Pelaksanaan Identiti Digital eKYC Minimum 16 Tahun Disokong

Pelaksanaan Identiti Digital eKYC Minimum 16 Tahun Disokong | IKRAM

“Wanita IKRAM Malaysia Menyokong Pelaksanaan Identiti Digital eKYC dengan Meningkatkan Umur Minimum ke 16 Tahun”

Wanita IKRAM Malaysia memandang serius kebimbangan yang semakin meningkat berkaitan keselamatan kanak-kanak dan remaja di alam digital, khususnya selepas pelbagai kes salah laku dan jenayah seksual melibatkan pelajar sekolah tular baru-baru ini.

Kami menyambut baik keprihatinan dan langkah pantas Kementerian Komunikasi melalui pengumuman YB Menteri, Datuk Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil yang bakal melaksanakan identiti digital (electronic Know Your Customer atau eKYC) dan menyokong cadangan jemaah menteri untuk menaikkan had umur minimum pengguna media sosial daripada 13 tahun kepada 16 tahun (1)

Wanita IKRAM Malaysia menyokong tindakan ini kerana kami berpandangan bahawa kanak-kanak dan remaja berusia 16 tahun ke bawah masih belum mempunyai kematangan emosi dan sosial yang mencukupi untuk berdepan dengan dunia media sosial yang sarat dengan pengaruh budaya, norma serta kandungan berisiko tinggi. Pendedahan terlalu awal boleh menjejaskan kesejahteraan mental, konsep kendiri dan nilai sosial mereka. 

Oleh itu, kami menyeru agar pelaksanaan dasar ini diperluas dan diperkuat dengan tindakan-tindakan strategik berikut:

1. Had umur penggunaan media sosial perlu sekurang-kurangnya 16 tahun

Kajian psikologi menunjukkan usia 13 hingga 15 tahun merupakan tempoh kritikal pembentukan identiti diri, bahkan kanak-kanak dan remaja masih rapuh dari segi emosi dan mudah terpengaruh dengan tekanan sosial yang sering mendominasi media sosial. 

Pada usia ini, mereka sedang belajar mengenali diri, mencari penerimaan sosial dan masih belum mempunyai kematangan kognitif untuk menilai risiko atau kesan jangka panjang sesuatu tindakan dalam talian.

Kajian oleh Orben et al. (2022) (2) mendapati terdapat “tingkap sensitif” dalam perkembangan remaja, terutamanya antara umur 11 hingga 14 tahun kerana pengaruh digital seperti tekanan perbandingan sosial, imej tubuh tidak realistik dan interaksi maya yang toksik memberi kesan yang sangat kuat terhadap pembentukan harga diri dan kestabilan emosi.

Kanak-kanak dan remaja yang melalui fasa ini tanpa pendedahan berlebihan kepada media sosial didapati mempunyai keyakinan diri lebih kukuh dan kemahiran mengurus tekanan sosial yang lebih sihat apabila meningkat dewasa.

Laporan DAK Study 2023 (3) dari Jerman juga menunjukkan peningkatan ketara dalam corak penggunaan berisiko tinggi dalam kalangan remaja, termasuk gangguan tidur, penurunan tumpuan, perubahan mood dan masalah hubungan sosial.

Walaupun penggunaan sederhana boleh memberi kesan neutral, pendedahan awal terhadap kandungan negatif seperti kecaman badan (body shaming), ucapan penuh kebencian atau elemen seksual menjadikan remaja lebih mudah terdedah kepada krisis identiti dan emosi tidak stabil.

Oleh itu, cadangan menetapkan had umur minimum 16 tahun bagi penggunaan media sosial perlu dilihat sebagai langkah perlindungan, bukan sekatan. Tempoh ini memberi ruang untuk memperkukuh kemahiran sosial, kawalan emosi dan daya tahan mental kanak-kanak dan remaja sebelum mereka berdepan dengan tekanan perbandingan sosial serta kandungan digital yang tidak ditapis.

Beberapa negara seperti Australia kini telah mengambil langkah tegas untuk mengehadkan penggunaan media sosial kepada kanak-kanak bawah 16 tahun menjelang akhir tahun 2025. Malaysia tidak boleh ketinggalan dalam melindungi generasi mudanya daripada pengaruh dan risiko digital yang semakin meluas.

2. Pelaksanaan eKYC perlu diperluas kepada semua platform dalam talian

Perlindungan digital tidak seharusnya terbatas kepada aplikasi media sosial dan e-dagang sahaja. Platform permainan dalam talian, aplikasi mesej dan laman interaktif lain turut menjadi ruang eksploitasi yang serius terhadap kanak-kanak. Kementerian disaran agar pelaksanaan eKYC diperluas secara menyeluruh dengan kerjasama penyedia platform dan agensi antarabangsa.

Penapisan terhadap kandungan yang memaparkan unsur ganas, seksual atau berkaitan bunuh diri di platform hiburan seperti Netflix, Disney+ dan seumpamanya perlu diperketat. Pada masa yang sama, ibu bapa atau penjaga wajar memantau dan membimbing anak-anak ketika memilih bahan tontonan yang sesuai dengan umur mereka.

3. Ibu bapa dan masyarakat perlu mengambil peluang ini untuk mengukuhkan interaksi sosial sebenar

Apabila akses kepada media sosial dihadkan, anak-anak akan mempunyai lebih banyak masa yang perlu diisi dengan aktiviti bermanfaat. Dalam situasi hari ini, ramai ibu bapa, terutamanya golongan muda, berdepan tekanan ekonomi dan kekangan masa, menyebabkan aspek pemantauan digital terhadap anak-anak sering terabai.

Ibu bapa perlu mengawal masa skrin (screen time) dengan lebih bijak, bukan sekadar mengehadkan akses media sosial, tetapi juga memantau kandungan tontonan di akaun sendiri yang turut diakses oleh anak-anak. Sikap teladan ibu bapa dalam penggunaan gajet dan media juga akan menjadi contoh utama kepada anak-anak dalam membina disiplin digital.

Pada masa yang sama, komuniti tempatan, sekolah dan institusi agama wajar bekerjasama menyediakan aktiviti sosial, sukan, seni dan kesukarelawanan sebagai ruang alternatif yang sihat. Aktiviti sebegini membantu membina ketahanan emosi, empati dan kemahiran sosial yang semakin terhakis akibat ketagihan dunia maya.

Usaha bersama antara ibu bapa, komuniti dan institusi pendidikan ini boleh menjadi pemangkin kepada kesejahteraan keluarga dan keseimbangan emosi kanak-kanak dan  remaja, sekali gus membentuk generasi yang lebih matang dalam dunia digital.

4. Kerajaan dan pihak berkuasa tempatan perlu memperbanyak ruang sosial selamat untuk kanak-kanak dan remaja

Ruang seperti pusat komuniti, taman rekreasi, ruang komunal dan perpustakaan perlu diaktifkan dengan program yang menarik, mudah diakses dan selamat untuk remaja. 

Begitu juga peranan masjid, surau dan pertubuhan komuniti yang boleh memperkenalkan pelbagai aktiviti membina seperti kem kemahiran, projek komuniti hijau, bengkel ekonomi kreatif dan pertandingan sihat.

Selain pengisian, reka bentuk ruang juga memainkan peranan penting. Reka bentuk yang fleksibel dan organik membolehkan ruang digunakan oleh pelbagai peringkat usia dan untuk pelbagai fungsi.

Contohnya di Singapura, projek seperti Kampong Chai Chee Community Hub (4) telah dirancang semula sebagai ruang intergenerasi. Taman luar, studio komuniti dan dewan serbaguna boleh digunakan untuk pelbagai aktiviti masyarakat.

Begitu juga halnya dengan inisiatif sekolah di bawah program FlexSI (5), yang membolehkan bilik darjah dan ruang umum diubah suai secara fleksibel untuk tujuan pembelajaran, aktiviti dan interaksi sosial.

Oleh itu, kami mencadangkan agar reka bentuk bagi pusat komuniti atau ruang sosial di Malaysia turut mengambil kira aspek fleksibiliti — ruang yang boleh digunakan oleh pelbagai peringkat umur, untuk pelbagai fungsi, dengan susun atur modular yang mudah diubah suai serta suasana fizikal yang menyokong keselamatan fizikal dan emosi kanak-kanak dan remaja.

Pendekatan ini bukan sahaja menjadikan ruang lebih hidup dan mesra komuniti, tetapi juga mendorong interaksi sosial yang sihat serta rasa kebersamaan antara generasi. Aktiviti sebegini membina sahsiah serta membantu mereka merasakan diri dihargai, berguna dan terlibat secara positif dalam masyarakat.

5. Kerjasama antara kerajaan, sektor swasta dan NGO perlu diperkukuh

Usaha membina ekosistem digital yang selamat memerlukan sinergi menyeluruh antara semua pihak. Dana pembangunan kanak-kanak dan remaja, kempen kesedaran digital dan program literasi siber harus diperluas, khususnya melalui sokongan agensi kerajaan dan korporat kepada NGO serta komuniti akar umbi yang dekat dengan golongan sasaran.

Wanita IKRAM Malaysia menegaskan sekali lagi bahawa keselamatan dan kesejahteraan mental kanak-kanak mesti diangkat sebagai keutamaan nasional. Kawalan teknologi perlu disertai dengan perubahan budaya di rumah, sekolah dan dalam masyarakat.

Tindakan menaikkan had umur sebagai pengguna dalam ruang digital bukan sekadar sekatan, tetapi satu peluang untuk membina semula keseimbangan hidup anak-anak kita, agar mereka membesar sebagai individu yang beradab, sihat emosi dan bijak menggunakan teknologi dengan tanggungjawab.

Pepatah Melayu lama ada menyebut, “Beranak seorang, menjaga beramai.” Membesarkan anak dalam dunia digital hari ini memerlukan kebijaksanaan kolektif dan tindakan bersama agar anak-anak kita dapat membesar dalam suasana yang sihat, beradab dan selamat, sama ada di alam nyata mahupun di alam maya.

Semoga setiap langkah kecil yang diambil hari ini menjadi permulaan kepada perubahan besar dalam melindungi anak-anak kita di alam digital dan turut membuka ruang kepada pembentukan generasi muda yang berjiwa sihat, berakhlak dan berdaya tahan menghadapi cabaran masa depan.

Dikeluarkan oleh:

Pn. Nurhakimah Mohamud
Timbalan Ketua Wanita IKRAM Malaysia
JK Advokasi Kanak-kanak

 

Rujukan:

1. https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2025/10/17/jemaah-menteri-bincang-naikkan-had-umur-minimum-pengguna-media-sosial-ke-16-tahun

2. www.nature.com/articles/s41467-022-29296-3

3. www.dak.de/dak/unternehmen/reporte-forschung/studie-mediensucht-2022-23_33242#rtf-anchor-zentrale-ergebnisse-aus-der-mediensucht-studie 

4. www.sla.gov.sg/news/press-release/adaptive-repurpose-of-former-kampong-chai-chee-community-centre-to-serve-evolving-needs-in-the-community/ 

5. www.moe.gov.sg/news/press-releases/20240819-enhancing-school-infrastructure-to-support-the-future-of-learning

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia