Lebih 700 orang telah hadir ke program ini yang dianjurkan bersama oleh IKRAM Kawasan Sepang, Pusat Wanita Berdaya Serdang, GEMA, Sahabat Masjid Universiti Putra Malaysia (UPM) dan beberapa agensi dan NGO lain pada 4 November lalu.
Program yang berkonsepkan ‘Dari Masyarakat untuk Masyarakat’ ini telah berjaya mengumpulkan barang-barang keperluan seperti pakaian, peralatan dapur, buku, kasut, permainan kanak-kanak dan barangan lain.
“Barang-barang tersebut diberikan secara percuma kepada penduduk setempat yang hadir, khususnya golongan yang kurang berkemampuan,” ujar Nurul selaku urusetia program.
Dalam pada itu, ADN Seri Serdang yang juga Exco kerajaan Selangor, YB Dr Siti Mariah Mahmud telah berkesempatan menyampaikan sumbangan sempena Deepavali kepada mereka yang memerlukan.
Para pengunjung memilih barang-barang yang diperlukan dan YDP IKRAM Sepang, Hj Qhalid bersama Dr Siti Mariah
“Barisan pengunjung yang beratur untuk membeli barangan basah dengan harga murah lebih ramai daripada pengunjung yang beratur untuk dapatkan barangan percuma,” kata Marihah Hassan daripada Wanita IKRAM Sepang.
Keadaan ini jelasnya, menunjukkan rakyat amat perlu makanan yang dijual murah ini berbanding pakaian, beg, buku-buku, khidmat nasihat kesihatan percuma.
“Seawal pagi lagi, telah ramai pengunjung beratur panjang untuk membeli barangan basah yang dijual di pasar Jualan Jimat Harapan Rakyat (JJHR) yang mana pembeli berpeluang membeli barangan basah seperti ayam, ikan dan udang dengan harga yang jauh lebih murah dari pasaran biasa,” jelas Nurul lagi.
Beliau berkata, antara aktiviti yang dijalankan termasuklah pertandingan mewarna bagi kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah, cabutan bertuah, pemeriksaan kesihatan percuma oleh IKRAM Health dengan kerjasama para pelajar kedoktoran dari CUCMS dan juga rundingan cara pemakanan sihat.
Pertandingan mewarna dan pemeriksaan kesihatan
“Program seperti ini sangat bagus diadakan kerana dapat membantu golongan yang kurang berkemampuan dan inilah pertama kali program seumpama ini diadakan di sini,” menurut Nur Aina, 32, salah seorang pengunjung yang hadir.
Selain itu, program ini turut membuka ruang dan peluang kepada para sukarelawan khususnya belia untuk turut serta membantu proses agihan dan penyediaan tempat.
“Program ini sangat bermanfaat untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan dan dalam masa yang sama sebagai salah seorang sukarelawan yang terlibat,” kata sukarelawan daripada Gerakan Pengguna Siswa, UPM Nor Faiqah Marol Hizam, 21, sambil menzahirkan rasa seronoknya kerana dapat membantu orang lain.
Dalam perkembangan berkaitan, Yang Di-Pertua IKRAM Kawasan Sepang, Hj Mohd Qhaleed Ab Hafidz menggambarkan sambutan penduduk setempat sangat luar biasa dan program bersama masyarakat seperti ini sangat banyak kebaikannya untuk penduduk setempat.
“IKRAM mengucapkan tahniah kepada semua yang terlibat menyumbang barangan dan tenaga dan moga kita boleh berjumpa lagi di program lain pada masa akan datang,” kata beliau lagi.
Demonstrasi masakan oleh Chef Selebriti Jaafar Onn, turut memeriahkan suasana ditambah lagi dengan program-program yang lain telah berjaya menarik pelbagai lapisan masyarakat setempat tidak kira muda atau tua untuk terlibat sama.