SHAH ALAM – Presiden IKRAM, Hj. Badlishah Sham Baharin dalam ucapan pembukaannya sempena Forum Bicara Bina Negara dengan tema “Keluarga: Benteng Utama Perangi Rasuah”, mengajak masyarakat mengutamakan integriti dan kejujuran sebagai nilai teras dalam membangunkan negara bebas rasuah.
Forum ini dianjurkan bersempena dengan sambutan Hari Anti-Rasuah Antarabangsa (HARA) 2024 dengan kerjasama antara Pertubuhan IKRAM Malaysia, Rasuah Busters, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) serta Sinar Harian pada Khamis, 19 Disember lalu.
Dalam ucapannya, Hj. Badlishah menekankan bahawa memerangi rasuah bermula daripada individu dan keluarga.
“Keluarga adalah benteng utama dalam pembentukan sahsiah individu. Anak-anak yang dibesarkan dalam persekitaran yang mengutamakan nilai-nilai integriti seperti kejujuran, tanggungjawab dan disiplin akan membawa nilai-nilai ini ke dalam masyarakat,” ujar beliau.
Ucapan tersebut turut menyorot pelbagai bentuk rasuah termasuk rasuah politik, ekonomi dan dalam sektor awam, yang masing-masing membawa ancaman besar kepada individu dan negara.
Hj. Badlishah menyeru agar masyarakat tidak memandang ringan rasuah kecil, kerana ia boleh berkembang menjadi budaya yang merosakkan.
Forum ini dihoskan oleh Ismail Adnan dan dibarisi panelis hebat seperti Ketua Unit Kaunseling Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Md Noh Saiman, penulis keibubapaan, Adlil Rajiah serta pendakwah, Ustaz Dr. Roslan Mohamed.
Forum ini mengupas punca dan kesan pembentukan individu dalam keluarga terhadap rasuah dari sudut psikologi, keibubapaan dan agama.
Menurut Md Noh, situasi menerima rasuah sudah menjadi barah kerana ramai menganggap ia sebagai satu cara untuk mendapatkan duit dengan jalan mudah dan dalam tempoh yang singkat.
Tambah beliau, golongan yang terdesak memiliki wang sanggup mengambil risiko dan melakukan apa sahaja akibat didorong emosi yang tidak rasional.
“Apabila sesebuah keluarga mengalami krisis kewangan, nilai integriti dalam diri ahli keluarga tersebut akan menjadi taruhan,” ujarnya.
Bagaimanapun, katanya, tiada istilah terlambat untuk kembali ke pangkal jalan kerana kesungguhan untuk bertaubat terletak dalam diri masing-masing.
Adlil Rajiah pula berkata, kegagalan pembentukan diri anak-anak turut didorong oleh suasana dan tingkah laku yang berlaku di dalam rumah, misalnya ibu bapa terbiasa menipu atau mengambil rasuah secara terang-terangan.
“Ibu bapa perlu kembali kepada tujuan asal. Dari segi hubungan dengan anak, pertama sekali fokus kepada membina pengaruh dengan anak-anak, tidak semestinya peluk cium sahaja sudah mencukupi. Teknik 5S (seen, safe, significant, soothed, success) boleh membantu membina pengaruh dan membimbing emosi anak-anak. Hal ini akan memberikan anak merasa cukup, selamat untuk bercakap benar dan bertanggungjawab ke atas setiap perkataan serta perbuatan masing-masing,” katanya.
Terdapat tiga faktor utama dalam agama Islam yang menjadi asas pembentukan daya tahan moral agar tidak mudah terjebak dengan kegiatan rasuah iaitu ilmu, iman dan ketegasan.
Panel ketiga, Ustaz Dr. Roslan pula berkata, pihak berwajib perlu mengilmukan masyarakat dengan pengetahuan mengenai agama Islam yang cukup untuk menghindarkan orang ramai terlibat dengan jenayah tersebut.
“Saya sendiri sebagai pendakwah atau penyuruh agama, saya tak lupa sebut hal ini dalam banyak ceramah saya sebab saya faham ada kebimbangan kita dalam soal kehidupan beragama, kalau tidak ilmukan dengan cukup, boleh jadi kita akan terlibat.”
Ujar beliau, kehidupan beragama perlu menjadi teras dan bermula pada peringkat sekolah serta institusi pengajian tinggi (IPT) agar jenayah tersebut dapat dihapuskan sepenuhnya.
Turut hadir ialah Penasihat Kumpulan Karangkraf merangkap Ketua Pasukan #RasuahBusters, Dato’ Hussamuddin Yaacub. Ketika menyampaikan ucapan penutup forum, beliau mengingatkan bahawa pemahaman terhadap ilmu agama juga perlu selari dengan amalan kerana ibu bapa merupakan susuk utama yang membesarkan elemen rasuah kepada anak-anak sejak dari dalam rumah.
“Bukan salah Perdana Menteri, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), polis dan lain-lain, tetapi ibu bapa yang berjuta-juta ini. Jadi, kita kena serah peranan kepada mereka supaya membesarkan orang baik-baik yang berjaya dunia dan akhirat.”
Beliau berpandangan, pihaknya semakin yakin dengan perjuangan menentang rasuah sejak 2021 berdasarkan objektif mentransformasi nilai moral dan karakter bangsa selepas mendengar sendiri forum penuh komprehensif yang diadakan pada hari ini.
Beliau menegaskan, segala permasalahan sosial yang timbul khususnya rasuah boleh diatasi dengan baik sekiranya nilai dalam sistem kekeluargaan kukuh.