SERI KEMBANGAN – Saluran video rasmi bagi Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), TV IKRAM kini mempelbagaikan segmennya dalam penerbitan video untuk manfaat masyarakat.
“Kita pelbagaikan segmen untuk manfaat masyarakat rentas golongan dengan tema ‘Mendidik Jiwa Menyebar Rahmah’,” kata Pengurus Jabatan Penerangan dan Perhubungan IKRAM, Siti Hamisah Manan.
Katanya, pada tahun lalu, antara segmen yang diterbitkan TV IKRAM ialah Kuliah Online, On Tak On, Hacks dan Jom Sembang serta Bicara Bina Negara dengan kerjasama Jabatan Kajian dan Advokasi IKRAM.
“Pada tahun ini, kita menambah beberapa lagi segmen yang telah diterbitkan antaranya Wakaf Ilmu dengan kerjasama IKRAM Academia, Indahnya Kalam Ilahi (sempena Ramadan), Nabi Pesan Apa, 5 Minit Je, Sembang Bersama Pakar dan Follow Me Dr Har.”
Jelasnya, beberapa segmen baru juga bakal diterbitkan TV IKRAM yang membicarakan tentang wanita, keagamaan, Negara Rahmah dan juga forum berkaitan agenda nasional.
Tambahnya, saluran TV IKRAM di YouTube kini mempunyai lebih 10,900 subscriber.
“Kita sasarkan TV IKRAM mencapai 20,000 subscriber pada hujung tahun 2021 apabila beberapa segmen baru ini diperkenalkan, insya-Allah.”
Saluran TV IKRAM boleh dilayari di pautan https://www.youtube.com/c/ikrammalaysiaTV.
“Kita akan terus komited menghidangkan kandungan untuk bersama mendidik masyarakat bagi mencapai sebuah negara yang sejahtera dan rahmah untuk semua bangsa dan agama atas nama Malaysia.”
Kata Hamisah lagi, pihaknya turut merancang untuk melancarkan laman web IKRAM berwajah baharu pada Ogos nanti.
“Laman web baharu nanti mempunyai reka bentuk yang lebih menarik, mesra pengguna dan telefon bimbit serta interaktif.”