Negara Rahmah: Nafas baru untuk Malaysia

Tahun baru kali ini disambut dengan suasana suram dengan kejatuhan Aleppo di tangan musuh Allah dan tahun 2016 juga menyaksikan kezaliman dan penindasan yang berterusan berlaku terhadap saudara seislam kita, Rohingya.

Di negara kita pula, rakyat terus resah dan gelisah dek pelbagai krisis yang melanda. Pertama adalah berkenaan urus tadbir ekonomi negara yang tidak transparen dan tidak berintegriti, hutang negara terus meningkat dan kos sara hidup menjadi semakin tinggi. Kita juga berhadapan dengan fenomena kemiskinan yang semakin mencengkam, jurang pendapatan yang bertambah luas, kejatuhan ringgit yang mendadak dan ramai yang berhadapan risiko kehilangan pekerjaan kerana situasi ekonomi yang tidak menentu.

Kedua, isu yang besar juga dihadapi oleh rakyat Malaysia, iaitu isu politik. Pemerintah mengamalkan politik kepartian yang sempit, penyalahgunaan kuasa dan politik dan selama kita merdeka, kita dimomokkan dengan politik perkauman sehingga menafikan hak kaum-kaum lain di Malaysia.

Ketiga, isu sosial. Pendidikan negara kita yang masih gagal dalam menuju pembangunan modal insan kelas pertama. Isu perpaduan nasional melibatkan perpaduan antara kaum dan kesatuan merentas negeri Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia. Seterusnya, keruntuhan institusi keluarga yang semakin meningkat dan keruntuhan sosial serta akhlak generasi muda yang semakin tenat.

Mengapa semua ini berlaku?

Dalam al-Quran, Allah telah menyebut dalam Surah ar-Ruum: 41, “Telah tampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan tangan manusia“. Dan Rasulullah SAW juga pernah bersabda, “Jika urusan diserahkan kepada bukan ahlinya, maka tunggulah kehancuran”.

Berdasarkan keadaan negara kita yang sebegini, ia sangat memerlukan pembaikan dan pengislahan yang menyeluruh, perubahan yang mendasar harus dilakukan oleh gabungan organisasi masyarakat madani atau NGO bersama gabungan parti-parti politik yang mampu memiliki keupayaan untuk memenangi Pilihanraya Umum (PRU) akan datang serta mampu menguruskan perjalanan pentadbiran negara dengan lebih baik.

Jika sebelum ini kita fokus mengislahkan masyarakat, sekarang adalah masanya kita membaik pulih negara.

Pemimpin perlu mencontohi kepimpinan Umar al-Khattab RA dalam tadbir urus negara

Orang yang paling sakit seksaan pada hari kiamat adalah pemimpin yang zalim dan curang.”  (HR Thabrani daripada  Abdullah bin Mas’ud RA).

Sebuah kisah yang signifikan dan perlu kita ambil iktibar ialah tentang kisah Umar al-Khattab RA yang mana berlaku selepas peperangan dengan kerajaan Parsi. Umar membahagikan harta rampasan perang iaitu kain kepada rakyatnya. Keesokan hari, rakyatnya masing-masing memakai baju daripada kain yang dibahagikan termasuk Umar al-Khattab RA.

Tiba-tiba bangun seorang sahabat dan membantah, “Kami tidak mahu mendengar dan taat pada tuan”. Lalu Umar bertanya, “Mengapa kamu berkata begitu?” Kemudian dia membalas, “Dari mana kamu mengambil baju yang kamu pakai ini sedangkan jika ikut pembahagian semalam, kain yang kamu dapat tidak cukup untuk tubuh kamu”. Maka Umar menyuruh anaknya, Abdullah bangun untuk menjelaskan. Maka kata Abdullah, “Saya beri bahagian saya kepada ayah saya”.

Inilah contoh terbaik daripada seorang pemimpin. Membenarkan rakyat bertanya seperti Saidina Umar al-Khattab yang terbuka kepada muhasabah dan mempraktikkan ketelusan dalam pemerintahan.

Sebuah gagasan yang menjadi nafas baru untuk Malaysia

Sempena Tahun baru 2017 ini, Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) sebagai sebuah NGO masyarakat madani terus komited membawa dan merealisasikan idea atau gagasan yang dinamakan “Gagasan Malaysia Menuju Negara Rahmah” (Gagasan MMNR).

Gagasan MMNR ini sangat signifikan dan ia merupakan ciri-ciri negara yang kita impikan bersama pada masa akan datang dan usaha merealisasikannya perlu bermula daripada sekarang, bukan sahaja daripada pihak pemerintah, tetapi juga rakyat. Kedua-dua pihak harus bergandingan dan bekerjasama dalam membentuk negara yang lebih sejahtera dan makmur dengan menggerakkan amal dakwah dengan pendekatan rahmatan lil alamin, memelihara hubungan baik dengan masyarakat muslim dan bukan muslim dan membangunkan tapak politik ummah yang kuat di dalam negara untuk kelangsungan demokrasi yang matang.

12 Ciri Asas Negara Rahmah, yang menjadi impian setiap jiwa rakyat Malaysia:

1. Kepimpinan negara yang kompeten dan berintegriti
2. Sistem pemerintahan yang berasaskan semak dan imbang yang berkesan
3. Tadbir urus yang baik
4. Undang-undang yang adil
5. Masyarakat yang berilmu, berakhlak dan penyayang
6. Institusi keluarga yang utuh
7. Hubungan etnik dan penganut agama yang harmoni
8. Ekonomi yang mampan
9. Agihan kekayaan yang saksama
10. Pembangunan yang lestari
11. Kebajikan, kesihatan dan keselamatan rakyat terpelihara
12. Menerajui usaha-usaha keamanan dan kesejahteraan sejagat

Memetik kata-kata Dr Hj Mohd Parid Sheikh Ahmad, Presiden IKRAM dalam ucaptama beliau pada Perhimpunan Tahunan IKRAM (PTI 2016), “Negara Rahmah Mithali yang ingin kita bangunkan di Malaysia ialah sebuah negara rahmah yang menaungi penduduknya, melebarkan naungan tersebut ke bahagian lain dunia secara berperingkat-peringkat pada masa hadapan agar dunia sepenuhnya berubah kepada dunia baru yang rahmah, saling menyantuni semua penjurunya dengan santunan kemanusiaan, santunan ihsan dan santunan peradaban”.

Ayuh rakyat Malaysia, bangkit dan terus mendokong gagasan yang akan kita realisasikan bersama ke arah pembentukan Negara Rahmah!

Malaysiaku Rahmah! Selamat Tahun Baru!

Penulis:
Nik Fatma Amirah Nik Muhamad
Biro Penyelidikan IKRAM

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Ikuti Rancangan Jom Sembang Bersama Ustaz Dr Syazalie Hirman setiap Jumaat di TV IKRAM.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia