Pekerja ‘Berhenti Senyap-senyap’: Wajar Atau Tidak?

Pekerja ‘Berhenti Senyap-senyap’: Wajar Atau Tidak? | IKRAM

Pada pertengahan bulan Ogos 2022 yang lalu, ketika saya sedang menatal halaman ‘Untuk Anda’ dalam aplikasi TikTok, hadirlah sebuah video yang menerangkan konsep yang sedang tular ketika itu dalam kalangan pekerja di Amerika Syarikat (AS), iaitu konsep ‘quiet quitting’.

Bagi memendekkan cerita, ‘quiet quitting’ atau diterjemahkan secara harfiah sebagai ‘berhenti senyap-senyap’ merupakan suatu konsep yang menerangkan tindakan seseorang pekerja yang hanya melakukan kerja-kerja dalam skop pekerjaannya sahaja dan hanya pada masa bekerja yang ditetapkan sahaja; tidak lebih daripada itu.

Pasti ada yang keliru, mana pula datangnya konsep ‘berhenti kerja’ daripada amalan ‘berhenti senyap-senyap’ ini?

Apa Yang Terjadi?

Yang terjadi sebenarnya ialah seseorang yang ‘berhenti senyap-senyap’ sebenarnya bukanlah betul-betul melakukan permohonan berhenti kerja sama ada secara aktif atau pasif-agresif.

Seperti yang disimpulkan secara ringkas dalam sebuah video TikTok lain pula, konsep ‘berhenti senyap-senyap’ ini bermaksud seseorang pekerja itu berhenti daripada meneruskan mentaliti bekerja terlampau keras (hustle culture mentality) kerana akhirnya, sesuatu pekerjaan itu hanyalah kerja. 

Dengan kata lain, ‘berhenti senyap-senyap’ ini hanyalah suatu gerakan senyap para pekerja kelas pertengahan yang kian tular di AS untuk tidak lagi tunduk pada tuntutan para majikan untuk melakukan sesuatu yang melebihi skop pekerjaannya dan pada luar waktu bekerja.

Malah, sebenarnya ‘berhenti senyap-senyap’ ini hanyalah suatu ungkapan lain bagi menggantikan konsep ‘bekerja dengan sepatutnya’ sahaja. 

Namun begitu, kini kita hidup pada zaman yang amat memalukan dan memilukan apabila konsep asas yang melibatkan hak-hak buruh boleh dianggap sebagai suatu konsep yang boleh tular dalam media sosial dan menjadi perbincangan penting dalam media utama seluruh dunia. 

Kita fikirkan secara logik sahajalah; jika kita mahukan seseorang itu balik lebih lewat daripada waktu tamat kerjanya, kita mestilah bayar mereka pampasan lebih masa (OT), bukan?

Tapi, tidak bagi warga pekerja di AS. Mereka yang menuntut hak yang seasas ini dianggap mahu ‘berhenti senyap-senyap’. Nampak gayanya, pekerja yang menuntut hak buruh kini dianggap sebagai pekerja yang tidak lagi dapat mencari ‘erti’ dalam pekerjaannya.

Siapa Yang Tidak Suka?

Wah, siapa yang kata orang yang ‘berhenti senyap-senyap’ ini tidak suka pada pekerjaannya kerana tidak lagi dapat mendalami makna pekerjaannya? Sudah tentulah Allison Schrager, salah seorang kolumnis pendapat di Bloomberg yang menulis tentang ekonomi pula itu!

Beliau dengan bangganya memulakan karangan pendapatnya dengan mengatakan bahawa sesiapa yang mencari kerja dengan menjadikan pencarian makna dalam kerjaya sebagai matlamat utama akan meletakkan dirinya dalam kegagalan. 

Anda boleh menilai sendiri daripada artikelnya yang panjang lebar itu betapa rabunnya beliau terhadap konsep ini. Beliau bercerita panjang lebar tentang arah aliran (trend) anak muda zaman sekarang yang lebih mementingkan pengertian dalam sesebuah kerjaya yang diceburi lebih daripada aspek pendapatan. 

Selain daripada itu, beliau turut mengkritik dengan panjang lebar bahawa obsesi terhadap mencari pengertian dalam pekerjaan merupakan sesuatu yang sia-sia dan tidak semestinya akan membuahkan hasil yang memuaskan untuk bekerja. 

Mahu tahu apa kepuasan pekerja yang dimaksudkan olehnya? Menurutnya sendiri, dalam artikel yang ditulisnya sendiri, pekerja yang melaporkan kepuasan yang tinggi ialah mereka yang melakukan kerja mereka dengan baik, mengaplikasikan kemahiran mereka dan mereka dibayar sewajarnya.

Perlu rasanya saya ulang sekali lagi, beliau sendiri berkata, pekerja yang berpuas hati dengan kerjayanya ialah mereka yang dibayar sewajarnya! Beliau sendiri mengakui keabsahan perkara ini. 

‘Berhenti Senyap-senyap’ Wajar

Maka sebab itulah, memetik kata-kata Ed Zitron dalam satu temu bual dengan National Public Radio (NPR) di AS, “Jika anda mahu pekerja anda melakukan kerja sebanyak-banyaknya (above and beyond), beri pampasan secukupnya kepada mereka. Beri mereka $200. Bayar mereka lebih jika mahu mereka kerja lebih.”

Malah, sebenarnya ungkapan ‘berhenti senyap-senyap’ itu sendiri merupakan suatu ungkapan dengan kaedah tatanama yang salah (misnomer) kerana hakikatnya, amalan ‘berhenti senyap-senyap’ ini hanyalah suatu tindakan wajar pekerja yang menuntut agar mereka tidak dibebankan dengan tugasan melebihi tangga gaji mereka.

Dalam temu bual yang sama dengan NPR, Ed Zitron yang turut menerbitkan surat berita (newsletter) “Where’s Your Ed At” itu berkata bahawa penggunaan ungkapan ‘berhenti senyap-senyap’ ini adalah tidak lain tidak bukan lahir daripada budaya syarikat yang gemar mengeksploitasi pekerja tanpa memberikan mereka pampasan sewajarnya. 

Di Malaysia juga, kita dapati bidang yang banyak menggunakan pekerja dengan tangga gaji paras minimum seperti bidang penyediaan makanan (F&B) sudah ketandusan pekerja.

Justeru pada tahun 2022 ini, kita sepatutnya sudah boleh merenung betapa pekerja hari ini makin celik dengan hak-hak mereka.

Tambahan lagi, tuntutan pekerja untuk diberi pampasan secukupnya atas kerja yang mereka lakukan tidak sepatutnya dipandang enteng, hatta di Malaysia sekali pun. 

Kita sepatutnya malu dengan syarikat luar negara yang membuka francais di Malaysia membayar pekerja tahap terbawah mereka dengan gaji yang lebih tinggi daripada gaji minimum yang ditetapkan, sedangkan syarikat tempatan masih berdolak-dalik untuk menaikkan gaji pekerja mereka mengikut peraturan baharu yang ditetapkan. 

Akhirnya, mesej yang ingin dibawa daripada gerakan ‘berhenti senyap-senyap’ ini mudah sahaja sebenarnya; jika mahu mereka bekerja lebih, bayar mereka lebih. Itu sahaja. 

Wan Salman Wan Sallam ialah aktivis Pertubuhan IKRAM Malaysia.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia