Cuba para suami hadiahkan aksesori perhiasan jenama Pandora kepada para isteri dan lihat reaksi mereka. Pastinya senyum si isteri lebar sepanjang hari dan sayangnya semakin meninggi.
Namun, baru-baru ini perkataan ‘Pandora’ telah menjadi subjek yang dibenci dan digeruni oleh sebilangan besar pemimpin dan tokoh dunia.
Sejak beberapa hari lepas, Pandora Papers telah menjadi bualan hangat di seluruh pelusuk dunia. Pandora Papers merujuk kepada pendedahan aset yang tidak didedahkan atau diisytiharkan oleh pemimpin, selebriti, hartawan dan ahli politik di seluruh dunia.
Pendedahan eksklusif ini adalah inisiatif International Consortium Investigative Journalist (ICIJ) oleh seramai 600 wartawan dari 117 buah negara. Sebanyak hampir 12 juta dokumen berjaya dikumpulkan melibatkan bukti bertulis, gambar-gambar, rangkaian e-mel dan bukti kira-kira dengan saiz digital sebesar 2.94 terabait.
Siapakah watak-watak yang didedahkan oleh ICIJ dalam Pandora Papers yang disebutkan ini? Mereka adalah 12 orang pemimpin negara (raja, amir dan presiden), 11 orang bekas pemimpin negara, empat orang Perdana Menteri, 12 orang bekas perdana menteri, seorang pemimpin badan dunia, 19 orang menteri dan mantan menteri, lima orang tokoh industri perbankan serta lima orang tokoh industri media.
Selain itu, ia turut melibatkan 10 orang tokoh perundangan, 27 orang politikus, lima keluarga diraja, seorang agamawan, 67 ahli perniagaan dan 30 orang lagi dari pelbagai latar belakang (selebriti, ahli sukan, peguam dan keluarga pemimpin dunia). Ini tidak termasuk penjawat tinggi kerajaan yang dianggarkan melibatkan seramai 700 orang.
Keseluruhan aset yang terlibat dianggarkan bernilai sekitar USD32 trilion. Bayangkan betapa banyak manfaat yang boleh diperolehi oleh penduduk dunia daripada kutipan cukai ke atas aset yang sedemikian.
Mari kita lihat lima skandal terbesar yang didedahkan oleh ICIJ:
1. Raja Abdullah II (Raja Jordan)
Berusia 59 tahun, beliau menaiki takhta setelah ayahnya, Raja Hussein mangkat pada tahun 1999. Beliau dilaporkan memiliki aset hartanah bernilai USD106 juta yang tidak diisytiharkan di Malibu, Washington dan London. Hartanah beliau yang paling mahal bernilai USD23 juta di California. Walau bagaimanapun, Raja Abdullah II enggan mengulas lebih lanjut tentang pendedahan ini.
2. Ilham Aliyev (Presiden Azerbaijan)
Berusia 59 tahun, beliau merupakan presiden Azerbaijan yang keempat dan mula bertugas sejak 2003 setelah kematian presiden yang ketiga iaitu bapa beliau, Heydar Aliyev. Beliau dan keluarganya dilaporkan telah mengadakan transaksi jual beli hartanah di United Kingdom dengan nilai hampir GBP400 juta.
Salah satu hartanah tersebut telah dijual kepada Permaisuri Great Britain dengan nilai GBP67 juta. Ilham juga enggan mengulas lebih lanjut berkaitan pendedahan skandal ini.
3. Andrej Babis (Perdana Menteri Republik Czech)
Berusia 67 tahun, beliau mula dilantik menjadi Perdana Menteri pada tahun 2017. Sejak 2014, beliau pernah dilantik menjadi Menteri Kewangan dan seterusnya Timbalan Perdana Menteri Republik Czech.
Beliau dilaporkan telah melakukan transaksi sejumlah USD22 juta melalui syarikat luar pesisir (offshore company) untuk membeli hartanah di French Riviera pada tahun 2009. Menurut agensi berita Bloomberg, jumlah keseluruhan aset beliau mencecah USD3.4 bilion.
4. Uhuru Kenyatta (Presiden Kenya)
Berusia 59 tahun, beliau telah dilantik menjadi presiden Kenya yang keempat pada tahun 2013. Beliau juga merupakan anak kepada presiden Kenya yang pertama, Jomo Kenyatta. Beliau bersama adik beradik dan ibunya dilaporkan melakukan pelaburan melalui syarikat pesisir luar bernilai USD30 juta.
Mereka telah membeli aset di Panama, British Virgin Islands dan United Kingdom. Keseluruhan aset beliau dianggarkan bernilai USD500 juta berbanding pendapatan penduduk Kenya yang hanyalah USD8,000 setahun sahaja.
5. Parti Konservatif (Britain)
Parti Konservatif dilaporkan telah menerima sumbangan bernilai GBP1.8 juta sejak 2012 daripada isteri seorang bekas menteri Russia, Lubov Chernukhin.
Sumbangan ini diklasifikasikan sebagai sogokan atau rasuah kerana Chernukhin berjaya merapati tokoh-tokoh parti tersebut seperti perlawanan tenis bersama Boris Johnson (Perdana Menteri Britain) dan makan malam bersama Theresa May (bekas Perdana Menteri Britain).
Selain itu, parti pemerintah ini juga telah menerima sumbangan sebanyak GBP525,000 daripada Mohamed Amersi sejak 2018, iaitu individu yang terlibat dengan skandal rasuah sehingga menyebabkan sebuah syarikat telekomunikasi disaman sebanyak USD965 juta.
Kesemua transaksi ini tidak dilaporkan dan terlepas daripada audit serta bayaran cukai yang sepatutnya dikenakan ke atas mereka.
Pandora Papers juga telah mendedahkan beberapa individu penting dari Malaysia yang terlibat dengan skandal kewangan. Siapakah dan apakah butiran skandal tersebut? Insya-Allah, ia akan dikupas dalam tulisan seterusnya.
Muhannad Jamil
Perunding Takaful
Aktivis IKRAM Negeri Sembilan
Penafian: Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian IKRAM.