Penagihan Dadah: Keinsafan Sebagai Asas Pemulihan

Isu penagihan dadah merupakan satu cabaran sosial dan kesihatan awam yang telah lama membelenggu masyarakat di seluruh dunia, termasuk Malaysia. Ketagihan dadah bukan sahaja menghancurkan kehidupan individu, malah turut memberi kesan domino terhadap keluarga, komuniti juga kestabilan negara.

Justeru, usaha bersepadu bagi menangani isu ini perlu melangkaui pendekatan rawatan konvensional yang berasaskan perubatan dan psikologi semata-mata. 

Dalam konteks ini, pendekatan taubat terpimpin muncul sebagai satu alternatif berimpak tinggi yang menggabungkan elemen kerohanian, kesedaran diri dan penginsafan sebagai asas pemulihan holistik bagi penagih tegar.

Pendekatan ini tidak hanya menyasarkan perubahan tingkah laku secara luaran, tetapi lebih mendalam lagi menyentuh dimensi rohani juga spiritual yang selama ini terabai dalam sebahagian besar intervensi rawatan.

Dengan memberi ruang kepada penagih tegar untuk melakukan refleksi diri, memperbetul haluan hidup serta membina hubungan yang lebih erat dengan Tuhan, pendekatan taubat terpimpin mampu menjadi pemangkin kepada perubahan menyeluruh dan berkekalan.

Definisi penagih tegar

Penagih tegar merujuk kepada individu yang mengalami ketergantungan yang kuat dan berterusan terhadap dadah, sehingga mereka sukar untuk berhenti walaupun menyedari kesan buruknya terhadap kesihatan, hubungan sosial dan kehidupan mereka. 

Ketergantungan ini bukan hanya bersifat fizikal, tetapi juga melibatkan aspek psikologi dan emosi, yang membuatkan mereka terus terjebak dalam kitaran penggunaan dadah.

Mereka sering kali kehilangan kawalan diri dan kesedaran tentang akibat negatif yang dihadapi, termasuk kemusnahan hubungan dan kerosakan hidup peribadi. Oleh itu, pemulihan bagi penagih tegar memerlukan sokongan yang berterusan dan pendekatan yang lebih mendalam untuk membantu mereka keluar daripada ketergantungan ini.

Pendekatan taubat terpimpin: Pusat Koreksional Cenderiang

Pendekatan taubat terpimpin merujuk kepada satu bentuk program pemulihan yang dirangka secara sistematik berasaskan nilai-nilai agama, khususnya ajaran Islam bagi penagih beragama Islam.

Pendekatan ini berfungsi sebagai satu modul intervensi yang menyeluruh, dengan menggabungkan aktiviti keagamaan seperti solat berjemaah, bacaan al-Quran, zikir, kuliah agama serta sesi kaunseling spiritual yang dikendalikan oleh pegawai agama atau pakar kaunseling bertauliah.

Matlamat utama pendekatan ini adalah untuk memupuk kesedaran dalaman dalam kalangan penagih tegar agar mereka benar-benar insaf terhadap kesilapan lampau dan seterusnya mempunyai niat yang ikhlas untuk berubah.

Unsur paksaan atau kawalan luaran semata-mata tidak mencukupi dalam memastikan perubahan berpanjangan. Sebaliknya, apabila perubahan itu lahir daripada kesedaran spiritual yang tulus, keberkesanannya lebih tinggi kerana ia berakar pada keinginan dalaman yang kukuh.

Modul Taubat Terpimpin telah diperkenalkan secara rasmi di Pusat Koreksional Cenderiang (PKC), Tapah, Perak yang mula beroperasi pada awal tahun 2025, sebagai penanda aras kepada konsep pemulihan moden untuk penagih tegar.

PKC mewakili sebuah transformasi besar dalam pendekatan pemulihan di Malaysia, khususnya terhadap pesalah dadah yang disabitkan di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 Seksyen 39C, iaitu individu yang mempunyai kes berulang kali berkaitan penagihan (penagih tegar).

Pendekatan ini merupakan inisiatif perintis dalam sistem penjara khas dadah yang diwujudkan buat julung kalinya di negara ini. Program pemulihan yang dilaksanakan di PKC menumpukan kepada pemulihan menyeluruh secara rohani dan fizikal. Di sana, para peserta yang dikenali sebagai residen menjalani rutin harian yang terancang dan disiplin.

Aktiviti harian mereka merangkumi solat Subuh berjemaah, pembacaan tazkirah, senaman ringan, ceramah motivasi serta solat malam dan sesi muhasabah kendiri.

Dalam persekitaran institusi yang kondusif dan berfokus kepada nilai spiritual ini, proses penyemaian keinsafan dapat dijalankan secara konsisten dan terarah, sekali gus membuka ruang bagi pesalah untuk membina kekuatan rohani sebagai asas kepada transformasi diri yang berkekalan.

Kesedaran terhadap kesalahan lampau asas kepada pemulihan holistik 

Antara cabaran utama dalam pemulihan pesalah dadah ialah membentuk kesedaran tulen terhadap kesalahan yang telah dilakukan. Ramai pesalah mengalami kekosongan jiwa dan kehilangan arah hidup yang menyebabkan mereka kembali ke kancah penagihan walaupun telah menjalani rawatan perubatan.

Dalam konteks ini, pendekatan taubat terpimpin berperanan penting kerana ia memberi ruang kepada individu untuk bermuhasabah dan menyedari impak buruk ketagihan terhadap diri, keluarga dan masyarakat.

Proses muhasabah ini membolehkan pesalah menilai kembali titik mula mereka terjebak dalam kancah dadah, mengenal pasti punca kelemahan diri dan mula membina semula jati diri yang hilang. Kesedaran ini bukanlah sesuatu yang boleh dipaksakan, tetapi perlu lahir secara jujur melalui pendekatan yang mendidik dan menyentuh hati.

Sebagai contoh, aktiviti solat malam seperti solat tahajud dan zikir taubat memberi peluang kepada individu untuk mendekatkan diri kepada Tuhan, memohon keampunan dan meraih ketenangan yang tidak dapat diberikan oleh rawatan fizikal semata-mata.

Keinsafan yang hadir melalui interaksi spiritual ini berfungsi sebagai titik tolak kepada perubahan tingkah laku dan sikap yang lebih positif. Dalam jangka masa panjang, kesedaran inilah yang membantu mengekang keinginan untuk kembali kepada tabiat lama.

Impak positif pendekatan taubat terpimpin 

Berdasarkan kajian lapangan dan testimoni dari Pusat Koreksional Cenderiang, dapatan menunjukkan bahawa pelaksanaan pendekatan taubat terpimpin telah memberikan hasil yang sangat memberangsangkan.

Antara impak ketara yang dapat dilihat termasuklah peningkatan tahap disiplin, pengurangan insiden salah laku dalam kalangan pesalah dan peningkatan kesediaan untuk berubah selepas tamat tempoh pemulihan.

Lebih penting lagi, kekuatan dalaman yang dibina melalui pendekatan ini telah membekalkan pesalah dengan ketahanan emosi dan spiritual yang lebih tinggi untuk menghadapi cabaran dunia luar selepas pembebasan. Hal ini termasuklah tekanan sosial, stigma masyarakat dan godaan untuk kembali kepada tabiat lama.

Mereka yang melalui proses taubat terpimpin mempunyai kompas moral dan rohani yang lebih kukuh untuk menolak sebarang bentuk godaan yang boleh membawa mereka kembali ke jalan gelap.

Tambahan pula, pendekatan ini turut memberi kesan positif terhadap pengurusan institusi pemulihan itu sendiri. Suasana yang lebih tenteram, tertib dan berdisiplin dalam kalangan penghuni membolehkan pihak pengurusan menjalankan program dengan lebih lancar dan berkesan. Malah, pendekatan ini boleh dijadikan model rujukan kepada institusi pemulihan lain di Malaysia.

Justeru, pendekatan taubat terpimpin telah membuktikan potensinya sebagai satu kaedah pemulihan bersepadu yang bukan sahaja membantu pesalah dadah insaf akan kesilapan lampau, tetapi juga membimbing mereka membina kehidupan baharu yang lebih bermakna. 

Melalui proses spiritual yang terarah, mereka dapat membina kekuatan dalaman yang menjadi benteng utama dalam menghadapi cabaran kehidupan pascapemulihan.

Oleh itu, pendekatan ini sewajarnya diberi perhatian dan dikembangkan sebagai salah satu usaha pemulihan yang holistik.

Dengan sokongan berterusan daripada pelbagai lapisan masyarakat, kita dapat membantu individu kembali ke landasan yang positif serta menyumbang ke arah pembentukan komuniti yang lebih sihat, harmoni dan seimbang dari segi fizikal, emosi dan rohani.

Dr. Shamsul Zuraimi Mat Shah
Penguasa, Jabatan Penjara Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia