Pembelajaran Sepanjang Hayat Tingkatkan Kesejahteraan

Pembelajaran Sepanjang Hayat Tingkatkan Kesejahteraan | IKRAM

Nilai “kebijaksanaan” memainkan peranan penting dalam pembelajaran sepanjang hayat kerana ia mendorong seseorang untuk mendekati makna yang lebih mendalam melalui pengalaman dan refleksi berterusan.

Sebagaimana yang ditegaskan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, “Dalam keghairahan kita menggapai ke langit, jangan ketinggalan dasar kerana kita negara dengan budaya dan fahaman agama yang rencam harus mengakar ke bumi.”

Kenyataan ini menekankan bahawa dalam mengejar kemajuan, kita perlu tetap berpijak pada nilai, tradisi dan asas budaya yang memberi identiti kepada negara.

Keupayaan untuk menyeimbangkan kemajuan dengan menghormati asas-asas ini adalah penting dalam membangunkan masyarakat yang sejahtera dan berkelanjutan.

Falsafah pembangunan diri dan pemahaman tentang kelemahan, kekuatan dan potensi individu turut memainkan peranan dalam memandu pembelajaran sepanjang hayat.

Modal insan

Konsep “modal insan” yang dilihat sebagai aset negara sangat relevan kerana ia memberi penekanan kepada pembangunan manusia sebagai sumber yang perlu dimaksimumkan. Dalam hal ini, pembelajaran sepanjang hayat memastikan individu sentiasa berkembang dan mampu beradaptasi dengan perubahan.

Merujuk kepada matlamat keempat yang menekankan pembentukan masyarakat Madani, tumpuan utama adalah kepada usaha membasmi buta huruf dan memastikan golongan yang tercicir daripada pendidikan mendapat peluang untuk belajar.

Walaupun Malaysia telah mencapai kemajuan yang ketara dalam bidang teknologi dan pendidikan, masih ada segelintir rakyat yang ketinggalan, terutama dalam aspek literasi dan akses kepada pendidikan berkualiti.

Pendidikan adalah asas penting dalam memajukan masyarakat. Oleh itu, usaha memperkenalkan peluang pendidikan secara lebih agresif adalah kritikal untuk memastikan tiada golongan yang tercicir.

Negara yang maju memerlukan masyarakat yang berpengetahuan tinggi untuk berdepan dengan cabaran besar pada masa hadapan, terutamanya dalam aspek teknologi, ekonomi dan sosial.

Pendidikan yang lebih inklusif bukan sahaja memperkasa individu tetapi juga membantu meningkatkan kualiti hidup mereka dalam aspek sosioekonomi. Dengan adanya kemahiran yang relevan, mereka dapat memperbaiki taraf hidup dan menyumbang lebih banyak kepada masyarakat.

Pembelajaran sepanjang hayat

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir juga menekankan pentingnya program pendidikan yang holistik, termasuk dalam bidang pengurusan halal. Hal ini membolehkan pelajar melengkapkan diri dengan ilmu rentas disiplin yang akan mempersiap diri mereka menghadapi keperluan dunia pekerjaan yang dinamik.

Malaysia perlu terus menjadi pusat rujukan dalam industri halal. Sebagai contoh, dalam Majlis Konvokesyen ke-24 The Chartered Institute of Logistics and Transport Malaysia (CILTM) pada 9 November 2024, sebanyak 450 ahli diiktiraf atas dedikasi mereka dalam pembelajaran sepanjang hayat, khususnya dalam bidang logistik dan pengangkutan.

Pembelajaran sepanjang hayat (PSH) dilihat sebagai proses pendemokrasian pendidikan yang melibatkan pemerolehan pengetahuan, kemahiran dan kompetensi melalui pelbagai saluran, sama ada secara formal atau tidak formal.

Ia selari dengan konsep bahawa pembelajaran bukan hanya tentang penambahan ilmu, tetapi juga tentang memperdalam pemahaman dan menanamkan hubungan yang kukuh dengan nilai dan tradisi.

Konsep pembelajaran sepanjang hayat juga pertama kali digariskan dalam laporan Paul Lengrand pada 1965 yang disediakan oleh Biro Pendidikan Dewasa UNESCO. Dalam laporan tersebut, beliau menegaskan bahawa pendidikan harus berterusan sepanjang hayat dan tidak terhad kepada usia kanak-kanak atau remaja sahaja.

Hal ini juga diteruskan dalam laporan ‘Learning to Be’ oleh UNESCO yang menyatakan bahawa akses kepada pendidikan seharusnya tidak terhad kepada golongan elit atau mereka yang berada dalam lingkungan umur tertentu sahaja, tetapi harus merangkumi seluruh lapisan masyarakat.

Lebih terbuka dan fleksibel 

Pembelajaran sepanjang hayat tidak hanya berfokus pada menambah ilmu, tetapi juga pada perubahan cara seseorang melihat dunia. Jack Mezirow dalam teori Pembelajaran Transformasi menyatakan bahawa pembelajaran sepanjang hayat dapat mengubah perspektif dan nilai seseorang secara mendalam.

Oleh itu, sistem pendidikan harus lebih terbuka dan fleksibel supaya semua lapisan masyarakat boleh mengakses peluang pendidikan mengikut tahap kemahiran mereka. Hal ini penting untuk memastikan bahawa setiap individu dapat menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku di sekitar mereka.

Selain itu, pembelajaran sepanjang hayat turut menekankan elemen kreatif, inisiatif dan responsif yang membolehkan seseorang beradaptasi dengan situasi baru, berkomunikasi dengan berkesan dan mengurus konflik dengan baik.

Semua ini penting untuk meningkatkan kesejahteraan masyarakat dan pembangunan negara. Tanpa budaya ilmu, pembangunan akan terencat dan masyarakat akan ketinggalan dalam arus globalisasi. Oleh itu, masyarakat harus merebut peluang untuk membudayakan ilmu, tidak kira pada peringkat usia mana sekali pun.

Dalam era perubahan pesat teknologi seperti kecerdasan buatan, data besar dan automasi, pembelajaran sepanjang hayat memastikan individu dapat menyesuaikan diri dengan perubahan tersebut.

Dengan meningkatnya usia dan kaedah pembelajaran yang lebih pelbagai, golongan dewasa yang bekerja, suri rumah dan warga emas juga dijadikan kumpulan sasaran utama dalam pembelajaran sepanjang hayat.

Mereka yang ingin terus menyumbang kepada negara dan meningkatkan kemahiran diri perlu diberi peluang untuk belajar sepanjang hayat.

Perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) telah membawa dunia yang lebih terhubung, melahirkan konsep dunia tanpa sempadan. Informasi kini lebih mudah diakses, tidak lagi terhad kepada perpustakaan atau arkib.

Dalam menghadapi perubahan ini, pembelajaran sepanjang hayat bukan hanya untuk meningkatkan ilmu tetapi juga untuk memastikan individu dapat mengambil bahagian secara aktif dalam masyarakat dan negara, sekali gus menjadi warganegara yang bertanggungjawab.

Kita perlu menanamkan semangat perjuangan dan aspirasi untuk terus menggali ilmu pada bila-bila masa dan walau di mana sahaja. 

 

Prof. Madya Ts. Dr. Jessica Ong Hai Liaw
Pensyarah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia & 
Pengerusi Women in Logistics and Transport (WiLAT) Malaysia, CILTM

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia