Katanya, penyelesaian itu perlu datang bersama penyelidikan dan fakta-fakta supaya ia dapat diselesaikan dengan cara yang tepat.
“NGO perlu memberi penyelesaian kepada permasalahan yang dihadapi oleh masyarakat.”
“Dan penyelesaian itu perlu didukung oleh penyelidikan dan fakta-fakta seterusnya ia boleh membawa kita kepada satu solusi yang betul-betul tepat kepada permasalahan kita hendak selesaikan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika bercakap sebagai panelis dalan siri Wacana Sinar 87 bertajuk “Peranan NGO dalam konteks Malaysia Baharu” di Auditorium Kompleks Kumpulan Media Karangkraf.
Pada masa yang sama, Badlishah berpendapat, memberi latihan kemahiran adalah lebih penting berbanding memberi bantuan kebajikan untuk membantu kelangsungan hidup mereka untuk jangka masa panjang.
Mengambil contoh menangani isu ekonomi golongan B40, beliau berkata, NGO boleh memberi idea bagaimana masalah itu boleh diselesaikan.
“Di Malaysia, NGO boleh bersama dengan kerajaan untuk selesaikan masalah B40. NGO boleh memberi idea bagaimana hendak selesaikan masalah itu, bukan hanya bagi kebajikan begitu saja.”
“NGO boleh membantu dengan memberi latihan kemahiran kepada golongan ini,” tambahnya.
Badlishah berkata selain memberi jalan penyelesaian, NGO berperanan untuk memastikan kerajaan tidak menyalahgunakan kuasa yang ada.
“Seperti yang berlaku di Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, ada mendapat laporan Pakatan Harapan (PH) juga telah menggunakan mekanisma kerajaan untuk berkempen.”
“Kalau dulu kita menyeru kerajaan yang dulu (Barisan Nasional) diambil tindakan kerana kesalahan yang sama, maka perkara itu juga perlu dilakukan (menegur) kepada kerajaan sekarang.”
“Tidak boleh ada pilih kasih,” katanya.
“Ini penting supaya mereka (kerajaan) tahu rakyat sedang memerhati dan menilai sama ada mereka melakukan yang terbaik untuk rakyat ataupun tidak.”
Tambahnya, peranan yang dilakukan NGO ini penting untuk memastikan ke arah kelangsungan demokrasi yang matang.
“Di negara membangun dan demokrasinya telah matang, setiap lima ke sepuluh tahun, kerajaannya akan bertukar.”
“Ini untuk memastikan mereka mendapat khidmat yang terbaik dan yang memerintah akan berhati-hati.”
Oleh itu, NGO berada dalam keadaan itu untuk memastikan semak dan imbang berlaku dengan baik dalam sesebuah masyarakat.
Kredit foto: Sinar Harian