Pelan Takaful dan Insurans Perubatan Kerajaan: Langkah Maju, Namun Perlu Penambahbaikan

Pelan Insurans Perubatan Kerajaan: Langkah Maju, Namun Perlu Penambahbaikan

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) menyambut baik pengumuman kerajaan berhubung pelan takaful dan insurans perubatan baharu yang menawarkan perlindungan sehingga umur 85 tahun.

Langkah ini merupakan satu usaha penting dalam menangani isu kenaikan premium yang mendadak serta memastikan rakyat mempunyai akses kepada perlindungan kesihatan yang lebih mampan.

Ia juga memberi jaminan kepada warga emas yang sering berdepan kos rawatan tinggi, dan perlindungan berterusan yang membolehkan pemegang polisi berpindah ke pelan asas tanpa penilaian kesihatan baharu.

Namun, apa yang dibimbangi ialah had pendaftaran pelan takaful dan insurans ini sehingga umur 70 tahun, yang mengecualikan golongan warga emas yang paling memerlukan perlindungan.

Ditambah pula kos premium tinggi bagi warga emas dengan kadar RM500 hingga RM780 sebulan bagi umur 75 ke atas, ia mungkin membebankan pesara tanpa pendapatan tetap.

Selain itu, sistem dua lapis berpotensi mewujudkan jurang antara mereka yang mampu membeli pelan takaful dan insurans perubatan swasta yang lebih komprehensif dan mereka yang hanya bergantung pada pelan asas kerajaan.

Malah, pelaksanaan pelan takaful dan insurans ini tertunda kerana hanya bermula sepenuhnya pada tahun 2027, sedangkan rakyat memerlukan penyelesaian segera terhadap inflasi perubatan.

Sehubungan dengan itu, IKRAM menggesa kerajaan untuk mempertimbangkan langkah-langkah berikut:

1. Menyediakan mekanisme kemasukan lewat bagi warga emas dengan struktur manfaat dan perkongsian kos yang bersesuaian, agar tiada golongan terpinggir sepenuhnya daripada perlindungan.
2. Melaksanakan subsidi bersasar kepada golongan berpendapatan rendah, pesara dan mereka yang mempunyai pelbagai penyakit kronik.
3. Mempercepatkan pelaksanaan melalui perluasan projek rintis.
4. Meneruskan reformasi menyeluruh pembiayaan kesihatan ke arah sistem yang lebih adil, telus dan mampan.

Pelan takaful dan insurans perubatan baharu ini adalah langkah positif yang wajar dipuji kerana memberi perlindungan lebih luas dan mengekang inflasi premium. Namun, tanpa penambahbaikan terhadap had umur, kos premium warga emas dan jurang akses, matlamat keadilan sosial dalam penjagaan kesihatan mungkin tidak tercapai sepenuhnya.

IKRAM komited untuk terus memantau perkembangan ini dan sedia bekerjasama dengan pihak berkepentingan demi kesejahteraan rakyat dan kelestarian sistem kesihatan negara.

Dr. Mohd. Afiq Mohd. Nor
Yang Dipertua
Persatuan Kesihatan IKRAM Malaysia (IKRAM Health)

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia