Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) memandang serius ucapan Datuk Seri Azalina Othman yang dilaporkan berkata bahawa Perdana Menteri seharusnya melantik Peguam Negara dalam kalangan ‘orang dia’ untuk memudahkan segala urusan.
Ucapan itu amat tidak wajar dikeluarkan oleh mana-mana pemimpin, apatah lagi beliau adalah Penasihat Undang-undang Perdana Menteri.
Malaysia adalah sebuah negara demokrasi yang mengamalkan prinsip pengasingan kuasa antara cabang-cabang eksekutif, legislatif dan kehakiman.
Prinsip ini penting untuk mengelakkan penyalahgunaan kuasa di samping merealisasikan prinsip semak dan imbang.
Setiap cabang berkuasa untuk ‘menyemak’ dan ‘menyeimbangkan’ kuasa, dan pelaksanaan kuasa masing-masing berdasarkan peruntukan Perlembagaan.
Peguam Negara harus berkhidmat untuk kepentingan Negara, bukan untuk kepentingan mana-mana parti atau individu.
Sehubungan itu, IKRAM menggesa pemimpin di semua peringkat, khususnya pemimpin politik agar menghormati dan menjunjung tinggi prinsip pengasingan kuasa dan falsafah kedaulatan undang-undang. Sebarang gesaan untuk melanggar prinsip ini hendaklah dinasihati dan dihalang.
Mudah-mudahan negara ini dapat mencapai keadilan, kebenaran dan kemakmuran untuk semua.
Haji Badlishah Sham Baharin
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia