Panggilan Senyap: Bahaya dan Cara Menanganinya

Telefon pintar

Telefon pintar hari ini bukan sekadar alat komunikasi, malah menjadi nadi urusan harian masyarakat moden. Namun di sebalik kemudahan ini, muncul satu bentuk gangguan yang semakin kerap dialami pengguna iaitu panggilan senyap.

Situasi telefon berdering tetapi apabila dijawab, tiada suara di hujung talian, bukan lagi perkara asing. Apa yang membimbangkan, gangguan ini dilihat semakin berleluasa dan berpotensi mendatangkan risiko yang lebih besar jika tidak ditangani dengan serius.

Walaupun ada yang menganggapnya sebagai masalah kecil atau kesilapan teknikal, hakikatnya panggilan senyap mempunyai implikasi terhadap keselamatan, privasi dan kesejahteraan emosi pengguna.

Apa itu panggilan senyap? 

Panggilan senyap merujuk kepada panggilan telefon yang diterima tanpa sebarang komunikasi lisan daripada pemanggil. Lazimnya, panggilan ini tamat dalam tempoh beberapa saat selepas dijawab atau hanya kedengaran bunyi latar yang samar.

Fenomena ini sering dikaitkan dengan penggunaan sistem panggilan automatik yang digunakan oleh pihak tertentu seperti pusat panggilan, syarikat pemasaran dan dalam kes lebih serius, sindiket penipuan.

Sistem ini akan mendail nombor secara rawak untuk mengenal pasti nombor yang aktif. Sekiranya tiada ejen tersedia atau tujuan hanya untuk pengesahan nombor, panggilan akan dibiarkan senyap sebelum ditamatkan.

Dalam era digital, maklumat seperti nombor telefon aktif mempunyai nilai yang tinggi dan boleh dieksploitasi untuk pelbagai tujuan tidak bertanggungjawab.

Bahaya panggilan senyap

Bahaya utama panggilan senyap terletak pada apa yang berlaku selepas panggilan tersebut, bukan semasa ia berlaku. Apabila nombor seseorang dikenal pasti sebagai aktif, ia berisiko dimasukkan ke dalam pangkalan data untuk panggilan spam atau penipuan pada masa akan datang.

Antara risiko yang sering dikaitkan ialah penipuan penyamaran sebagai pihak berkuasa, institusi kewangan atau syarikat telekomunikasi. Mangsa biasanya dihubungi semula dengan naratif yang meyakinkan sehingga terdorong untuk memberikan maklumat peribadi atau membuat transaksi kewangan.

Selain itu, panggilan senyap juga memberi kesan psikologi kepada pengguna. Panggilan berulang tanpa tujuan jelas boleh menimbulkan rasa cemas, curiga dan tidak selamat. Terutamanya dalam kalangan warga emas dan golongan kurang celik teknologi.

Dari sudut keselamatan, terdapat kebimbangan bahawa panggilan sebegini boleh digunakan untuk mengesan rutin harian pengguna, termasuk waktu mereka berada di rumah atau tahap respons terhadap panggilan telefon.

Cara menangani panggilan senyap

Beberapa langkah pencegahan boleh diambil oleh pengguna bagi mengurangkan risiko gangguan dan ancaman daripada panggilan senyap.

Pengguna dinasihatkan agar tidak sewenang-wenangnya menjawab panggilan daripada nombor tidak dikenali, terutamanya yang berulang kali membuat panggilan senyap. Sekiranya panggilan itu penting, pemanggil lazimnya akan meninggalkan mesej atau menghubungi semula dengan tujuan yang jelas.

Penggunaan ciri sekatan panggilan dan aplikasi pengesan spam juga disarankan. Banyak peranti pintar kini menyediakan fungsi untuk menyaring dan menyekat nombor yang dikenal pasti sebagai mencurigakan.

Selain itu, pengguna tidak digalakkan untuk memberi sebarang maklum balas, sama ada melalui suara atau menekan butang tertentu, sekiranya panggilan tiba-tiba bersuara selepas tempoh senyap. Tindakan ini boleh mengesahkan lagi status nombor sebagai aktif.

Setiap panggilan mencurigakan juga wajar dilaporkan kepada penyedia perkhidmatan telekomunikasi atau saluran aduan rasmi bagi membantu pemantauan dan tindakan lanjut.

Harapan kepada pihak berkuasa

Isu panggilan senyap memerlukan pendekatan menyeluruh daripada melibatkan pihak berkuasa, penyedia perkhidmatan dan masyarakat. Penguatkuasaan terhadap penyalahgunaan sistem panggilan automatik perlu diperkasakan sejajar dengan perkembangan teknologi semasa.

Selain itu, kempen kesedaran awam harus diperluaskan agar masyarakat memahami taktik yang digunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab serta langkah perlindungan yang boleh diambil.

Penyedia perkhidmatan pula diharapkan dapat meningkatkan keupayaan penapisan panggilan spam secara proaktif, bukan hanya bergantung kepada laporan pengguna.

Jangan pandang ringan!

Panggilan senyap mungkin kelihatan seperti gangguan kecil, namun implikasinya tidak boleh dipandang ringan. Dalam dunia yang semakin bergantung kepada teknologi komunikasi, keselamatan digital perlu diberi keutamaan setara dengan keselamatan fizikal.

Kesedaran pengguna, disokong oleh penguatkuasaan berkesan dan teknologi yang mantap, adalah kunci utama dalam membendung isu ini. Dalam banyak keadaan, senyap bukanlah tanda selamat akan tetapi panggilan senyap wajar dilihat sebagai amaran awal yang perlu diberi perhatian serius.

Ts. Mohd Fitri Edros
Ketua Bahagian Infrastruktur ICT
Pusat Pengurusan & Pembangunan Digital
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia