SELAYANG – Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan (NBKK) 2025 Peringkat Negeri Selangor berlangsung meriah di Ideal Convention Centre (IDCC) Selayang, yang menghimpunkan lebih 400 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat bagi memperkukuh institusi kekeluargaan dan menyemarakkan mesej pembinaan keluarga sebagai asas kesejahteraan masyarakat.
Program ini dianjurkan oleh kerajaan Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Wanita dan Keluarga dengan kerjasama LPPKN serta Pertubuhan IKRAM Malaysia, bertemakan “KASIH Keluarga, Bahagia Bersama”, yang menekankan kepentingan pembentukan keluarga yang seimbang dari aspek emosi, intelek, spiritual dan jasmani.
Salah satu tumpuan utama sambutan NBKK tahun ini ialah pemberdayaan peranan bapa melalui forum “Hebatnya Lelaki, Hebatnya Generasi”, yang menampilkan para panelis yang berpengalaman dalam bidang pembangunan keluarga dan masyarakat.

Sambutan NBKK turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti kekeluargaan merangkumi sesi kesihatan wanita, pertandingan santai, aktiviti seni dan program interaktif bagi mengeratkan hubungan antara ahli keluarga.
Dalam ucapan penutup perasmian sambutan, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Negeri Selangor, YB Puan Anfaal Saari mengajak untuk melihat realiti masalah kekeluargaan hari ini dengan jujur dan bertindak secara kolektif untuk mewujudkan keluarga serta komuniti yang selamat.
Beliau menyorot statistik PDRM sehingga September 2025 yang menunjukkan sebanyak 1,007 kes keganasan rumah tangga direkodkan di Selangor, dengan daerah Gombak mencatat jumlah tertinggi, serta memaklumkan bahawa statistik kes dera dan rogol turut menunjukkan pola yang sama, dan menekankan bahawa isu-isu ini bukan berlaku jauh daripada masyarakat, tetapi dalam komuniti terdekat.

YB Anfaal turut menegaskan bahawa keluarga merupakan benteng pertama masyarakat, khususnya ketika negara berdepan peningkatan kes yang melibatkan kanak-kanak termasuk insiden jenayah, keganasan dan penderaan.
“Kanak-kanak bukan sekadar perlu dibesarkan, tetapi dibentuk dengan bimbingan emosi, akhlak dan kerohanian agar mereka merasai kasih sayang, penghargaan dan perlindungan dalam rumah sendiri,” ujarnya.

Majlis ini juga menjadi penutup rasmi kepada Kempen Menentang Keganasan Berasaskan Gender yang digerakkan sepanjang tahun 2025 oleh Wanita Berdaya Selangor, melibatkan penyertaan penyelia Pusat Wanita Berdaya di semua 56 DUN negeri itu.

Gembira dengan kejayaan penganjuran sambutan ini, YB Anfaal merakamkan penghargaan kepada semua rakan kolaborasi Sambutan NBKK termasuk LPPKN, IKRAM, Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Pejabat Daerah dan Tanah Gombak serta Pusat Khidmat Masyarakat DUN Taman Templer atas komitmen dan usaha berterusan dalam memperkukuh institusi keluarga di Selangor.




