Tular seorang penulis wanita ini baru-baru ini yang mempersembahkan karyanya dalam bentuk novel lucah.
Bahkan sesetengah pihak beranggapan bahawa buku tersebut mengandungi unsur-unsur ‘sexual grooming’ kepada kanak-kanak, kerana heroinnya dikatakan berusia 10 tahun. Novel ini juga sudah terjual beratus ribu!
Tidak terjangkau dek akal bagaimana novel-novel yang bergenre lucah semakin dijual laris di pasaran. Segala perkataan yang memualkan dan meloyakan dimuat naik dalam bahan bacaan untuk dijadikan sebagai bahan tontonan anak-anak remaja yang semakin mendewasa.
Adakah penulis muda kebelakangan ini sudah ketandusan idea dalam mengarang sebuah cerita untuk diadaptasikan sebagai sebuah novel yang akan ‘laku keras’?
Memang benar, karya-karya lucah sebegini sering mudah sekali mendapat tempat di hati utama ribuan para pembaca lelaki dan wanita yang kurang akalnya. Sungguh! Ini sangat mendukacitakan.
Di kala penulis lain berhempas pulas melahirkan karya-karya bermutu bertemakan unsur Islamik dipandang sepi, ada pula karya soft porn yang mengandungi perkataan-perkataan seksual semakin dipandang tinggi. Di mana silap dan salahnya?
Adakah mereka ini terjebak dalam percintaan awal sehingga membayangkan segala yang haram adalah nikmat belaka.
Adakah kerana mereka ini kemaruk berandaian atau kuat berkhayal seakan-akan cinta ala barat yang separuh bertelanjang?
Betapa membimbangkan lebih-lebih apabila penulis novel berunsur lucah ini beragama Islam. Di mana nilai takwa sebagai hamba Allah SWT?
Tidak ada yang boleh menjamin bahawa seseorang itu bebas daripada kekhilafan di dunia. Walau bagaimanapun, kita senantiasa diperintahkan untuk bertaubat kepada Allah SWT setelah kita menginsafinya bagi menghapuskan segala keterlanjuran.
Kita sudah kembali membersihkan dosa kepada Dia, namun bagaimana dengan para pembeli yang sudah membaca karya ini dengan penuh kebangkitan syahwat?
Bersediakah sekiranya Allah Taala mempertanggungjawabkan kita di hari akhirat kelak?
Antara hal paling mengecewakan sekali, apabila terdapat rumah penerbitan yang turut berselera dan menjayakan karya kurang bermoral dan menjijikkan ini.
Inilah yang dikatakan penerbit yang cuma hanya mendahagakan soal keuntungan di dunia tetapi tidak memikirkan soal muflis pada hari perhitungan kelak.
Membaca karya berunsurkan lucah ini amat menimbulkan kesan-kesan yang membahayakan antaranya,
- Membangkitkan nafsu kepada para pembaca yang menghayati setiap babak-babak yang mengghairahkan.
- Mendorong para pelaku/pembaca untuk melakukan maksiat sehingga perzinaan semakin tumbuh mengakar.
- Membunuh jati diri seseorang sekiranya membaca adegan seks, ranjang yang akan melumpuhkan iman mereka sebagai seorang Muslim.
- Penggunaan perkataan yang tidak senonoh dalam pengkaryaan menunjukkan penulis yang kurang kefahamannya terhadap halal dan haram dalam Islam.
- Setiap penulis yang menulis, akan dipertanggungjawabkan ke atas penulisannya di hadapan Allah Yang Maha Adil.
Buku-buku novel yang banyak menggunakan laras bahasa-bahasa yang tidak sopan sebenarnya bukanlah sebuah buku yang baik kerana pada awalnya lagi sudah memperjuangkan cinta non-halal.
Menghairankan sehingga ia mendapat rating terbanyak sebagai pilihan pembaca di mata dunia.
Betapa rosak maruah dan pincangnya akhlak para pembaca yang telah dirasuk oleh bahan bacaan yang tidak memimpin manusia ke jalan yang benar, sebaliknya ke jalan jahanam.
Lihatlah di Wattpad dan Twitter misalnya, berapa ramai pembaca yang mengulas akan rasa kelazatan menikmati adegan-adegan panas, ditulis dan diluah tanpa rasa bersalah terhadap kata-kata yang menjijikkan.
Buku ataupun bahan e-digital yang berlambak seperti ini langsung tidak memiliki ciri-ciri buku yang baik terhadap perkembangan ilmu dan sosial anak-anak muda pada generasi kini dan seterusnya.
Antara ciri-ciri buku yang baik yang harus dibudayakan pembacaannya ialah buku yang sentiasa membuatkan pembaca kembali mengingati Tuhan alam semesta, kembali terinspirasi kerana tauladan-tauldan yang dimuatkan.
Sehubungan itu, buku yang baik bukan sekadar mendapat pujian daripada orang ramai tetapi juga masyarakat turut menghormati penulis dalam hidupnya. Di samping itu pula, bukunya turut menjadi saham kebaikan untuknya di hari akhirat sana.
Sekiranya terdapat penulis yang menulis buku-buku berunsurkan lucah ini, bersiap sedialah untuk diadili oleh para netizen. Tidak kurang juga, ada yang sanggup mengecam.
Inilah yang perlu dilalui oleh semua penulis kerana kita hidup di zaman yang mudah dicanang dan dijajah ceritanya (semoga Allah SWT memelihara kita).
Lebih-lebih lagi ia bersangkutan dengan ‘ilmu lucah’ yang disebarkan kepada orang ramai, maka penulis perlu bertanggungjawab.
Antara usaha negara bagi membanteras isu pembiakan novel-novel berunsurkan porn ini, uji kaji semula terhadap rumah penerbitan yang sambil lewa menerima bahan seperti, dan juga menghentikan pengeluaran novel seperti ini untuk cetakan seterusnya.
Penulis pula sekurang-kurangnya diberi ‘hukuman’ selama beberapa waktu untuk mengakui kesilapan sehingga tidak akan lagi menulis karya yang mendatangkan kesan negatif kepada masyarakat terutama sekali kepada umat Islam.
Mana-mana pihak yang mendapati kewujudan novel ala lucah yang semakin berleluasa ini, sila lakukan aduan pada pautan di bawah:
https://moha.spab.gov.my/eApps/system/index.do
Semoga usaha ini dapat membantu mengemudi masyarakat dengan memandaikan rakyat membaca buku-buku yang ada nilai kualiti dan moralnya pada ketika ini.
Semoga ada kesedaran dalam setiap diri yang menulis untuk kemaslahatannya di hari akhirat nanti. Setiap yang ditulis mencerminkan personaliti penulis itu sendiri.
Justeru, tulislah sesuatu yang baik dan melambangkan prinsip dan pegangan kita di hadapan para pembaca pada kemudian hari.
Syuhara Suriati
Penulis antologi, anekdot, artikel, puisi, majalah dan resensi buku
Penafian: Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian IKRAM.