Keterbatasan fizikal mahupun mental sering dianggap sebagai kelemahan yang merencatkan kejayaan atau menghalang potensi seseorang untuk bersaing dengan cemerlang.
Namun, hakikatnya, apabila golongan Orang Kurang Upaya (OKU) diberikan peluang, sokongan dan akses yang setara, mereka mampu membuktikan keupayaan luar biasa dan mencapai kejayaan setanding, malahan kadangkala mengatasi individu tanpa kekurangan fizikal.
Stephen Hawking merupakan nama yang tidak asing lagi di arena global. Beliau dikenali sebagai seorang ahli fizik dan kosmologi terkemuka yang berjaya menemukan teroi-teori sains yang penting termasuk misteri lubang hitam di angkasa.
Karyanya yang bertajuk A Brief History of Time menjadi salah satu karya sains popular yang berjaya memperkenalkan konsep-konsep kompleks kepada masyarakat umum dengan gaya penulisan yang mudah difahami.
Penyakit Amyotrophic Lateral Sclerosis (ALS) yang dihidapinya tidak menghalang kecemerlangan beliau walaupun berdepan dengan kesukaran untuk berkomunikasi secara normal.
Stephen berkomunikasi melalui pergerakan satu jari atau mata sahaja melalui perantaraan komputer yang dilengkapi dengan sistem suara sintetik untuk berkomunikasi serta berkongsi penemuan ilmiahnya.
Di Malaysia, Profesor Dr. Ismail Salleh adalah seorang tokoh yang tidak kurang hebatnya. Sebagai seorang pakar ekonomi, Profesor Dr. Ismail Salleh telah memberikan sumbangan besar dalam bidang pembangunan ekonomi dan dasar sosial di negara ini.
Beliau dikenali sebagai seorang intelektual yang lantang menyuarakan kepentingan inklusiviti dan keadilan sosial, terutama dalam memastikan golongan OKU tidak dipinggirkan dalam arus pembangunan negara.
Pelantikan beliau sebagai Senator adalah satu pengiktirafan yang telah memberikan peluang kepadanya untuk membawa isu-isu berkaitan pendidikan, peluang pekerjaan dan kemudahan infrastruktur yang lebih mesra OKU ke peringkat tertinggi hingga berjaya mendorong perubahan dasar yang lebih inklusif dan adil.
Kedua-dua tokoh ini dan ramai lagi individu OKU cemerlang membuktikan bahawa kekurangan fizikal bukan penghalang untuk memberikan sumbangan yang besar kepada masyarakat, malah menjadi simbol keupayaan insan dalam menghadapi cabaran dengan penuh keazaman dan keyakinan.
Dengan peluang setara dan sokongan mencukupi, mereka bukan sahaja mampu setanding dengan individu lain, bahkan berupaya mencapai kejayaan gemilang, memperlihatkan kekuatan, semangat juang serta ketabahan yang luar biasa.
Namun, persoalan utama yang perlu direnungkan ialah sejauh manakah ruang dan peluang yang diberikan kepada golongan OKU untuk menjalani kehidupan secara mandiri dan setara tanpa diskriminasi.
Adakah masyarakat kita benar-benar menerima mereka sebagai sebahagian daripada komuniti tanpa menyebabkan rasa terasing atau terpinggir?
Dengan kata lain, sejauh mana kita sebagai masyarakat telah cukup peka dan bersedia untuk menyediakan sokongan serta akses yang mampu memudahkan kehidupan mereka?
Misalnya, sekiranya ada OKU berkerusi roda yang hendak melintas jalan, adakah para pemandu mudah berhenti bagi memberi laluan kepada individu OKU tersebut atau perlu disuruh untuk berhenti memberi laluan?
Walaupun tindakan ini kelihatan remeh, ia mencerminkan tahap empati, keprihatinan dan kesedaran sosial yang wajar ada dalam diri masyarakat yang bertanggungjawab.
Namun, realitinya masih jauh dari ideal. Kajian yang diterbitkan oleh Disability and Health Journal pada tahun 2020 mendedahkan bahawa golongan OKU terus menghadapi kadar keterasingan sosial, rasa kesepian dan kekurangan sokongan yang jauh lebih tinggi berbanding individu tanpa kecacatan.
Statistik ini menggambarkan cabaran besar yang dihadapi komuniti OKU dalam mendapatkan penerimaan, sokongan dan hak yang sewajarnya dalam masyarakat.
Golongan OKU sering kali perlu berusaha lebih keras untuk membuktikan kemampuan mereka kerana mereka bermula dengan kekurangan yang telah ditetapkan oleh persepsi masyarakat. Hakikatnya, bakat tidak mengenal saiz, bentuk atau keadaan fizikal.
Dengan kelayakan dan peluang yang sama rata, mereka boleh menjadi pemimpin yang hebat dan merintis perubahan. Apa yang diperlukan hanyalah peluang yang adil untuk membuktikan keupayaan sebenar mereka.
Malaysia meraikan Hari OKU pada 3 Disember setiap tahun sebagai usaha untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan menyokong golongan ini.
Namun sambutan selama satu hari sahaja tidak memadai untuk menghapuskan stigma negatif yang telah lama berakar. Perubahan paradigma memerlukan usaha kolektif yang berterusan daripada semua lapisan masyarakat.
Antara cara terbaik untuk membawa perubahan positif ialah dengan memperkasakan golongan OKU agar mereka dapat menerima dan menghargai identiti diri mereka.
Usaha ini melibatkan penyediaan akses kepada pendidikan, pekerjaan dan kemudahan awam yang mesra OKU sehingga mereka dapat mandiri dengan mudah. Selain itu, masyarakat juga perlu dididik untuk memahami dan menghormati hak golongan ini.
Dalam konteks pendidikan khususnya, golongan OKU sering berdepan cabaran yang memerlukan perhatian serius, khususnya dalam memastikan keperluan unik mereka dipenuhi. Dengan pelbagai kategori kelainan upaya yang wujud, setiap individu memerlukan sokongan khusus yang berbeza.
Peralihan dari sekolah ke universiti, misalnya, adalah tempoh mencabar kerana mereka perlu menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu yang menuntut tahap berdikari yang lebih tinggi.
Justeru, inisiatif seperti penubuhan Unit Perkhidmatan OKU di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) merupakan usaha yang signifikan dalam memberdayakan pelajar OKU.
Pusat ini menyediakan sokongan khusus kepada mahasiswa OKU, termasuk kemudahan pembelajaran yang mesra OKU dan program penyesuaian sosial yang membolehkan mereka mengharungi cabaran pendidikan tinggi dengan lebih yakin dan berdaya saing.
Masalah aksesibiliti, diskriminasi dan penerimaan sosial sering menjadi cabaran utama bagi golongan OKU, memerlukan langkah penyelesaian yang lebih tersusun dan sistematik. Dalam hal ini, syarat kemasukan ke institusi pengajian tinggi (IPT) wajar disemak semula agar selaras dengan prinsip inklusiviti dan bebas diskriminasi.
Sebagai contoh, syarat tambahan yang mengehadkan pengambilan golongan OKU fizikal dalam bidang tertentu seperti undang-undang atau teknologi maklumat perlu dilihat semula. Kursus-kursus tersebut tidak memerlukan keupayaan fizikal yang luar biasa dan seharusnya terbuka kepada semua individu yang memenuhi kelayakan akademik.
Selain itu, pelaksanaan Akta Orang Kurang Upaya 2008 (Akta 685) harus diperkuat dengan pemantauan berterusan untuk memastikan semua IPT melaksanakan prinsip kesaksamaan sebagaimana yang telah digariskan.
Selain pemansuhan syarat kemasukan yang bersifat diskriminasi, pembangunan dan penambahbaikan prasarana mesra OKU di IPT amat penting.
Penyediaan kemudahan seperti tandas khas, laluan bebas halangan, lif mesra OKU serta papan tanda yang mudah difahami adalah langkah asas yang mampu memudahkan pergerakan mereka.
Malah, ruang pembelajaran juga perlu direka bentuk secara inklusif dengan susun atur perabot dan teknologi yang memudahkan penyertaan aktif pelajar OKU.
Di samping itu, sistem sokongan akademik harus dikukuhkan dengan menyediakan bahan pembelajaran dalam format yang pelbagai seperti Braille, teks digital dan rakaman audio. Penilaian akademik juga wajar bersifat fleksibel, contohnya melalui penambahan masa, kaedah penilaian alternatif atau penggunaan teknologi bantuan.
Latihan khusus untuk tenaga pengajar dan staf IPT juga diperlukan supaya mereka lebih memahami keperluan pelajar OKU dan dapat menyediakan pengalaman pembelajaran yang lebih adil dan inklusif.
Dalam konteks pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET), langkah strategik perlu diambil untuk memastikan akses golongan OKU ke bidang ini tidak terhalang.
Kerangka pendidikan TVET yang inklusif perlu dibangunkan dengan kerjasama industri bagi memastikan kursus yang ditawarkan relevan dengan keperluan pasaran kerja.
Selain itu, kempen kesedaran harus dijalankan untuk menarik minat golongan OKU, khususnya mereka yang kurang terdedah kepada potensi bidang ini.
Isu penerimaan sosial juga tidak boleh diabaikan. Pelajar OKU sering menghadapi kesukaran untuk diterima dalam kerja berkumpulan akibat stigma atau salah tanggapan terhadap kemampuan mereka.
Oleh itu, usaha mendidik masyarakat tentang keupayaan sebenar golongan OKU perlu dipergiat. Kempen advokasi dan kesedaran dapat membantu memupuk empati serta menggalakkan penerimaan yang lebih inklusif dalam kalangan masyarakat.
Langkah-langkah ini bukan sahaja bertujuan memperbaiki pengalaman pendidikan golongan OKU, tetapi juga untuk memastikan mereka dapat menjalani kehidupan yang bermaruah dan menyumbang kepada masyarakat secara bermakna.
Golongan OKU bukan sekadar penerima bantuan kebajikan, tetapi individu yang memiliki potensi besar untuk menjadi aset penting dalam pembangunan negara.
Melalui pendekatan yang holistik, mereka boleh diberdayakan untuk menikmati peluang kehidupan berkualiti setaraf individu lain.
Dengan sokongan berterusan dalam pendidikan, pekerjaan dan kemudahan asas, golongan OKU mampu mencapai potensi penuh mereka serta memainkan peranan aktif dalam kemajuan negara.
Basmin Maarof
Pegawai Jabatan Komunikasi Korporat
Pertubuhan IKRAM Malaysia