Satu sidang media tergempar telah diadakan di Kompleks Pendidikan Islam sebentar tadi berkenaan isu bantahan permohonan lesen bagi menjual minuman keras di premis perniagaan di pasaraya AEON BiG, Seksyen 16 seperti mana yang telah dipaparkan dalam iklan akhbar Harian Metro pada 2 November 2014.
Gabungan tersebut yang dinamakan Badan Bertindak Bantahan Arak (BBBA) menyuarakan rasa terkilan berikutan pihak yang terbabit dalam isu permohonan lesen bagi menjual minuman keras ini bersikap kurang peka terhadap sensitiviti masyarakat setempat yang mana majoriti penduduk di Bandar Baru Bangi adalah beragama Islam.
Hj Sufyan, iklan permohonan lesen dan surat bantahan IKRAM Hulu Langat
Salah seorang wakil daripada persatuan penduduk menjelaskan, bantahan ini perlu dilihat dari sudut positif dan bukan dilihat untuk menimbulkan ketegangan sebaliknya imej Bandar Baru Bangi sebagai bandar yang menjulang ketinggian akhlak adalah satu tanggungjawab yang tidak boleh dikompromi, sejajar dengan gelarannya sebagai “Bandar Ilmu” sejak dahulu.
Justeru, BBBA menggesa supaya pihak Pengerusi Lembaga Perlesenan Daerah Hulu Langat tidak meneruskan dan tidak meluluskan pemberian lesen tersebut.
Yang Dipertua IKRAM Hulu Langat, Hj Sufyan Mohd Nor juga merakamkan rasa kecewa dengan apa yang berlaku dan menyamakan tindakan pihak yang terlibat tidak mengambil kira pendapat dan sensitiviti orang ramai seperti yang berlaku sebelum ini di Gebeng, Kuantan dalam isu Lynas Corporation.
Terdahulu pada Isnin 10 November lalu, IKRAM Hulu Langat turut menghantar surat bantahan terhadap permohonan lesen menjual minuman keras tersebut kepada Pengerusi Lembaga Perlesenan Daerah Hulu Langat.
Bantahan besar-besaran ini akan terus berlangsung di seluruh Bangi sehingga 28 November ini di mana seluruh masjid dijangka akan mengadakan solat hajat dan akan diadakan perarakan dari Masjid Hasanah oleh semua wakil NGO dan Persatuan Penduduk ke Pejabat Daerah bagi menyatakan bantahan terhadap isu ini.
Sumber: