan kebaikan.

 

Gelaran ‘ustaz segera’ atau ‘ustaz jadian’ bagi penulis tidaklah begitu tepat kerana ada dalam kalangan mereka sebenarnya sudah menuntut ilmu agama, cuma program-program realiti ini telah menzahirkan ilmu, potensi dakwah dan keberadaan mereka dalam masyarakat.

 

Walaupun begitu, sesuai dengan perkembangan teknologi, perhatian media dan masyarakat kepada mereka terbawa-bawa pula hingga kepada masalah-masalah peribadi para pendakwah itu sendiri kerana mereka sudah terkenal dan menjadi selebriti, seperti juga artis-artis lain.

 

Satu persoalan yang perlu difikirkan, adakah wajar diteruskan program-program realiti ini kerana isu-isu yang timbul daripada pendakwah selebriti yang turut mencemarkan program itu sendiri?

 

Bagi penulis, jawapannya ya dan tidak. Jika program-program realiti pendakwah lebih banyak memberikan kesan dan contoh buruk kepada masyarakat, ia tidak wajar diteruskan. Jika ia membawa lebih banyak manfaat dan teladan baik, program realiti pendakwah wajar diteruskan.

 

Bagi pihak stesen TV pula, janganlah menerbitkan program-program realiti atau program agama yang seumpamanya hanya untuk mengejar bilangan penonton dan meraih keuntungan daripada iklan semata-mata.

 

Nilailah semula mekanisme temu duga calon peserta, ketahui kelayakannya, kenal pasti latar belakang, cara hidup dan sahsiahnya serta hantaran (posting) melalui media sosialnya sebelum temu duga, bukan sekadar menilai penampilan dan kepetahan bicaranya. Mungkin juga boleh diwujudkan kaunselor atau pakar psikologi bagi menilai setiap peserta semasa temu duga nanti.

 

Saya yakin stesen TV boleh berusaha melakukannya agar peserta-peserta nanti boleh menyampaikan mesej dakwah yang berkesan serta mampu menampilkan akhlak dan sahsiah yang baik walaupun sudah bergelar pendakwah Da’i, PU, Imam Muda atau apa-apa program realiti seumpamanya selepas ini.

 

Dalam apa-apa rancangan dakwah, yang penting bukan sahaja rancangannya tetapi juga apa impak selepasnya kepada masyarakat. Sekurang-kurangnya, ‘tapisan’ peserta oleh stesen TV telah dilakukan sebaik-baiknya jika berlaku apa-apa insiden berkaitan mereka nanti.

 

Bagi sekalian pendakwah, dakwah itu bukan hanya menyebarkan kebaikan, dakwah itu juga adalah baiknya teladan. Jika hanya pandai menyebarkan kebaikan tapi buruk pula teladan, masyarakat akan berjauhan dan tempanglah pula kebaikan.

 

Minda Editor

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

  • 5-7 April 2024
  • Ahmad Shahimi Senawi (0124061444)

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

  • 5-7 April 2024
  • Us Rozi Abu (0103535159)

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

  • 5-7 April 2024
  • Ruzinoor Che Mat (0194726820) Khairussani Farid (0132227380)

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Dr Mohamad Heerwan Peeie (010-9112045)

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Faisal (0129725464) & Nazilah (01110540165)

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

  • 5 - 6 April 2024
  • Faisal (0129725464)

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Ustaz Muhamad Faiz bin Muhd Fadhil 019-4102067

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia