Nuzul Quran: Titik Tolak Mengangkat Martabat Wanita

Terlahir sebagai wanita pada zaman Arab jahiliah adalah mimpi ngeri yang begitu menakutkan. Bayangkan anda menyaksikan anak perempuan sendiri ditanam ketika masih kecil, dipandang sebelah mata, dinafikan hak dalam harta, perkahwinan, sosial dan banyak lagi aspek lainnya dalam kehidupan. 

Turunnya wahyu al-Quran ke atas Baginda Nabi Muhammad SAW adalah sebuah titik tolak kepada kehidupan yang lebih baik bagi masyarakat arab, terutama para wanita. 

Menghayati semangat Nuzul Quran pada tahun ini, mari kita renungkan semula beberapa ayat al-Quran yang mengangkat martabat wanita dan mendorong semangat wanita untuk turut sama mengejar pahala dan peluang amal kebaikan seiring dengan lelaki.

Penghargaan al-Quran terhadap suara wanita

Dalam al-Quran, terdapat sebuah surah yang dimulakan dengan ayat yang begitu menyentuh hati para wanita. Surah tersebut dinamakan Al-Mujadalah. Firman Allah SWT (maksudnya):

“Sesungguhnya Allah telah mendengar (dan memperkenankan) aduan perempuan yang bersoal jawab denganmu (wahai Muhammad) mengenai suaminya, sambil ia berdoa merayu kepada Allah (mengenai perkara yang menyusahkannya), sedang Allah bersedia mendengar perbincangan kamu berdua. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Al-Mujadalah:1)

Dalam ayat ini, Allah Azzawajalla menyatakan bahwa Dia mendengar keluhan seorang wanita, Khaulah binti Tsa’labah yang mengadu kepada Nabi SAW perihal perilaku “zihar” oleh suaminya.

Ketika Nabi SAW berdiam diri dan belum mampu memberikan jawapan, Allah SWT sendiri menjawab dengan turunnya ayat yang menetapkan kifarah (denda) yang perlu ditunaikan atas kesalahan suaminya itu.

Meraikan hak wanita dalam urusan harta dan pewarisan

Antara penindasan terhadap hak wanita yang ketara pada zaman jahiliah ialah berkenaan kepemilikan harta dan pewarisan. Lebih keji lagi, wanita dianggap sebagai objek yang boleh diwariskan ketika suaminya meninggal.

Kezaliman ini akhirnya terhapus dengan turunnya beberapa ayat al-Quran tentang wanita yang berhak menerima harta warisan mengikut ketentuan faraid (An-Nisa’: 11). Al-Quran juga mengakui hak bahagian harta wanita yang tidak boleh diambil sewenang-wenang. Firman Allah SWT (maksudnya):

Wahai orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mewarisi perempuan dengan jalan paksa. Janganlah kamu menyusahkan mereka kerana hendak mengambil kembali sebahagian daripada apa yang telah kamu berikan kepadanya, kecuali apabila mereka melakukan perbuatan keji yang nyata. Pergaulilah mereka dengan cara yang patut. Jika kamu tidak menyukai mereka, (bersabarlah) kerana boleh jadi kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan kebaikan yang banyak di dalamnya.” (QS. An-Nisa’: 19)

Peluang dan ganjaran yang setara bagi lelaki dan wanita dalam beramal

Dengan turunnya al-Quran, Allah SWT bukan sahaja mengakhiri penindasan terhadap wanita, tetapi Dia menjelaskan bahawa lelaki dan perempuan mempunyai peluang yang sama untuk beramal soleh serta berperanan dalam masyarakat. 

Ummu Salamah pernah bertanya kepada Nabi SAW tentang status wanita yang ikut berhijrah. Adakah mereka juga mendapat ganjaran setara dengan lelaki yang berhijrah? Allah Azzawajalla menegaskan dalam firman-Nya yang bermaksud

Maka Tuhan mereka memperkenankan doa mereka (dengan firman-Nya): ‘Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang-orang yang beramal daripada kalangan kamu, sama ada lelaki atau perempuan, (kerana) setengah kamu (adalah keturunan) daripada setengahnya yang lain; maka orang-orang yang berhijrah (kerana menyelamatkan agamanya), dan yang diusir ke luar dari tempat tinggalnya, dan juga yang disakiti (dengan berbagai-bagai gangguan) kerana menjalankan agama-Ku, dan yang berperang (untuk mempertahankan Islam), dan yang terbunuh… (Ali Imran: 95)

Dalam sambungan ayat tersebut, Allah SWT menjanjikan ganjaran berupa pengampunan dan golongan tersebut dimasukkan ke dalam syurga Allah – sebuah pengakhiran yang mulia bagi para lelaki dan wanita yang berkorban dan berhijrah demi mentaati perintah Allah dan Rasul-Nya.

Piagam Wanita Islam: Prinsip kesamarataan lelaki dan wanita 

Sidang pembaca yang dimuliakan, selepas merenungi beberapa firman Allah SWT di atas, izinkan saya mengajak anda semua menghayati sebuah konsep yang sangat penting dalam hak dan kesetaraan wanita di masa kini, yang termaktub dalam sebuah piagam bernama Piagam Wanita Islam.

Pertama

Mengiktiraf kepentingan peranan wanita dalam pembangunan diri, keluarga dan masyarakat yang mana peranan lelaki dan wanita adalah saling melengkapi dalam usaha mewujudkan umat pertengahan. 

Kedua

Mengiktiraf prinsip kesamarataan dan kesaksamaan lelaki dan wanita menurut nilai-nilai Islam dengan mengambil kira fungsi biologi dan peranan setiap jantina dan kemampuan mereka dalam memberikan khidmat terbaik kepada keluarga dan masyarakat. 

Ketiga

Mengiktiraf dan menuntut lelaki dan wanita berperanan dalam memantapkan dan mengukuhkan institusi keluarga. 

Piagam ini telah dilancarkan pada tahun 2017 dalam bentuk sebuah buku kecil yang membahas lebih rinci mengenai tiga konsep di atas.

Ia merupakan sebuah terjemahan konsep kesamarataan dan kesaksamaan yang singkat dan padat berpandukan al-Quran, sunnah dan fikrah para ulama serta mengambil kira sudut pandang perkembangan ilmu semasa.

Besar harapan kami agar piagam ini dapat dijadikan panduan kita bersama dalam mengharungi cabaran wanita dalam berperanan, baik dalam ruang lingkup peranan sebagai isteri, ibu, anak, wanita yang berkerjaya/berniaga serta peranan-peranan lainnya. 

Akhir kalam, semoga peristiwa Nuzul Quran mengingatkan kita bahawa al-Quran telah menjadi titik tolak dalam meletakkan martabat wanita di tempat yang selayaknya.

Perspektif al-Quran tidak melihat hak wanita dalam terma feminisme barat yang sempit, akan tetapi atas kefahaman yang mendalam terhadap fitrah wanita, menghargai psikologi, emosi dan fizikalnya.

Melalui pendekatan ini, al-Quran dan sunnah memberikan wanita panduan dan inspirasi untuk berganding bahu dengan lelaki demi melaksanakan misi memakmurkan bumi Allah dengan nilai Islam dan rahmah.

Semoga kita diberikan taufik dan inayah untuk memahami dan mengamalkannya.

Salam Nuzul Quran 1446 Hijrah.

Ustazah Sallawahiu Mohd Salleh
Ketua Wanita
Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia