Pelihara Kesihatan Mental Kita

Komponen kesihatan mental dalam kehidupan sesorang individu sangatlah penting. Jika kesihatan mental terjejas, ia juga boleh menyebabkan gejala fizikal lainnya kerana ia saling berhubung kait.

Oleh yang demikian, adalah sangat perlu untuk kita mengetahui bagaimana cara terbaik untuk memelihara kesihatan mental.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang media COVID-19 pada Mei lalu berkata, pada ketika ini masalah emosi dikenal pasti menjadi isu utama kesihatan mental rakyat apalagi sejak negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sebanyak 8,380 panggilan telefon yang diterima pihaknya dan sebanyak 46.8 peratus berdepan masalah kesihatan mental. Selain tekanan perasaan, mereka berasa bimbang dan marah disebabkan pelbagai faktor sosial seperti masalah pendapatan dan kewangan serta perselisihan dengan keluarga dan kebimbangan berkenaan wabak COVID-19 pula menyumbang sebanyak 20 peratus.

Manakala aspek keperluan asas menyumbang sebanyak 6.9 peratus, sementara masalah keganasan rumah tangga dan perhubungan pula 6 peratus. Seterusnya masalah psikiatri iaitu kemurungan dan keresahan menyumbang 2.4 peratus, manakala penderaan kanak-kanak pula 0.2 peratus.

Tahukah kita Hari Kesihatan Mental Sedunia telah disambut pada 10 Oktober setiap tahun sejak tahun 1992?

Ia telah diperkenalkan oleh World Federation of Mental Health (WFMH) dengan tema yang berbeza setiap tahun dan tahun ini bertemakan ‘Kesihatan Mental Milik Semua, Bersama Cegah Bunuh Diri’.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menaktifkan bahawa kesihatan adalah satu keadaan merangkumi kesihatan secara fizikal, mental, sosial dan tidak hanya ketiadaan penyakit.

Menurut Setiausaha Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA) Dr Firdaus Abdul Ghani, untuk memahami tentang masalah kesihatan mental, kita perlu memahami konsep kesihatan mental terlebih dahulu.

“Terdapat perbezaan yang besar antara kesihatan mental dan penyakit mental. Oleh itu, kita tidak seharusnya menggunakan istilah ini secara tukar ganti.”

Seseorang individu yang normal mungkin tidak mempunyai kesihatan mental yang baik pada setiap masa, tetapi masih lagi berupaya untuk melakukan aktiviti seharian seperti biasa.

Berlainan pula dengan mereka yang mempunyai penyakit mental yang mana fungsi sehariannya akan terjejas. Secara umumnya, kesihatan mental menggambarkan tahap kesejahteraan pemikiran dan emosi seseorang individu.

Dengan bahasa mudahnya, kesihatan mental adalah keadaan kesejahteraan emosi, psikologi dan sosial yang mempengaruhi perasaan, interaksi dan penyesuaian seseorang dengan kehidupan dan kejadiannya. Ini juga menentukan bagaimana seseorang menangani tekanan dan bagaimana membuat keputusan.

Manakala penyakit mental adalah gangguan yang mempengaruhi cara berfikir, ‘mood’ dan tingkah laku seseorang. Ia disebabkan oleh beberapa faktor seperti genetik dan peristiwa kehidupan yang dilalui seseorang seperti pendedahan kepada tekanan, penderaan verbal atau fizikal, atau gangguan.

Menurut WHO lagi, lebih 800,000 individu membunuh diri setiap tahun atau kira-kira satu nyawa setiap 40 saat dan ia menjadi punca utama kematian dalam kalangan mereka yang berusia antara 15 hingga 29 tahun.

Ia adalah sesuatu yang amat membimbangkan kerana dahulunya ramai beranggapan bahawa hanya orang dewasa yang menunjukkan kecenderungan untuk membunuh diri tetapi hakikatnya pada masa kini, kian ramai kanak-kanak dan remaja yang berisiko disebabkan oleh keganasan, penderaan seksual dan buli.

Ini termasuklah kes yang melibatkan buli secara dalam talian (cyberbully) di media sosial yang kian berleluasa.

Menurut Dr Firdaus, kejadian bunuh diri adalah suatu perkara yang boleh dicegah. Mereka yang berisiko boleh dikenal pasti serta diberikan intervensi awal.

Antara yang berisiko adalah mereka yang mempunyai kemurungan, penyakit fizikal yang kronik, mengambil alkohol, tiada sokongan sosial serta tekanan hidup yang berlarutan.

Kesihatan mental juga merujuk kepada cara kita berfikir, merasa, bertindak, mendepani masalah dan mengatasinya, dan cara kita berinteraksi dengan orang lain.

Justeru, menurut portal http://www.myhealth.gov.my/, terdapat langkah-langkah mencapai kesihatan mental yang baik antaranya dengan mengamalkan cara hidup sihat, seperti memakan makanan seimbang, mengekalkan berat ideal, meluangkan masa untuk rehat dan riadah, dan cukup tidur serta rehat.

Berpandukan Kenyataan (Be Realistic) pula, seseorang itu perlu mengenali kekuatan dan kelemahan diri sendiri, mensasarkan matlamat yang boleh dicapai dan berusaha menerima apa yang kita tidak boleh ubah.

Tidak dapat dinafikan, seseorang itu perlu berfikir dengan positif iaitu mengamalkan bercakap positif pada diri sendiri seperti “saya akan, saya boleh, saya akan cuba, saya juara, saya disayangi, saya menarik” dan lain-lain.

Seseorang itu juga perlu membuat keputusan secara bijak dengan mengetahui fakta-fakta yang berkaitan, selain membuat pertimbangan antara kebaikan dan keburukan, dan sesekali libatkan orang lain dalam membuat keputusan.

Seseorang itu boleh berpura-pura untuk tidak berasa apa-apa namun setiap orang itu tetap ada perasaan. Terdapat beberapa perasaan yang kuat kita alami sesekali dalam hidup iaitu keseorangan, disayangi, ketakutan, kesedihan, tiada upaya dan malu.

Tidak menjadi kesalahan jika seseorang itu meluahkan perasaannya sesuai dengan tempat dan keadaan kerana dengan memendam perasaan jauh di dalam hati, ia akan lebih mengganggu perasaan.

Setiap kita perlu belajar menangani kritikan dengan baik dan mengambil keputusan sama ada perlakuan itu yang dipilih untuk diubah. Kita juga perlu belajar menjadi diri sendiri dan membuang keinginan supaya semua orang menyukai diri kita tetapi kita berusaha untuk menyukai diri sendiri.

Sesekali kita perlu mengatakan “TIDAK”. Seakan berkata “TIDAK” itu memberi hadiah kepada diri sendiri yang mana ia memberi masa, hak, ruang peribadi dan menghormati diri sendiri.

Untuk membina keluarga bahagia, kita perlu menerapkan nilai-nilai kemesraan, kasih sayang dan berbudi bahasa kepada ahli keluarga, selain sentiasa memberi mereka sokongan sewaktu diperlukan, meluangkan sedikit masa untuk berbual, bermain dan bersantai bersama keluarga.

Kita perlu menjadikan rumah sebagai tempat yang aman dan menyeronokkan untuk kembali setelah penat seharian bekerja.

Seseorang itu perlu mencurahkan masalahnya bagi mendapatkan bantuan daripada profesional jika ia diperlukan dan jangan simpan semua masalah serta kebimbangan yang hadir.

Nilai-nilai keagamaan dan moral yang baik perlu diterapkan sentiasa agar segala yang dihadapi dapat ditangani dengan sebaik dan serasional yang mungkin.

Oleh yang demikian, kesihatan mental adalah satu matlamat tertinggi Islam kerana ia berperanan dalam mereformasi individu dan melayakkannya untuk melayani masyarakat dalam sesuatu kepentingan umum.

Dengan kata lain, ia bertujuan membebaskan seseorang itu daripada segala sesuatu yang dapat menjadikannya individu yang negatif atau tidak berguna.

Menurut profesor psikologi di Universiti Alexandria, Dr Abdulrahman al-Essawi, kesihatan mental yang baik adalah antara nikmat yang Allah kurniakan kepada hamba-hamba-Nya.

Kesihatan mental bukan hanya bebas daripada penyakit atau gangguan tetapi selain itu, ia adalah keadaan fikiran yang positif yang mana individu itu dapat menjalankan tugas, peranan dan sesuatu yang dirancang dengan sebaik-baiknya.

Menurutnya lagi, tidak dinafikan juga bahawa keinginan dan kekurangan adalah antara faktor-faktor yang menyumbang kepada munculnya gangguan psikologi dan mental.

Justeru, Islam berusaha memupuk jiwa dan menyingkirkan penyakit kejahatan, dorongan nafsu dan dengan demikian menjadikannya sihat, kuat dan mampu melakukan tindakan positif serta reformasi masyarakat sebagai persiapan untuk umat Islam yang baik.

Semua klinik kesihatan di seluruh Malaysia menyediakan perkhidmatan saringan untuk kesihatan mental dan penyakit mental menggunakan soal selidik tertentu.

Mana-mana individu yang berhasrat melakukan penilaian kesihatan mental boleh berbuat demikian bagi mendapatkan pengesanan awal situasi diri atau terus berhubung dengan Malaysian Mental Health Association (MMHA) dan Malaysian Psychiatric Association (MPA).

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia