PBAKL 2024: Membaca Mempelbagai Jambatan Ilmu

PBAKL 2024: Membaca Mempelbagai Jambatan Ilmu | IKRAM

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 baru sahaja melabuhkan tirainya pada Ahad yang lalu. 

Seperti biasa, kehadirannya yang menggamit jutaan pengunjung meninggalkan seribu satu kenangan bermakna kepada semua, baik peminat buku, pencinta ilmu, peniaga, pempengaruh media sosial, penganjur, pemandu e-hailing mahupun mereka yang sampai ke situ tanpa sengaja atau kerana terpaksa. 

PBAKL yang dilangsungkan di Pusat Dagangan Dunia KL dari 24 Mei hingga 2 Jun 2024 itu merupakan siri pesta buku tahunan terbesar di Malaysia yang sudah pun mencapai bilangan ke-41 kali.

Untuk rekod, acara yang sering diadakan pada musim cuti sekolah ini berjaya menghimpunkan lebih 1.8 juta pengunjung. Pada tahun ini, PBAKL diadakan secara hibrid iaitu bersemuka dan dalam talian dalam usaha memartabatkan buku sebagai sumber ilmu pengetahuan

Sudah pastilah PBAKL 2024 ini sesuatu yang dinanti-nantikan oleh seluruh peminat buku dan pembaca tegar kerana ia dapat menyegarkan kembali cinta terhadap buku dan sastera.

Pun begitu pada masa kini, pameran dan jualan yang diadakan bukan sahaja berbentuk buku bacaan, tetapi juga termasuk pelbagai alat media sosial, peranti gajet, audio visual dan lain-lain.

Namun mesejnya kekal, membaca jambatan ilmu. Biarpun formatnya sudah tidak seratus peratus membaca buku seperti biasa kerana mungkin sudah disertai penggunaan gajet seperti telefon bimbit, komputer riba, jam tangan pintar dan sebagainya, tambahan-tambahan seperti ini hanya mempelbagai dan mengayakan kaedah pencarian ilmu. 

Hakikatnya, apa sahaja ilmu yang ditemui, dibangunkan atau berkembang tidak pernah lari daripada elemen asasnya iaitu membaca. Setinggi mana pun teknologi penciptaan alat sama ada kenderaan, gajet ataupun robot, membaca tetap diperlukan.

Begitulah pentingnya membaca. Tidak hairanlah perintah pertama yang Allah wahyukan kepada Nabi Muhammad SAW ialah membaca.

ٱقْرَأْ بِٱسْمِ رَبِّكَ ٱلَّذِى خَلَقَ (١) خَلَقَ ٱلْإِنسَـٰنَ مِنْ عَلَقٍ (٢) ٱقْرَأْ وَرَبُّكَ ٱلْأَكْرَمُ (٣) 

ٱلَّذِى عَلَّمَ بِٱلْقَلَمِ (٤) عَلَّمَ ٱلْإِنسَـٰنَ مَا لَمْ يَعْلَمْ (٥)

“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk). Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku. Bacalah, dan Tuhanmu yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (Al-‘Alaq 1-5)

Nah, bukankah benar kata bijak pandai kita dahulu bahawa membaca itu jambatan ilmu? Ia selari pula dengan firman Allah tersebut. Bacalah dengan nama Tuhan kerana Dialah yang Maha Mencipta, Maha Mengetahui lagi Maha Pemurah.

Melalui pembacaan, Allah mengajar kita ilmu. Melalui pembacaan, kita dapat menggunakan ilmu untuk diri sendiri dan juga untuk manfaat manusia lain, haiwan, tumbuh-tumbuhan dan alam seluruhnya.

Bayangkan tanpa ilmu, bagaimana kita hendak mengetahui kejadian yang berlaku di Eropah, di Timur Tengah bahkan di sekeliling kita? Dengan ilmulah kita dapat mengetahui berita, merancang tindakan dan membantu pihak-pihak yang dalam kesusahan.

Dengan ilmu kita dapat bergerak ke sana sini, melancong dan mengerjakan haji. Dengan ilmu juga kita dapat hidup sejahtera dan mengelak bahaya. Yang paling penting, dengan ilmu jugalah kita dapat menyediakan diri untuk hidup di alam abadi. Dan segalanya bermula dengan membaca.

Tabiat membaca mesti dihidupkan di mana-mana dan pada setiap ketika. Di sekolah tiada masalah kerana ia memang tempat membaca untuk menimba ilmu. Di sekolah juga ada perpustakaan yang menjadi gedung pembacaan. 

Di rumah, hobi membaca mesti juga dipupuk dan disuburkan. Setiap rumah patut mewujudkan ruang khas berupa perpustakaan mini atau sudut-sudut yang sesuai untuk membaca. Ia tidak perlu mahal, cukup sekadar menyediakan rak-rak untuk buku atau majalah yang mudah diambil untuk dibaca.

Sama ada di dalam bilik khas, penjuru rumah atau di kawasan luar rumah yang terlindung daripada panahan mentari dan tempias hujan, terpulang kepada kreativiti masing-masing. Yang penting, wujud suasana selesa dan persekitaran yang kondusif untuk membaca. 

Carilah tempat yang jauh daripada keriuhan atau tarikan lain seperti televisyen dan sebagainya. Biarlah kita dapat membaca dengan fokus dalam keadaan hati yang lapang dan tenang, barulah timbul keseronokan membaca.

Untuk pemilihan buku atau majalah, pilihlah bahan bacaan yang berkualiti. Jika berkaitan ilmu agama, pilihlah hasil tulisan yang dikenali sahih dan tidak bercanggah dengan al-Quran dan sunah.

Kalau berkaitan kehidupan, pilihlah tajuk-tajuk umum dan sejahtera, bukan yang kontroversi dan memecahbelahkan. Satu dua karya seperti itu bukan tidak boleh dibaca langsung, tapi cukuplah sekadar untuk dijadikan iktibar dan sempadan.

Terakhir tapi tetap penting, pilihlah hasil penulisan yang baik, tepat penggunaan tatabahasanya, indah pemilihan kosa katanya, menarik langgam penceritaannya serta tidak meleret-leret pengolahan isinya.

Mudah-mudahan kita dapat mempraktikkan apa yang sering disebut, “Membetulkan yang biasa, membiasakan yang betul” dalam berbahasa.

Selamat membaca!

Hj A Ralim M Yassen
Editor

Foto: FB PBAKL

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia